PENAJA

Saturday 13 October 2012

Sepuluh babak romantis filem impian wanita

Selepas melayari beberapa laman sesawang yang memaparkan undian babak paling romantis dalam filem Hollywood, kami senaraikan sepuluh babak yang mendapat undian paling banyak daripada kaum wanita sebagai babak cinta impian mereka. Babak-babak ini bukan sekadar buat anda gila bayang dan mengeluh memikirkan realiti pahit-lagi-tawar perhubungan anda, tetapi juga memainkan peranan penting dalam budaya pop dan industri perfileman Hollywood. 

Nampaknya berdasarkan undian-undian tersebut, para wanita suka jika anda si lelaki melakukan perkara berikut: 

Menyanyikan lagu buat mereka sambil diiringi kumpulan pancaragam
10 THINGS I HATE ABOUT YOU (1999) 


Setiap wanita pasti akan mengalami satu fasa klise di mana mereka jatuh cinta dengan pemuda nakal dan berharap si pemuda akan melakukan sesuatu yang romantik dan berbeza dengan sikap sebenarnya. Oleh sebab yang demikian, ramai wanita yang jatuh cinta pada Heath Ledger (atau karakternya sebagai si biadap, Patrick Verona) apabila dia membuang sikap acuh tak acuhnya dan mengupah kumpulan pancaragam untuk mengiringinya ketika mendendangkan lagu Andy Williams "Can’t Take My Eyes Of You" untuk menarik perhatian Kat Stratford (lakonan Julia Stiles) agar memaafkannya, sebelum dia dikejar oleh pengawal keselamatan. 

Memberikan mereka ciuman di hujung kapal yang bakal karam
TITANIC (1997) 


"Titanic" akan jadi kurang hebat tanpa babak Rose mendepakan tangannya di hujung kapal dan mengucapkan, "Jack, I’m flying!" sambil dipegang oleh Jack Dawson – yang bakal mati malam itu. Ia merupakan babak ikonik bagi filem tersebut dan menjadi ilham bagi begitu ramai pasangan yang cuba melakukan hal menggelikan yang sama apabila mereka di atas kapal (sekalipun cuma replika Flor de La Mal di Melaka). Babak ini dianggap romantis bukan sekadar kerana babak itu sendiri, namun juga kerana para penonton tahu, saat mereka bersama akan musnah tidak lama selepas itu. 

Berdiri di depan rumah sambil memainkan lagu yang bermakna buat mereka
SAY ANYTHING (1989) 


Antara babak yang paling diingati oleh setiap remaja era 90-an, filem "Say Anything" menjadi hit kerana babak John Cusack dan boom boxnya. Di dalam babak ini, pasangan remaja Lloyd Dobler (John Cusack) dan Diane Court (Ione Skye) baru saja berpisah. Lloyd muncul di depan rumah Diane dan mengangkat boom box di atas kepala dan memainkan lagu "In Your Eyes" nyanyian Peter Gabriel untuk berbaik semula. Ia menjadi satu ikon dalam budaya pop, malah seringkali di-spoof oleh filem lain, contohnya filem "Easy A" lakonan Emma Stone. 

Muncul kembali sebagai hantu dan membuat tembikar dengan anda
GHOST (1990) 


Jika anda tidak berfikiran kotor tentang pasangan kekasih yang bermain dengan tanah liat, babak ini merupakan antara babak yang paling romantik – membuka jalan bagi begitu banyak filem-filem romantik yang mewarnai era 90-an. Babak ini bukan sekadar menaikkan populariti Patrick Swayze dan Demi Moore sehinggakan ia seringkali diulang semula dalam filem-filem spoof, malah ia juga menaikkan populariti lagu The Righteous Brother, "Unchained Melody". 

Memanjat tangga kecemasan bersama bunga 
PRETTY WOMAN (1990) 


Semuanya tentang "Pretty Woman" agak klise untuk penonton zaman sekarang. Namun pada saat kegemilangannya pada tahun 1990 (tahun yang sama "Ghost" ditayangkan), semua wanita mengeluh dengan rasa cemburu apabila Edward (lakonan Richard Gere) memandu limosinnya ke apartmen Vivian (Julia Robert), membawa sejambak bunga dan terus memanjat tangga kecemasan untuk mencuri hati Vivian. Pada tahun 1990, semua ingin menjadi seperti Vivian. Bukan! Bukan sebagai pelacur. Maksud kami, sebagai wanita bertuah yang mencuri hati seorang ahli korporat. 

Mengejar kapal terbang mereka dan menyanyikan lagu ciptaan sendiri
THE WEDDING SINGER (1998) 


Siapa sangka Adam Sandler juga boleh berada dalam golongan karakter yang menjadi kegilaan ramai? Dalam babak ini, watak lakonan Sandler sebagai Robbie enggan membenarkan Julia (Drew Barrymore) mengahwini tunangnya Glen. Oleh sebab yang demikian, Robbie telah memecah masuk ke dalam kapal terbang yang dinaiki Julia dan menyanyikan lagu yang diciptanya khas buat Julia, "I Want To Grow Old With You" melalui alat komunikasi pesawat. Macam filem Bollywood, kan? Oh, Bollywood memang dah tiru filem ini pun! Tontonlah "Kahin Pyaar Na Ho Jaaye" lakonan Salman Khan jika anda tidak percaya. 

Mencintai mereka sekalipun mereka sudah menjadi milik orang lain
LOVE ACTUALLY (2003) 


Dalam "Love Actually", Juliet (Kiera Knightley) menyangkakan kawan karib suaminya, Mark membencinya kerana lelaki itu sering kelihatan kekok apabila berdekatannya. Namun sangkaannya meleset kerana Mark (lakonan Andrew Lincoln) sebenarnya mencintainya sejak awal lagi. Babak Mark muncul di pintu rumahnya pada hari Krismas sambil memegang kad kiu yang tertulis "To Me You Are Perfect" (Pada saya, awak sempurna) bagi menjelaskan isi hatinya yang sebenar begitu menyentuh perasaan sehingga menjadi babak kegemaran ramai sekalipun filem ini memaparkan banyak kisah cinta yang lain. 

Kembali ke tanah air hanya kerana lupa untuk mengucapkan selamat tinggal pada anda
BRIDGET JONES' DIARY (2001) 


Begitu banyak babak yang menjadi pilihan dalam kisah seorang wanita 30-an bernama Bridget yang mencari cinta, namun akhirnya ramai yang memilih babak yang satu ini - selepas Bridget (Rene Zellwegger) meluahkan perasaannya pada Mark Darcy (Colin Firth), Mark tetap pergi ke Amerika untuk memulakan kerjayanya di sana. Namun begitu, Mark telah kembali ke England untuk memberitahu Bridget yang dia terlupa untuk memberikan ciuman selamat tinggal kepada gadis itu. 

Jika Colin Firth yang mengatakannya, sesiapa pun akan jatuh cinta. 

Mencintai mereka sehingga ke hujung nyawa
THE NOTEBOOK (2004) 


Kisah percintaan yang amat menyentuh hati lakonan Rachel McAdams dan Ryan Gosling ini menjadi pilihan penonton namun babak yang dipilih bukanlah babak yang memaparkan kedua-dua bintang muda ini. Babak kesukaan ramai muncul di penghujung cerita ketika watak lakonan Gena Rowlands yang mengalami penyakit alzheimer tersedar kisah yang diceritakan oleh watak lakonan James Garner merupakan kisah sebenar mereka. Babak di mana mereka berdua berbaring di atas katil hospital sambil berpegang tangan telah menyebabkan panggung banjir dengan tangisan! 

Datang ke rumah dan meluahkan perasaan dengan panjang di depan orang lain
JERRY MAGUIRE (1996) 

"You complete me" dan "You had me at hello". Hanya dalam satu babak, dua ayat ini menjadi ayat paling popular dalam sejarah filem-filem romantik. Selepas ditinggalkan Dorothy yang merasakan dirinya sekadar dipergunakan, Jerry (Tom Cruise) muncul di rumah Dorothy dan di depan sekumpulan wanita yang menjadi tetamu Dorothy, Jerry menjelaskan bahawa Dorothy melengkapkan hidupnya. Sementara semua wanita rasa terharu dengan babak tersebut, kaum lelaki pula tertawan dengan Renee Zellwegger tatkala dia membalas luahan Jerry dengan mengatakan dia telah pun terpujuk belum pun Jerry mengatakan apa-apa. 

http://www.tupai.com.my/2012/07/sepuluh-babak-romantis-filem-impian_02.html

No comments:

Post a Comment