PENAJA

Thursday 31 October 2013

kertas 3 sejarah SPM 2013 - hubungan serantau (contoh jawapan) set 3

1.    Pengenalan [5 markah]
Nyatakan latar belakang Malaysia dalam hubungan luar

Malaysia mempunyai dasar luarnya yang tersendiri, iaitu berbaik-baik dengan semua negara. Kepentingan dasar luar Malaysia merujuk pada matlamat yang ingin dicapai oleh Malaysia iaitu menjamin keselamatan rakyat dan negara.
Matlamat dasar luar Malaysia juga untuk memelihara kepentingan nasional dan mengekalkan kedaulatan negaraSelain itu menggalakkan pembangunan dan kemajuan ekonomi serta mengekalkan keamanan sejagat melalui kerjasama antarabangsaMalaysia juga ingin menjadi warga global yang bertanggungjawab dan peka terhadap usaha memupuk kesejahteraan dunia
            Malaysia melaksanakan dua bentuk hubungan luar dengan negara-negara lain, iaitu hubungan bilateral dan hubungan multilateral. Hubungan bilateral merujuk pada hubungan secara terus dengan negara-negara tertentu. Contohnya, Malaysia mengutamakan hubungan dengan negara-negara jiran antaranya termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.Selain itu, hubungan luar juga diadakan dengan negara Asia yang lain, Amerika latin, Afrika, Asia Barat serta negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat.

            Hubungan multilateral pula merujuk pada hubungan dalam bentuk kumpulan dan pertubuhan seperti Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara atau Association of South-East Asian Nations (ASEAN), Komanwel, Pertubuhan Persidangan Islam atau Organisation of Islamic Conference (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau Non-Allingned Movement (NAM) dan sebagainya.      Pertubuhan serantau merupakan satu pertubuhan yang keanggotaannya terdiri daripada negara-negara yang berjiran antara satu sama lain. Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik , ekonomi atau sosial.         Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah dibentuk dan disertainya, iaitu ASA pada tahun 1961, MAPHILINDO pada tahun 1963 dan ASEAN pada tahun 1967.

2.    Memahami [ 40 markah ]
Terangkan faktor-faktor yang mempengaruhi asas penggubalan dasar luar Malaysia.
          
Malaysia mengadakan hubungan dengan negara luar. Banyak faktor yang menentukan dasar luar negara. Faktor-faktor tersebut ialah faktor sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.
                       
Faktor Sejarah

Dari segi sejarah, hubungan luar ini telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi seperti dengan China, Arab, dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan ini berbentuk hubungan perdagangan.

Hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu juga telah terjalin dengan negara-negara yang pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan MalaysiaSetelah mencapai kemerdekaan Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatik dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zerland. Ini disebabkan pada masa itu Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis yang menggugat keselamatan Malaysia telah mendorong Malaysia mengamalkan dasar pro barat dan anti komunis. Pada masa yang sama Malaysia masih bergantung kepada barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan sendiri.

Faktor ekonomi

Malaysia juga menjalin hubungan baik degan negara-negara lain untuk memajukan ekonominya yang mengamalkan pasaran bebas.Sejak zaman penjajahan lagi Malaysia merupakan pengeluar utama bijih timah dan getah. Setelah mencapai kemerdekaan Malaysia masih mengharapkan pasaran dan modal daripada negara Britain dan Amerika Syarikat. Oleh itu, Malaysia telah mengambil langkah untuk menggalakkan pelaburan asing agar dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.Menjelang tahun 1980an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing dari negara di timur terutama Jepun dan Korea digalakkan di samping menjalin hubungan baik dengan negara membangun dan negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara yang berkenaan.
           
Faktor Geografi

Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik, mempunyai sempadan daratan dengan kebanyakan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Brunei.Malaysia juga mempunyai sempadan lautan dengan Filipina, Indonesia dan Singapura.Malaysia juga mempunyai perairan yang menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan dunia. Contohnya Selat Melaka.Keselamatan Malaysia mempengaruhi keselamatan serantau

Faktor Politik

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa depannya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat.Dasar luar Malaysia amat menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat.Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan piagam PBB bagi memelihara keamanan dunia.Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

Faktor Demografi

Malaysia mempunyai  rakyat yang majoriti beragama Islam. Oleh itu, Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Negara-negara Islam seperti Arab Saudi.Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Negara Israel kerana menceroboh dan menindas rakyat Palestin.Malaysia sebuah Negara pelbagai kaum dan agama mengamalkan kebebasan budaya hidup dan agama. Oleh itu, Malaysia telah menentang keras Dasar Aparteid yang mengamalkan perbezaan warna kulit di Afrika Selatan.Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sehinggalah dasar itu dihapuskan

3.    Menganalisis [15 markah]
            Huraikan perkembangan hubungan Serantau Malaysia melalui :

(i)           ASA
(ii)          MAPHILINDO
(iii)         ASEAN                                             

Sejak merdeka Malaysia telah menyertai tiga buah pertubuhan serantau iaitu Persatuan Negara-negara Asia tenggara (ASA), Pertubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik, ekonomi atau sosial.


(i)            ASA

         Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASA) telah ditubuhkan pada 31 Julai 1961, hasil daripada satu mesyuarat yang diadakan di Bangkok antara Malaysia dengan Thailand dan Filipina. Setelah mencapai kemerdekaan, negara kita dan juga negara-negara jiran serantau iaitu Thailand dan Filipina diancam hebat oleh pengaruh Komunis. Di Malaysia, Parti Komunis Malaya (PKM)  menyebarkan pengaruh fahaman komunis  di kalangan rakyat.. PKM .telah menggunakan sempadan Malaysia-Thailand sebagai pengkalan gerakan gerila mereka.Malaysia ingin mengadakan kerjasama dengan negara jiran agar dapat membendung pengaruh dan gerakan PKM. Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan ASA untuk melindungi negara-negara anggota daripada ancaman tersebut dan menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.       Walaubagaimanapun, matlamat tersebut tidak banyak dicapai kerana ketiadaan kerjasama yang erat. ASA dianggap sebagai pertubuhan anti Presiden Soerkarno di Indonesia.Akhirnya pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina tentang penubuhan persekutuan Malaysia  telah membawa kepada pembubaran ASA  pada tahun 1963.

(ii)          MAPHILINDO
         Pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina dan Indonesia timbul disebabkan oleh cadangan pembentukan Malaysia. Presiden Soekarno menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru. Filipina pula menuntut Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia dan akhirnya  membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. Melalui MAPHILINDO, bantuan PBB dipohon bagi mendapatkan pandangan rakyar Sarawak dan Sabah tentang cadangan penubuhan persekutuan Malaysia. Pada tahun 1963 Lawrence V. Michael More (wakil PBB) telah dihantar meninjau pandangan rakyat Sarawak dan Sabah.Walaupun hasil tinjauan mendapati  majoriti rakyat kedua-dua negeri berkenaan bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia, namun Indonesia dan Filipina kurang berpuas hati.Persengketaan berterusan dan menyebabkan MAPHILINDO telah tidak berperanan lagi.

(iii)         Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)

Walaupun ASA dan MAPHILINDO gagal, hasrat Malaysia untuk berbaik-baik dan bekerjasama dengan negara-negara  jiran tetap diteruskan. Akhirnya, Deklarasi Bangkok telah termeterai pada 8 Ogos 1967 yang membawa kepada penubuhan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN. Keanggotaan ASEAN pada ketika itu terdiri daripada lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan SingapuraJumlah anggota bertambah menjadi sepuluh kesemuanya apabila Vietnam, Myanmar, Brunei, Laos dan Kampuchea menyertainya.Antara matlamat penubuhannya termasuklah mengekalkan kestabilan politik di Rantau Asia Tenggara dan membantu antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian.

Selain itu, negara-negara anggota ASEAN juga saling berkerjasama dalam bentuk latihan dan penyelidikan serta mengadakan hubungan yang erat dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa.Kerjasama antara negara anggota ASEAN semakin teguh hingga hari ini. Bagi memastikan perjalanannya yang lancar, struktur pentadbiran ASEAN telah dibentuk dengan diketuai oleh Menteri Luar ASEAN dan dibantu oleh Jawatankuasa Tetap Sosial dan Jawatankuasa Tetap Ekonomi. Antara kerjasama yang terjalin termasuklah mengistiharkan ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali pada tahun 1971, pengistiharan Zon Bebas Senjata Nuklear pada tahun 1984 dan Zon Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN pada tahun 1992.

4.    Aplilkasi [10 markah]
Jelaskan usaha-usaha Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau.


Antara usaha  Malaysia dalam mewujudkan keamanan serantau iaitu dalam mesyuarat menteri-menteri ASEAN di Kuala Lumpur, mereka telah mengisytiharkan negara-negara ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali   (ZOPFAN).Malaysia juga tidak bersekongkol dengan mana-mana blok barat atau blok timur bagi mengelakkan campur tangan kuasa besar.Malaysia dalam ASEAN berusaha membantu Kampuchea menjatuhkan kerajaan Khmer Rouge dengan mengadakan satu mesyuarat bagi membentuk kerajaan demokratik campuran Kampuchea di bawah pimpinan Putera Norodom Sihanouk di Kuala Lumpur tahun 1982.Dalam mesyuarat tahun 1984, menteri-menteri luar ASEAN memutuskan bahawa ASEAN ialah zon bebas senjata nuklear.Dengan ini tidak membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan dan kemudahan pelabuhannya untuk mengangkut bahan atau senjata nuklear.Selain itu, Malaysia memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.Malaysia dan kerajaan Thailand bekerjasama dalam bidang pertahanan iaitu persempadanan seperti di Rantau Panjang, dan Bukit Kayu Hitam.
           
Malaysia juga menjadi perantara gencatan senjata antara kerajaan Filipina dengan MNLF.Malaysia dalam ASEAN Regional Forum telah memperjuangkan penyelesaian politik di Kemboja di mana tentera Vietnam  diberi tekanan agar segera berundur dari Kemboja dan rakyatnya diberi peluang menentukan nasib sendiri.Malaysia menjalin kerjasama dengan kerajaan Filipina menyelesaikan isu pencerobohan di Lahad Datu oleh keturunan Kesultanan Sulu.Negara Malaysia juga bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani isu pengganas dengan membenarkan Indonesia mengekstradisi rakyat Malaysia iaitu Nordin Mat Top yang disyaki menjadi dalang dalam beberapa siri keganasan.Malaysia juga memberi pengampunan kepada pendatang tanpa izin dari negara Indonesia, Vietnam dan Myanmar yang memasuki Malaysia secara haram.Malaysia dapat menyelesaikan isu tuntutan terhadap Pulau Batu Putih dengan kerajaan Singapura dengan bijak.Malaysia tidak campur tangan dalam isu yang berlaku di selatan Thailand selaras dengan dasar berkecuali yang diamalkan oleh negara.
           










5.    Menilai [10 markah]
Pertubuhan serantau telah memberikan banyak faedah kepada negaraa-negara anggotanya. Bincangkan
                                                                                               
               Antara faedah yang diperoleh Malaysia melalui hubungan serantau ialah wujudnya kestabilan politik.     Hal ini demikian kerana melalui ASEAN hasil daripada Deklarasi Kuala Lumpur Malaysia telah mencadangkan supaya negara-negara ASEAN diisytiharkan sebagai zon aman,bebas, dan berkecuali ( ZOPFAN ). Dengan adanya perisyitharan tersebut rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni serta dapat menjamin kestabilan politik di negara ini. Secara tidak langsung   kedaulatan negara kita dapat dikekalkan. Rantau yang aman,selamat,dan berkecuali akan dijamin jika negara kita menjalin hubungan yang baik dengan negara serantau. Sehubungan dengan itu, negara kita tidak terlibat dalam kancah peperangan dengan negara lain atau melibatkan diri dalam konflik negara lain. Hal ini secara tidak langsung telah mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara kita.Di samping itu juga dalam memastikan negara kita bebas daripada ancaman senjata nuklear apabila ASEAN mengisytiharkan rantau ini sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear yang tidak membenarkan mana-mana kapal menggunakan perairan rantau ini untuk membawa senjata nuklear.
                                                               
Di samping itu,hubungan baik yang dijalin dengan negara serantau telah memudahkan kita untuk mendapatkan bantuan . Oleh hal yang demikian, negara- negara di dunia hanya akan menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Negara serantau akan memberi bantuan dengan segera  apabila negara kita memerlukan bantuan kerana hubungan yang erat telah dijalinkan antara satu sama lain.Selain itu,hubungan baik  dan erat dengan negara serantau juga dapat meningkat dan memakmurkan ekonomi negara. Hal ini kerana penubuhan AFTA iaitu  zon bebas cukai antara negara ASEAN mewujudkan pasaran yang berpotensi besar kepada pengeksport Malaysia asalkan mereka meningkatkan piawaian produk dan perkhidmatan.Penubuhan AFTA membolehkan barangan dari negara serantau bersaing secara sihat . Dengan demikian rakyat Malaysia juga dapat membeli barangan yang berkualiti dari negara ASEAN dapat membeli barang yang berkualiti setelah AFTA ditubuhkan. Di samping itu zon kawasan perdagangan bebas ASEAN juga memberi faedah dari segi perdagangan dan pasaran. Begitu juga dengan Perundingan Ekonomi Asia Timur  ( EAEC ) berdasarkan konsep dan idea ASEAN + 3 melibatkan negara Cina, Jepun dan Korea Selatan yang dikemukakan Malaysia telah meluaskan lagi kerjasama ekonomi bagi rantau Asia dan Asia Tenggara.

Faedah lain yang turut dinikmati Malaysia ialah dari segi kerjasama projek –projek perindustrian seperti projek baja urea di Bintulu, Sarawak dan juga di Acheh.Sementara itu dalam bidang sosial juga hasil daripada hubungan serantau yang dijalinkan Malaysia maka wujudnya kerjasama kebudayaan dan kesenianPenubuhan tabung kesenian ASEAN dan pertukaran rancangan televisyen antara negara-negara ASEAN seperti rancangan Salam Muhibbah RTM-RTB, dan RTM-RRI.
Malaysia juga mendapat faedah dari segi pelancongan dengan melancarkan Tahun Melawat Malaysia buat kali pertama pada tahun 1992 dan akan diteruskan pada tahun hadapan untuk kali keempat dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke negara kita. Selain itu dengan adanya hubungan serantau juga negara kita telah berjaya mengambil bahagian dalam kejohanan SUKAN SEA dan pernah menjadi tuan rumah untuk kejohanan tersebut.Malah Malaysia juga akan turut mengambil bahagian dalam kejohanan sukan SEA yang akan diadakan di Myanmar pada tahun ini. Dengan adanya penglibatan tersebut negara kita lebih dikenali dan berjaya menaikkan imej negara dengan meraih kejayaan dalam sukan tersebut. Faedah seterusnya ialah dapat meningkatkan taraf pendidikan di negara kita hasil daripada wujudnya kerjasama dalam bidang pendidikan melalui Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran ASEAN ( SEAMEO ). Hasil daripada kerjasama tersebut  pembinaan Pusat Serantau untuk Sains dan Matematik (RECSAM) telah diadakan di Pulau Pinang.

6.    Menjana Idea [10 markah]           
Malaysia  telah memperjuangkan banyak isu melalui pertubuhan    
antarabangsa. Nyatakan isu yang yang diperjuangkan dan cara    
penyelesaiannya

Terdapat banyak isu yang timbul diperingkat ASEAN sejak akhir-akhir ini. Antaranya isu kebanjiran pendatang tanpa izin ( PATI ) ke negara kita dan juga negara –negara anggota  ASEAN yang lain. Selain itu isu pencemaran alam seperti pembakaran secara terbuka yang berlaku hampir setiap tahun di Indonesia. Isu LYNAS iaitu pembinaan logi pembuangan sisa-sisa toksik di Malaysia baru-baru ini. Selain daripada itu isu pemberontakan. Contohnya, pemberontakan yang berlaku di Lahad Datu, Sabah dan pemberontakan puak Moro di Filipina. Di samping itu juga isu pelarian Rohinya yang masih belum ada jalan penyelesaian. Isu-isu yang lain seperti penyeludupan dadah,pemerdagangan manusia, isu tenaga kerja, isu penyeludupan senjata api , isu pencerobohan perairan Malaysia dan sebagainya.

Langkah-langkah penyelesaiannya.
Isu-isu yang berlaku di peringkat ASEAN perlu ditangani segera demi kebaikan bersama. Antara langkah-langkah penyelesaiannya ialah kekerapan mengadakan persidangan atau mesyuarat menteri-menteri antara negara-negara anggota ASEAN.Masalah negara ASEAN hari ini juga boleh diselesaikan jika setiap negara anggota mengamalkan konsep kesederhanaan atau wassatiyah. Jika semua negara anggota menggunakan kesederhanaan dalam tindak – tanduk dan dasar mereka, keamanan akan dapat digapai serta setiap negara akan mempunyai masyarakat yang lebih adil dan saksama.ASEAN hendaklah juga menghormati hak asasi setiap negara. Menghormati hak asasi setiap negara dapat mengelakkan konfrantasi dan konflik dalam kalangan negara-negara anggota.Langkah-langkah penyelesaian lain yang boleh dilakukan seperti penguatkuasaan undang-undang, menguasai ilmu pengetahuan, mengeratkan hubungan dagangan, menggalakkan daya saing yang sihat, melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan membentuk mutu pendidikan bertaraf dunia.
 7. Nilai-nilai murni / iktibar / patriotisme [10 markah]

(a). Nyatakan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang pemimpin bagi menjamin kesejahteraan Malaysia pada masa depan

Sebagai seorang pemimpin kita perlu bijak mengambil peluang untuk kemajuan negara.Selain itu pemimpin mestilah adil, saksama dan bertanggungjawab.Di samping itu, pemimpin juga mesti sanggup berkorban dan berfikiran terbuka untuk menerima pendapat. Pemimpin juga harus mempunyai semangat patriotic dan berwawasanPemimpin juga mesti sanggup berkorban dan berfikiran terbuka untuk menerima pendapat. Pemimpin juga harus mempunyai semangat patriotic dan berwawasan

(b). Nyatakan nilai-nilai murni yang boleh diperolehi daripada penglibatan
      Malaysia dalam hubungan serantau

Di antara nilai-nilai murni yang diperoleh ialah menjaga keamanan negara dan menghormati kedaulatan negara jiran .Kita hendaklah bersatupadu dan berkerjasama dalam semua aspek ekonomi, politik dan sosial. Di samping itu, kita juga haruslah bersifat toleransi dan mempunyai semangat kekitaan

(c). Nyatakan sifat yang perlu diamalkan untuk keamanan serantau.

Di antara sifat yang perlu diamalkan ialah berani mempertahankan negara dan menghormati kedaulatan negara serantau. Di samping itu, kita juga harus menjalin hubungan komunikasi yang baik. Selain itu, kita mestilah bersikap terbuka dan berpandangan jauh dalam menjalinkan hubungan serantau.

8.    Rumusan [5 markah]

Melalui tajuk ini,saya memperolehi pengetahuan tentang peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau seperti ASA,MAPHILINDO dan ASEAN. Contohnya, dalam menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia-Filipina dan Malaysia-Indonesia.Saya juga dapat mengetahui faedah yang diperolehi oleh Malaysia melalui hubungan serantau..            Di samping itu, iktibar kepada kita hendaklah saling membantu demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.Contohnya dalam bidang ekonomi, sokongan negara-negara serantau amat diperlukan.Selain itu, rakyat Malaysia hendaklah mengamalkan sikap toleransi antara kaum demi mengekalkan keamanan negara seperti tidak membicarakan isu-isu  sensitif yang boleh menyebabkan perbalahan kaum. Sehubungan dengan itu, negara Malaysia hendaklah menjaga dan mengekalkan hubungan baik dengan negara serantau. Misalnya isu lagu Negaraku yang menjadi perbalahan dengan Indonesia telah berjaya diselesaikan melalui rundingan.Harapan untuk masa depan Malaysia agar terus memantapkan lagi hubungan serantau dan juga antarabangsa sama ada melalui pertukaran teknologi, budaya dan sukan.Sekiranya semangat ini berkekalan, maka harapan Malaysia untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai Wawasan 2020 akan termakbul.

No comments:

Post a Comment