PENAJA

Wednesday, 22 May 2013

Rahsia bilik mandi


Pelik jika ada lelaki yang mengambil masa lama ketika mandi. Mengikut kebiasaan, lelaki lebih selamba dalam menyiapkan diri. Paling lama pun, 10 minit kerana bercukur atau membuang sisa sepatutnya.
Tapi ada juga lelaki yang mengambil masa panjang di dalam tandas. Apa yang mereka lakukan? Pastinya aktiviti di dalam tandas antara lelaki dan wanita jauh berbeza. Kalau wanita perlukan masa untuk memanjakan tubuh badan dengan sabun atau menyegarkan rambut dengan syampu, lelaki tidak perlukan semua itu. 
Daripada tinjauan dilakukan, wanita sering merungut jika lelaki sama ada suami atau adik beradik lelaki mereka mengambil masa lama sewaktu ke bilik air. Kenapa perkara ini berlaku? 

Bilik air dianggap sebagai ruang meditasi khas untuk diri sendiri. Cukup peribadi dan amat ‘istimewa’ buat kaum Adam seluruh dunia. Apabila sudah menghabiskan masa dengan pasangannya, bagi mereka di bilik air saja ‘masa’ untuk mereka bersendirian.

Tiada gangguan anak-anak, isteri mahupun panggilan telefon. Maka, mereka menikmati saat ini sebaiknya.

Begitu juga lelaki bujang, mereka akan menjadikan ruang tandas itu sebagai alternatif bagi bersendirian, jauh daripada teman serumah atau adik-beradik dan keluarga yang lain. 

Ada lelaki yang tidak boleh terburu-buru sewaktu membersihkan dirinya. Harus dilakukan secara turutan. Jika mandi terburu-buru, kesannya mereka terasa seperti tidak lengkap dengan penampilan diri untuk hari itu.

Mungkin menimbulkan perasaan tidak yakin untuk berhadapan dengan orang ramai. Bukan semua lelaki begini, hanya sebahagian saja dan kebanyakan mereka adalah metroseksual yang begitu menjaga kebersihan dan ketrampilan diri. Ada juga yang boleh mandi hanya lima minit. Bergantung kepada individu.

Lelaki suka membaca apabila di dalam bilik air terutama ketika ‘melepaskan hajat’. Tidak kiralah berbentuk akhbar mahupun artikel. Selepas membaca, barulah mereka membersihkan diri.

Waktu ini dianggap masa untuk berfikir ataupun mengetahui perkara yang terlepas pandang. Maka, jangan hairan jika terserempak si suami ataupun ahli keluarga lelaki mengendong buku masuk ke bilik air. Cukup berlainan daripada wanita.

Jangan dimarahi pasangan anda jika berada lama. Percaya atau tidak, lelaki lebih lama berada di hadapan cermin. Membelek mukanya dulu sebelum bercukur. Lebih kronik, lelaki akan menjadikan peluang melihat wajah di depan cermin sebagai satu ruang untuk bermain dengan imaginasi.

Mereka akan berangan dan mengingat semula segala pujian atau komen sesiapa mengenai wajah mereka. Kemudian ada juga lelaki yang melihat sendiri wajah sambil memikirkan untuk mencari kekasih, mencuba gadis baru atau sebagainya. 

Segala fikiran nakal lelaki lebih banyak tertumpu ketika mereka berdiri di depan cermin sendirian pada waktu pagi. Merapikan janggut saja sudah memakan masa 10 minit. Itu belum lagi mencuci muka, memberus gigi dan sebagainya. 

Jika yang merokok, mereka akan menghabiskan sebatang rokok dulu terutamanya semasa membuang air besar sambil berfikir. Alasannya kerana di bilik air mereka bebas berkhayal apa saja topik tanpa sebarang gangguan.

Mitos lelaki melakukan onani di dalam tandas adalah tidak tepat untuk diadili kepada semua lelaki kerana kebanyakan mereka hanya mencuri masa lebih lama untuk membersihkan diri semata-mata.


Fakta menarik
  • Raja Britain, George II mati akibat terjatuh di dalam tandas pada 25 Oktober 1760.
  • Pemegang di tandas awam mempunyai sehingga 40,000 kuman perinci persegi.
  • Walaupun dia tidak mencipta tandas, Thomas Crapper menyempurnakan sistem siram yang kita gunakan di tandas pada hari ini.
  • Secara purata, seseorang manusia menghabiskan masa selama tiga tahun hidupnya berada di dalam tandas.



  • mymetro
  • No comments:

    Post a Comment