PENAJA

Sunday 29 September 2013

Yamaha Z250

Kawasaki Z250 punya banyak tarikan
Bagi setiap penunggang, semakin masa berlalu, pastinya perasaan ingin menaik taraf motosikal sedia ada akan terlintas di fikiran. Model terbaru daripada Kawasaki, Z250 mungkin adalah jawapan untuk mereka yang sekarang menunggang kapcai atau moped.
Dengan kapasiti enjin 250cc, mereka yang sudah sedia menunggang tidak perlu menaik taraf lesen kepada B penuh untuk menunggang secara halal di atas jalan raya. Itu adalah antara tarikan yang ada pada model Z250.
Dari segi penampilan, jelas dapat dilihat Z250 berkongsi banyak persamaan dengan ‘abangnya’ iaitu Z800. Rupa agresif tanpa penghadang angin (fairing) dan garisan-garisan tajam menjadikan ia kelihatan seperti ingin ‘menyerang’ walaupun tidak bergerak. Satu lagi kelebihan dengan rekaan ini adalah lampunya akan mengikut pusingan pemegang tangan.
Sementara itu, daripada segi platform dan enjin, ia menggunakan bahagian yang sama dengan model sports permulaan Kawasaki, Ninja 250. Panjang keseluruhan dan jarak roda masing-masing 2010mm dan 1400mm adalah sama manakala lebar, tinggi dan kelegaan antara jalan Z250 mempunyai jumlah yang lebih, masing-masing 35mm, 85mm dan 5mm.
Walaupun dikatakan kedudukannya tegak untuk penunggang, penulis merasakan ia masih lagi sedikit condong ke hadapan. Tetapi, sudutnya adalah kurang berbanding dengan Ninja 250 yang bercirikan sport dan memerlukan penunggang lebih menunduk untuk mencapai pemegang. Selepas menunggang selama 15 minit di atas jalan raya biasa dari USJ, Subang ke Shah Alam, Bukit Jelutong dan kembali ke USJ, ia masih lagi selesa dan tidak memenatkan.
Untuk menarik klac Z250, penunggang tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak kerana ia adalah lembut, seterusnya memudahkan penggunaan di dalam bandar. Melompat daripada sebuah motosikal 1,000cc (yang sedang digunakan untuk tunggang uji) kepada motosikal 250cc ini, perbezaan kuasanya memang amat jelas. Tetapi, penulis masih lagi dapat berseronok dengan Z250 semasa sesi tunggang uji yang dilakukan di Litar Speedway Plus, USJ.
Hubungan di antara pendikit yang dipulas dan kuasa yang dikeluarkan oleh enjin adalah responsif, menjadikan kawalan penunggang lebih tepat. Gear pula dapat dimasukkan dengan mudah tanpa sebarang masalah.
Dalam keadaan pegun, enjin Z250 mengeluarkan bunyi yang lembut dan tidak banyak bergegar, dan sehingga kelajuan tinggi pun, gegarannya masih lagi tidak begitu kuat. Semasa menunggangnya di atas lebuh raya dengan diiringi ‘marshall’, penulis mencecah sehingga 120km/j dan motosikal masih lagi stabil dan selesa. Cuma, rintangan angin semakin terasa pada kelajuan tersebut.
Semasa bergerak pelahan pula, badan ‘naked’ dan pemegang yang lebar serta ringan membantu penulis mengawal motosikal dengan mudah.
Berbalik kepada ujian di dalam litar, penulis mengerah Z250 sehingga maksimum di jalan lurus dan apabila selekoh semakin hampir, kedua-dua pengawal brek digunakan dan  mendapati ia mencukupi walaupun hanya menggunakan set tunggal pada roda hadapan dan belakang.
Dengan semua ciri ini, Z250 menepati ciri-ciri yang mesra pengguna. Z250 didatangkan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, merah dan putih dan jaminan selama satu tahun atau 10,000km, sama seperti motosikal CKD lain yang ditawarkan oleh Kawasaki Motors Malaysia. -Durrani Sharom

SPESIFIKASI
Kawasaki Z250
Enjin: 249cc, dua silinder selari, empat lejang, sejukan cecair, DOHC, lapan injap, suntikan bahan api
Transmisi: enam kelajuan
Kuasa maksimum: 32hp @ 11,000rpm
Tork maksimum: 21Nm @ 10,000rpm
Brek: Cakera berkelopak tunggal 290mm dan angkup dwi omboh di hadapan, cakera berkelopak tunggal 220mm dan angkup dwi omboh di belakang
Suspensi: rahang teleskopik 37mm di hadapan dan ‘Bottom Link Uni-Trak’ dengan penyerap gas dan pra beban boleh laras lima kedudukan.
Kapasiti tangki: 17 liter
Berat: 168kg
Harga: RM21,589 (tanpa insurans)
-BHauto

2 comments:

  1. most man memang suka motor macam ni..menonjolkan ciri maskulin diaorang..

    ReplyDelete
  2. Sape la y leh belikan aku sebijik huhu

    ReplyDelete