PENAJA

Thursday 31 October 2013

kertas 3 sejarah SPM 2013 - hubungan serantau (contoh jawapan) set 5

1.    Pengenalan [5 markah]

Nyatakan latar belakang Malaysia dalam hubungan luar

Malaysia mempunyai dasar luarnya yang tersendiri, iaitu berbaik-baik dengan semua negara.

Kepentingan dasar luar Malaysia merujuk pada matlamat yang ingin dicapai oleh Malaysia iaitu menjamin keselamatan rakyat dan negara

Selain itu ingin memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negara

Matlamat yang ingin dicapai melalui hubungan ini ialah menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi serta mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa

Selain itu matlamat dasar luar Malaysia adalah untuk menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia

Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain, iaitu hubungan bilateral dan hubungan multilateral.

Hubungan bilateral merujuk pada hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya, Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara-negara jiran antaranya termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.  
Selain itu, hubungan luar juga diadakan dengan negara Asia yang lain, Amerika latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat.

            Hubungan multilateral pula merujuk pada hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara atau Association of South-East Asian Nations (ASEAN), Komanwel, Pertubuhan Persidangan Islam atau Organisation of Islamic Conference (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau Non-Allingned Movement (NAM) dan sebagainya.

            Pertubuhan serantau merupakan satu pertubuhan yang keanggotaannya terdiri daripada negara-negara yang berjiran antara satu sama lain. Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik , ekonomi atau sosial.

            Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah dibentuk dan disertainya, iaitu ASA pada tahun 1961, MAPHILINDO pada tahun 1963 dan ASEAN pada tahun 1967.

2.    Memahami [ 40 markah ]
Terangkan faktor-faktor Malaysia mengadakan hubungan dengan negara
           serantau


Malaysia mengadakan hubungan dengan negara luar. Banyak faktor yang menentukan dasar luar negara. Faktor-faktor tersebut ialah faktor sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.
                       
Faktor Sejarah

Dari segi sejarah, hubungan luar ini telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi seperti dengan China, Arab, dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan ini berbentuk hubungan perdagangan.

Hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu juga telah terjalin dengan negara-negara yang pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia

Setelah mencapai kemerdekaan Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zerland.

Ini disebabkan pada masa itu Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis yang menggugat keselamatan Malaysia telah mendorong Malaysia mengamalkan dasar pro barat dan anti komunis.

Pada masa yang sama Malaysia masih bergantung kepada barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan sendiri.



Faktor ekonomi

Malaysia juga menjalin hubungan baik degan negara-negara lain untuk memajukan ekonominya yang mengamalkan pasaran bebas.

Sejak zaman penjajahan lagi Malaysia merupakan pengeluar utama bijih timah dan getah. Setelah mencapai kemerdekaan Malaysia masih mengharapkan pasaran dan modal daripada negara Britain dan Amerika Syarikat.

Oleh itu, Malaysia telah mengambil langkah untuk menggalakkan pelaburan asing agar dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menjelang tahun 1980an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing dari negara di timur terutama Jepun dan Korea digalakkan di samping menjalin hubungan baik dengan negara membangun dan negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara yang berkenaan.
           

FAKTOR GEOGRAFI

Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik, mempunyai sempadan daratan dengan kebanyakan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Brunei.

Malaysia juga mempunyai sempadan lautan dengan Filipina, Indonesia dan Singapura.

Malaysia juga mempunyai perairan yang menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan dunia. Contohnya Selat Melaka.

                        Keselamatan Malaysia mempengaruhi keselamatan serantau

FAKTOR POLITIK

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa depannya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat.

Dasar luar Malaysia amat menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat.

Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan piagam PBB bagi memelihara keamanan dunia.

Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

FAKTOR DEMOGRAFI

Malaysia mempunyai  rakyat yang majoriti beragama Islam. Oleh itu, Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Negara-negara Islam seperti Arab Saudi.

Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara Israel kerana menceroboh dan menindas rakyat Palestin.

Malaysia sebuah Negara pelbagai kaum dan agama mengamalkan kebebasan budaya hidup dan agama. Oleh itu, Malaysia telah menentang keras Dasar Aparteid yang mengamalkan perbezaan warna kulit di Afrika Selatan.
           
Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sehinggalah dasar itu dihapuskan








































3.    Menganalisis [15 markah]
   
            Huraikan perkembangan hubungan Serantau Malaysia melalui :

i)             ASA
ii)            MAPHILINDO
iii)           ASEAN                                             

Sejak merdeka Malaysia telah menyertai tiga buah pertubuhan serantau iaitu Persatuan Negara-negara Asia tenggara (ASA), Pertubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik, ekonomi atau social.


i)             ASA

         Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASA) telah ditubuhkan pada 31 Julai 1961, hasil daripada satu mesyuarat yang diadakan di Bangkok antara Malaysia dengan Thailand dan Filipina.

         Setelah mencapai kemerdekaan, negara kita dan juga negara-negara jiran serantau iaitu Thailand dan Filipina diancam hebat oleh pengaruh Komunis. Di Malaysia, Parti Komunis Malaya (PKM)  menyebarkan pengaruh fahaman komunis  di kalangan rakyat.. PKM .telah menggunakan sempadan Malaysia-Thailand sebagai pengkalan gerakan gerila mereka.
        
         Malaysia ingin mengadakan kerjasama dengan negara jiran agar dapat membendung pengaruh dan gerakan PKM. Oleh itu Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan ASA untuk melindungi negara-negara anggota daripada ancaman tersebut dan menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.

            Walaubagaimanapun, matlamat tersebut tidak banyak dicapai kerana ketiadaan kerjasama yang erat. ASA dianggap sebagai pertubuhan anti Presiden Soerkarno di Indonesia. Akhirnya pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina tentang penubuhan persekutuan Malaysia  telah membawa kepada pembubaran ASA  pada tahun 1963.




ii)            MAPHILINDO

         Pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina dan Indonesia timbul disebabkan oleh cadangan pembentukan Malaysia. Presiden Soerkarno menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru. Filipina pula menuntut Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.

         Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia dan akhirnya  membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. 

         Melalui MAPHILINDO, bantuan PBB dipohon bagi mendapatkan pandangan rakyar Sarawak dan Sabah tentang cadangan penubuhan persekutuan Malaysia. Pada tahgun 1963 Lawrence V. Michael More (wakil PBB) telah dihantar meninjau pandangan rakyat Sarawak dan Sabah. Walaupun hasil tinjauan mendapati  majoriti rakyat kedua-dua negeri berkenaan bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia, namun Indonesia dan Filipina kurang berpuas hati. Persengketaan berterusan dan menyebabkan MAPHILINDO telah tidak berperanan lagi.

iii)           Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)

Walaupun ASA dan MAPHILINDO gagal, hasrat Malaysia untuk berbaik-baik dan bekerjasama dengan negara-negara  jiran tetap diteruskan. Akhirnya, Deklarasi Bangkok telah termeterai pada 8 Ogos 1967 yang membawa kepada penubuhan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN.

Keanggotaan ASEAN pada ketika itu terdiri daripada lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Jumlah anggota bertambah menjadi sepuluh kesemuanya apabila Vietnam, Myanmar, Brunei, Laos dan Kampuchea menyertainya.

Antara matlamat penubuhannya termasuklah mengekalkan kestabilan politik di Rantau Asia Tenggara dan membantu antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian. Selain itu, negara-negara anggota ASEAN juga saling berkerjasama dalam bentuk latihan dan penyelidikan serta mengadakan hubungan yang erat dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa.

Kerjasama antara negara anggota ASEAN semakin teguh hingga hari ini. Bagi memastikan perjalanannya yang lancar, struktur pentadbiran ASEAN telah dibentuk dengan diketuai oleh Menteri Luar ASEAN dan dibantu oleh Jawatankuasa Tetap Sosial dan Jawatankuasa Tetap Ekonomi.

         Antara kerjasama yang terjalin termasuklah mengistiharkan ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali pada tahun 1971, pengistiharan Zon Bebas Senjata Nuklear pada tahun 1984 dan Zon Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN pada tahun 1992.


































4.    Aplilkasi [15 markah]

Jelaskan usaha-usaha Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau.


Antara usaha-usaha Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau iaitu dalam mesyuarat menteri-menteri ASEAN di Kuala Lumpur, mereka telah mengisytiharkan negara-negara ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali         (ZOPFAN).

Malaysia juga tidak bersekongkol dengan mana-mana blok barat atau blok timur bagi mengelakkan campur tangan kuasa besar.

Malaysia dalam ASEAN berusaha membantu Kampuchea menjatuhkan kerajaan Khmer Rouge dengan mengadakan satu mesyuarat begi membentuk kerajaan demokratik campuran Kampuchea di bawah pimpinan Putera Norodom Sihanouk di Kuala Lumpur tahun 1982.

Dalam mesyuarat tahun 1984, menteri-menteri luar ASEAN memutuskan bahawa ASEAN ialah zon bebas senjata nuklear. Dengan ini tidak membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan dan kemudahan pelabuhannya untuk mengangkut bahan atau senjata nuklear.

Selain itu, Malaysia memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Malaysia dan kerajaan Thailand bekerjasama dalam bidang pertahanan iaitu persempadanan seperti di Rantau Panjang, dan Bukit Kayu Hitam.
           
Malaysia juga menjadi perantara gencatan senjata antara kerajaan Filipina dengan MNLF.

Malaysia dalam ASEAN Regional Forum telah memperjuangkan penyelesaian politik di Kemboja di mana tentera Vietnam  diberi tekanan agar segera berundur dari Kemboja dan rakyatnya diberi peluang menentukan nasib sendiri.

Malaysia menjalin kerjasama dengan kerajaan Filipina menyelesaikan isu pencerobohan di Lahad Datu oleh keturunan Kesultanan Sulu.

Negara Malaysia juga bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani isu pengganas dengan membenarkan Indonesia mengekstradisi rakyat Malaysia iaitu Nordin Mat Top yang disyaki menjadi dalang dalam beberapa siri keganasan.

Malaysia juga memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin dari negara Indonesia, Vietnam dan Myanmar yang memasuki Malaysia secara haram.

Malaysia dapat menyelesaikan isu tuntutan terhadap Pulau Batu Putih dengan kerajaan Singapura dengan bijak.

Malaysia tidak campur tangan dalam isu yang berlaku di selatan Thailand selaras dengan dasar berkecuali yang diamalkan oleh negara.
           




































5.    Menilai [10 markah]

Nyatakan faedah yang diperoleh Malaysia melalui hubungan serantau ?
                                                                                               

               Antara faedah yang diperoleh Malaysia melalui hubungan serantau ialah wujudnya kestabilan politik. Hal ini demikian kerana melalui ASEAN hasil daripada Deklarasi Kuala Lumpur Malaysia telah mencadangkan supaya negara-negara ASEAN diisytiharkan sebagai zon aman,bebas, dan berkecuali ( ZOPFAN ) . Dengan adanya perisyitharan tersebut rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni serta dapat menjamin kestabilan politik di negara ini. Secara tidak langsung   kedaulatan negara kita dapat dikekalkan. Rantau yang aman,selamat,dan berkecuali akan dijamin jika negara kita menjalin hubungan yang baik dengan negara serantau. Sehubungan dengan itu, negara kita tidak terlibat dalam kancah peperangan dengan negara lain atau melibatkan diri dalam konflik negara lain. Hal ini secara tidak langsung telah mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara kita. 


Di samping itu juga dalam memastikan negara kita bebas daripada ancaman senjata nuklear apabila ASEAN mengisytiharkan rantau ini sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear yang tidak membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan rantau ini untuk membawa senjata nuklear.
                                                               
Di samping itu,hubungan baik yang dijalin dengan negara serantau telah memudahkan kita untuk mendapatkan bantuan . Oleh hal yang demikian, negara- negara di dunia hanya akan menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Negara serantau akan memberi bantuan dengan segera  apabila negara kita memerlukan bantuan kerana hubungan yang erat telah dijalinkan antara satu sama lain.
                                                                                                        
Selain itu,hubungan baik  dan erat dengan negara serantau juga dapat meningkat dan memakmurkan ekonomi negara. Hal ini kerana penubuhan AFTA iaitu  zon bebas cukai antara negara ASEAN mewujudkan pasaran yang berpotensi besar kepada pengeksport Malaysia asalkan mereka meningkatkan piawaian produk dan perkhidmatan.Penubuhan AFTA membolehkan barangan dari negara serantau bersaing secara sihat . Dengan demikian rakyat Malaysia juga dapat membeli barangan yang berkualiti dari negara ASEAN dapat membeli barang yang berkualiti setelah AFTA ditubuhkan. Di samping itu zon kawasan perdagangan bebas ASEAN juga memberi faedah dari segi perdagangan dan pasaran. Begitu juga dengan Perundingan Ekonomi Asia Timur  ( EAEC ) berdasarkan konsep dan idea ASEAN + 3 melibatkan negara Cina, Jepun dan Korea Selatan yang dikemukakan Malaysia telah meluaskan lagi kerjasama ekonomi bagi rantau Asia dan Asia Tenggara.

Faedah lain yang turut dinikmati Malaysia ialah dari segi kerjasama projek -projek perindustrian seperti projek baja urea di Bintulu, Sarawak dan juga di Acheh.

Sementara itu dalam bidang sosial juga hasil daripada hubungan serantau yang dijalinkan Malaysia maka wujudnya kerjasama kebudayaan dan kesenian dengan penubuhan tabung kesenian ASEAN dan pertukaran rancangan televisyen antara negara-negara ASEAN seperti rancangan Salam Muhibbah RTM-RTB, dan RTM-RRI. Malaysia juga mendapat faedah dari segi pelancongan dengan melancarkan Tahun Melawat Malaysia buat kali pertama pada tahun 1992 dan akan diteruskan pada tahun hadapan untuk kali keempat dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke negara kita.

Selain itu dengan adanya hubungan serantau juga negara kita telah berjaya mengambil bahagian dalam kejohanan SUKAN SEA dan pernah menjadi tuan rumah untuk kejohanan tersebut. Malah Malaysia juga akan turut mengambil bahagian dalam kejohanan sukan SEA yang akan diadakan di Myanmar pada tahun ini. Dengan adanya penglibatan tersebut negara kita lebih dikenali dan berjaya menaikkan imej negara dengan meraih kejayaan dalam sukan tersebut.

Faedah seterusnya ialah dapat meningkatkan taraf pendidikan di negara kita hasil daripada wujudnya kerjasama dalam bidang pendidikan melalui Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran ASEAN ( SEAMEO ). Hasil daripada kerjasama tersebut  pembinaan Pusat Serantau untuk Sains dan Matematik (RECSAM) telah diadakan di Pulau Pinang.





















6.    Menjana Idea [10 markah]           

Cabaran  langkah (KBKK)

Cadangan soalan:

Jelaskan isu-isu di peringkat ASEAN dan penyelesaiannya ?

Terdapat banyak isu yang timbul diperingkat ASEAN sejak akhir-akhir ini. Antaranya isu kebanjiran pendatang tanpa izin ( PATI ) ke negara kita dan juga negara -negara anggota  ASEAN yang lain.

Selain itu isu pencemaran alam seperti pembakaran secara terbuka yang berlaku hampir setiap tahun di Indonesia. Isu LYNAS iaitu pembinaan logi pembuangan sisa-sisa toksik di Malaysia baru-baru ini.

Selain daripada itu isu pemberontakan. Contohnya, pemberontakan yang berlaku di Lahad Datu, Sabah dan pemberontakan puak Moro di Filipina. Di samping itu juga isu pelarian Rohinya yang masih belum ada jalan penyelesaian. Isu-isu yang lain seperti penyeludupan dadah,pemerdagangan manusia, isu tenaga kerja, isu penyeludupan senjata api , isu pencerobohan perairan Malaysia dan sebagainya.


Langkah-langkah penyelesaiannya.

Isu-isu yang berlaku di peringkat ASEAN perlu ditangani segera demi kebaikan bersama. Antara langkah-langkah penyelesaiannya ialah kekerapan mengadakan persidangan atau mesyuarat menteri-menteri antara negara-negara anggota ASEAN.

Masalah negara ASEAN hari ini juga boleh diselesaikan jika setiap negara anggota mengamalkan konsep kesederhanaan atau wassatiyah. Jika semua negara anggota menggunakan kesederhanaan dalam tindak - tanduk dan dasar mereka, keamanan akan dapat digapai serta setiap negara akan mempunyai masyarakat yang lebih adil dan saksama.

ASEAN hendaklah juga menghormati hak asasi setiap negara.Menghormati hak asasi setiap negara dapat mengelakkan konfrantasi dan konflik dalam kalangan negara-negara anggota.

Langkah-langkah penyelesaian lain yang boleh dilakukan seperti penguatkuasaan undang-undang, menguasai ilmu pengetahuan, mengeratkan hubungan dagangan, menggalakkan daya saing yang sihat, melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan membentuk mutu pendidikan bertaraf dunia.

       7. Nilai-nilai murni / iktibar / patriotisme [10 markah]

(a). Nyatakan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang pemimpin bagi menjamin
kesejahteraan Malaysia pada masa depan

Sebagai seorang pemimpin kita perlu bijak mengambil peluang untuk kemajuan negara.

Selain itu pemimpin mestilah adil, saksama dan bertanggungjawab.

Di samping itu, pemimpin juga mesti sanggup berkorban dan berfikiran terbuka untuk menerima pendapat.

Pemimpin juga harus mempunyai semangat patriotic dan berwawasan

Pemimpin juga mesti sanggup berkorban dan berfikiran terbuka untuk menerima pendapat.

Pemimpin juga harus mempunyai semangat patriotic dan berwawasan



(b). Nyatakan nilai-nilai murni yang boleh diperolehi daripada penglibatan
      Malaysia dalam hubungan serantau


Di antara nilai-nilai murni yang diperoleh ialah menjaga keamanan negara dan menghormati kedaulatan negara jiran .

Kita hendaklah bersatupadu dan berkerjasama dalam semua aspek ekonomi, politik dan sosial.

Di samping itu, kita juga haruslah bersifat toleransi dan mempunyai semangat kekitaan



(c). Nyatakan sifat yang perlu diamalkan untuk keamanan serantau.


Di antara sifat yang perlu diamalkan ialah berani mempertahankan negara dan menghormati kedaulatan negara serantau.

Di samping itu, kita juga harus menjalin hubungan komunikasi yang baik.

Selain itu, kita mestilah bersikap terbuka dan berpandangan jauh dalam menjalinkan hubungan serantau.











  1. Rumusan [5 markah]

Melalui tajuk ini,saya memperolehi pengetahuan tentang peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau seperti ASA,MAPHILINDO dan ASEAN. Contohnya, dalam menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia-Filipina dan Malaysia-Indonesia.Saya juga dapat mengetahui faedah yang diperolehi oleh Malaysia melalui hubungan serantau..                                                                       
Sejarah membuktikan  pentingnya sesebuah  negara menjalin hubungan dengan negara-negara jiran.Kita juga dapati perlunya hubungan persahabatan antara negara demi kepentingan rakyat dan negara.

Selain itu Asean juga memberikan sumbangan besar kepada negara-negara rantau Asia Tenggara
Di samping itu, iktibar kepada saya kita hendaklah saling membantu demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.Contohnya dalam bidang ekonomi, sokongan negara-negara serantau amat diperlukan.

Selain itu, rakyat Malaysia hendaklah mengamalkan sikap toleransi antara kaum demi mengekalkan keamanan negara seperti tidak membicarakan isu-isu  sensitif yang boleh menyebabkan perbalahan kaum.

 Sehubungan dengan itu, negara Malaysia hendaklah menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan negara serantau. Misalnya isu lagu Negaraku yang menjadi perbalahan dengan Indonesia telah berjaya diselesaikan melalui rundingan.

Harapan untuk masa depan Malaysia agar terus memantapkan lagi hubungan serantau dan juga antarabangsa sama ada melalui pertukaran teknologi, budaya dan sukan. Sekiranya semangat ini berkekalan, maka harapan Malaysia untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai Wawasan 2020 akan termakbul.


            Cadangan rumusan 2

           
            Banyak pengetahuan yang diperolehi daripada daripada penyertaan Malaysia dalam pertubuhan serantau. Antaranya Malaysia telah mengambil langkah yang dinamis untuk bersaing dengan negara lain.

            Negara juga mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara jiran dan antarabangsa dalam menghadapi pelbagai ancaman luar. Selain itu Malaysia juga mewujudkan hubungan diplomatik bagi menjamin keharmonian sejagat dan meningkatkan ekonomi negara.

            Iktibar pada diri ialah kita harus hidup bersatu padu dan memupuk kerjasama serta bantu-membantu untuk kebaikan bersama. Kita juga harus mempunyai  sifat jati diri dan menyemai semangat cinta negara.

            Iktibar pada bangsa pula ialah dapat melahirkan bangsa Malaysia yang berdisiplin dan berdaya saing di peringkat global serta mengamal dan menghayati nilai-nilai murni dalam semua aspek kehidupan.

            Iktibar kepada negara pula ialah negara harus menjalin hubungan baik dengan semua negara terutama negara berjiran dan sentiasa menyokong usaha untuk memelihara keamanan.

Selain itu segala pertikaian harus diselesaikan secara diplomasi dan mengamalkan sikap toleransi.

            Harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang setelah menyertai dan bergiat aktif dalam pertubuhan serantau ialah menjadikan negara maju setanding dengan negara lain. Negara juga diharap dapat mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sejagat. Selain itu, melalui hubungan dan penyertaan Malaysia secara aktif dalam pertubuhan serantau memantapkan lagi hasrat untuk mencapai Wawasan 2020.






kertas 3 sejarah SPM 2013 - hubungan serantau (contoh jawapan) set 4

1.    Jelaskan latar belakang dasar luar Malaysia dan bentuk hubungan luar Malaysia.
-          Malaysia mempunyai dasar luar yang tersendiri iaitu dasar berbaik-baik dengan semua negara
-          Dasar luar Malaysia bertujuan menjamin keselamatan rakyat dan negara
-          Memelihara kepentingan nasional
-          Mengekalkan kedaulatan Negara
-          Menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi
-          Mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsa
-          Menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia
-          Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain
-          Hubungan bilateral – hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu
-          Hubungan multilateral – hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan

2.    Faktor penggubalan dan perkembangan dasar luar Malaysia.

(i)            Terangkan faktor-faktor penggubalan dasar luar Malaysia                          (25m)
Sama dengan set 1
(ii)          Huraikan perkembangan dasar luar Malaysia mengikut tahap berikut:
(a)          Tahap Pertama;                                                                                                    (5m)
               dasar pro barat yang anti komunis
               berbaik-baik dengan Negara jiran dan Komanwel
               dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman
               ancaman komunis di negara-negara Asia Tenggara dan di dalam negara
               Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel
              menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris- Tanah Melayu(  AMDA )
              Dasar luar-baik dengan Negara jiran bagi menangani krisis dengan negara luar
              membuat beberapa perjanjian dengan Negara luar
              bergantung kepada Britain untuk menjaga kepentingan ekonomi negara
              mengurangkan pergantungan kepada Britain dengan mengamalkan pasaran bebas
             dan  membina rangkaian perdagangan dengan negara luar
                   
(b)  Tahap Kedua;                                                                                                     (5m)
-          Dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara
-          Disebabkan kurangnya peranan dimainkan oleh AMDA dan kurangnya pengaruh Britain di timur
-          Disebabkan pergolakan yang berlaku di Vietnam
-          Mengisytiharkan konsep zon Aman Bebas dan Berkecuali(ZOPFAN) bersama anggota  ASEAN
-          Hubungan diplomatik dengan negara berfahman komunis dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Vietnam

(c)  Tahap Ketiga.                                                                                                      (5m)
-          Mengekalkan dasar-dasar tahap kedua
-          Memberi penekanan kepada kepentingan ekonomi
-          Menjalin hubungan yang erat dengan negara-negara ASEAN
-          Memperkenalkan dasar pandang ke timur dengan menggunakan negara Korea dan Jepun sebagai model
-          Mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara lain


3.    Terangkan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau.
(i)            MAPHILINDO                                                                                                            (5m)
-          Tujuan untuk meningkatkan hubungan persahabatan .
-          Menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia- Filipina dan Malaysia-Indonesia.
-          Malaysia telah mengambil langkah mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia.
-          Rundingan ini akhirnya membawa kepada penubuhan MAPHILINDO.
-          Memohon bantuan PBB untuk mendapat pandangan rakyat Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia.
-          PBB telah menghantar perwakilannya pada tahun 1963 yang diketuai oleh Lawrence V.Michael More untuk meninjau pandangan rakyat Sarawak dan Sabah.

(ii)          ASEAN                                                                                                                       (10m)

-          Dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada bulan Nov 1971 satu deklarasi bersama telah ditandatangi oleh semua Negara anggota yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur.
-          Mengistiharkan Negara-negara ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).
-          Konsep ZOPFAN teruji apabila Vietnam menceroboh Kampuchea pada tahun 1978 dan menjatuhkan kerajaan Khmer Rouge.
-          ASEAN berusaha mengatasi masalah ini dengan mengadakan satu mesyuarat bagi membentuk kerajaan demokratik campuran Kampuchea di bawah pimpinan Putera Norodom Sihanouk.
-          Vietnam bersetuju dengan cadangan berkenaan dan mesyuarat ini diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1982.
-          Dalam mesyuarat 1984, Menteri- Luar ASEAN memutuskan ASEAN ialah zon bebas senjata nuclear.
-          Rantau ini tidak akan membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan dan kemudahan pelabuhannya untuk mengangkut bahan atau senjata nuclear.
-          Negara-negara ASEAN telah membentuk kerjasama dalam projek-projek perindustrian contohnya baja urea di Bintulu serta di Acheh.
-          Kawasan perdagangan bebas ASEAN atau ASEAN Free Trade Area (AFTA) telah diumumkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada tahun 1992.
-          Malaysia mengemukakan idea melalui ASEAN untuk memperluas skop kerjasama ekonomi bagai rantau sebelah ini yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan.
-          Idea ini dikemukan oleh Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamad dinamakan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC).
-          Idea ini ditentang oleh Negara-negara maju terutama Amerika Syarikat tetapi tetap diteruskan melalui konsep ASEAN + 3.
-          Konsep ini merujuk kepada kerjasama yang ingin diwujudkan antara Negara ASEAN dengan Negara-negara timur iaitu China , Jepun dan Korea.
-          Kerjasama dalam bidang pendidikan wujud dengan tertubuhnya Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran ASEAN (SEAMEO).
-          Contohnya pembinaan Pusat Serantau untuk Sains dan Matematik (RECSAM) di Pulau Pinang, Malaysia.
-          Kerjasama ASEAN dalam bidang kebudayaan dan sosial seperti mengadakan festival kebudayaan dan kesenian dengan menubuhkan Tabung Kebudayaan ASEAN.
-          Pertukaran rancangan televisyen dan radio dijalankan.
-          Sukan SEA juga diadakan untuk merapatkan hubungan antara Negara melalui semangat kesukanan.
-          Dalam bidang pelancongan kerjasama dijalinkan dengan mengadakan Tahun Melawat ASEAN pada tahun 1992.


4. Mengaplikasi

   Pertukaran Kepentingan  Malaysia menjadi anggota pertubuhan dunia seperti  ASA, MAPHILINDO dan ASEAN.  Berdasarkan pemerhatian anda, huraikan kepentinganyang diperoleh negara kita setelah menjalinkan  . hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau.                                                                                                                               (10m)

  Antara kepentingannya ialah 
·         Pemindahan teknologi  ,
·         Peningkatan pelaburan dan modal asing
·         Pasaran yang lebih luas
·         Pertukaran tenaga kerja
·         Pertukaran kemahiran
·         Memperkayakan hasil kebudayaan dan  kesusasteraan
·         Menamalkan konsep persaudaraan dan permauafakatan.
·         Memajukan kecemerlangan sukan
·         Aliran bebas modal antarabangsa
·         Meningkatkan kualiti pengeluaran
·         Menambahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
·         Meningkatkan daya kreativiti
·         Memberi kesan positif dari aspek keselamatan
·         Mengukuhkan hubungan sosial diantara negara
·         Mengukuhkan nama negara di peringkat antarabangsa
·         Memberi impak positif dalam aspek pelancongan
·         (Mana-mana jawapan munasabah)


5. Menilai

   Kejayaan yang dicapai oleh negara.
  Berdasarkan pemerhatian anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi mewujudkan keamanan dankeselamatan dunia.                                                   (10m)

  Antara usaha yang boleh dilakukan ialah
 
·         Memperkukuhkan sistem pertahanan negara
·         Tidak membocorkan rahsia negara
·         Memupuk perpaduan melalui interaksi pelbagai kaum
·         Memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan
·         Penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan ketat ke atas pesalah
·         Memupuk semangat patriotism
·         Mengawal perairan / sempadan negara
·         Mendidik masyarakat mencintai keamanan
·         Mengharamkan penggunaan senjata nuklear dengan mewujudkan Zon Aman Bebas dan Berkecuali
·         Menganggotai pertubuhan-pertubuhan di peringkat antarabangsa
·         Bekerjasama dalam agensi PBB
·         Menyelesaikan masalah dengan cara perundingan
·         Menjaga hak asasi manusia
·         Menghormati kedaulatan negara lain
·         Menentang amalan keganasan
·         Melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti peringkat antarabangsa
·         Mengadakan projek usaha sama dalam kalangan anggota
(Mana-mana jawapan munasabah)

6.  Menjana Idea

  Menghadapi cabaran dalam hubungan serantau.

(i) Nyatakan cabaran utama yang dihadapi dalam hubungan serantau.                   (5m)

Cabaran utama yang perlu dihadapi ialah
·         Ledakan globalisasi
·         Melahirkan modal insan yang mempunyai sifat keyakinan, ketabahan dan amanah
·         Tidak mempunyai keyakinan dalam mempertahankan jati diri
·         Golongan muda tidak menguasai ilmu pengetahuan sains dan teknologi serta pelbagai kemahiran lain.
·         Implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal
·         Jenayah melepasi sempadan negara
·         Kebergantungan  kepada negara maju
·         Pengukuhkan sistem pertahanan negara
·         Kos taraf hidup meningkat
·         Kekurangan tenaga mahir
·         Kerendahan nilai-nilai murni
·         Masalah pengangguran
·         (Mana-mana jawapan munasabah)

(ii)  Apakah  langkah-langkah menghadapi cabaran tersebut?                                   (5m)

          Antara langkah mengatasi cabaran tersebut ialah
·                     Menguasai ICT
·                     Tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain
·                     Menghormati kedaulatan negara lain
·                     Memajukan sistem pendidikan
·                     Melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti peringkat antarabangsa
·                     Mengadakan projek usaha sama dalam kalangan anggota
·                     Memajukan sistem maklumat
·                     Mempelbagaikan sektor ekonomi
·                     Memupuk nilai-nilai murni
·                     Mengeratkan hubungan diplomatik dengan negara lain
·                     Memupuk budaya penyayang
(Mana-mana jawapan munasabah)





7.  Penerapan nilai-nilai murni iktibar / patriotism

      Nyatakan nilai-nilai murni/ iktibar penubuhan Malaysia yang boleh diterapkan demi mengekalkan
      kedaulatan serta memacu pembangunan negara yang mampan.                          (5m)

        Antara iktibar yang diperoleh ialah

·         Kita mesti belajar bersungguh-sungguh
·         Menguasai teknologi
·         Mematuhi ajaran agama
·         Patuh kepada undang-undang
·         Menghormati pemerintah
·         Mengamalkan budaya menyayang
·         Tidak melanggar undang-undang
·         Mengamalkan kesopanan dan kesusilaan
·         Menyangjung /berbangga kepada Negara
·         Bekerjasama memajukan negara
·         Mengamalkan kehidupan masyarakat yang hormat-menghormati, bekerjasama
(Mana-mana jawapan munasabah)

8.  Rumusan
     Pengetahuan yang diperoleh
     Iktibar kepada diri, bangsa dan negara
     Harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang                                 (5m)

    Antara pengetahuan yang diperoleh ialah

·         Kepentingan menjalinkan hubungan dengan negara luar untuk kestabilan politik dan ekonomi
·         Negara sentiasa berusaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara
·         Masyarakat perlu mengamalkan nilai-nilai murni bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan Negara berterusan
·         Kita haruslah menjadi warga global yang peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia
·         Saya berharap negara Malaysia akan terus maju kehadapan setandingan dengan negara-negara maju yang lain
·         Seterusnya, dapat merealisasikan wawasan 2020
    (Mana-mana jawapan munasabah)