Demi mendapat perhatian ramai dan keinginan mahu dihargai serta disayangi, Alicia Esteve yang kini berusia 40 tahun sanggup mereka cerita dia menjadi antara mangsa keruntuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Amerika Syarikat (AS) ketika bangunan itu menjadi sasaran serangan pengganas dalam kejadian 11 September 2001.
Hakikatnya, Alicia yang ketika itu baru berusia 28 tahun, bukan saja berada di negara asalnya Sepanyol ketika kejadian, malah hanya menjejakkan kaki ke AS buat pertama kali selepas dua tahun tragedi berkenaan.
Menggunakan nama samaran Tania Head, Alicia muncul di tengah kesedihan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah mangsa terhadap kurangnya perhatian dan sokongan diberikan kerajaan bagi menyalurkan bantuan wajar kepada mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan kejadian malang itu.
Cerita menyayat hati Alicia yang mendakwa nyawa-nyawa ikan dan hampir kehilangan tangannya dalam kejadian itu sebelum ditarik keluar dengan selamat dari runtuhan oleh seorang lelaki yang memakai bandana merah di kepala, memukau ramai pihak hingga dia diangkat sebagai Presiden Rangkaian Mangsa Terselamat WTC.
Cerita menyayat hati Alicia yang mendakwa nyawa-nyawa ikan dan hampir kehilangan tangannya dalam kejadian itu sebelum ditarik keluar dengan selamat dari runtuhan oleh seorang lelaki yang memakai bandana merah di kepala, memukau ramai pihak hingga dia diangkat sebagai Presiden Rangkaian Mangsa Terselamat WTC.
Tidak cukup dengan kisahnya hampir menemui ajal, Alicia turut mendakwa dia kehilangan tunang tersayang, Dave yang bekerja di bahagian menara utara bangunan berkenaan.
Bagi meraih perhatian media, Alicia juga mengatakan kononnya seorang lelaki yang sedang nazak ketika runtuhan berlaku memintanya untuk membantu memberikan cincin perkahwinan kepada isterinya.
Alicia turut mendakwa dia berada di tingkat 78 di bahagian selatan menara ketika kapal terbang, United Airlines Flight 175 yang ditawan pengganas melanggar WTC, sekali gus menjadikan dia antara hanya 19 orang di tingkat itu dan di atasnya yang terselamat dalam kejadian ngeri itu.
Pada 2005, anak jati bandar Barcelona itu dipilih untuk menerajui Pusat Pelawat Penghormatan WTC serta membawa pelawat ternama melihat keadaan sekeliling runtuhan termasuk Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg; mantan Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani dan Gabenor New York, George Pataki.
Dia juga dijemput ramai untuk memberikan ucapan di merata tempat termasuk kolej, menceritakan kisah sebagai mangsa runtuhan menara itu yang mendapat perhatian seluruh dunia.
Dengan penuh yakin, Alicia sering berkongsi ‘pengalaman tragisnya’ kepada kumpulan pelawat. Kata-kata seperti “saya seorang mangsa dan saya akan menceritakannya kepada anda” sering bermain di bibirnya.
Namun pada 2007, enam tahun selepas kejadian, bibit penipuan Alicia mula terbongkar apabila akhbar The New York Times mengambil langkah mengesahkan setiap fakta dalam kisah wanita itu.
Alicia menarik diri daripada tiga temu ramah yang sudah dijadualkan dan kemudian enggan bertemu wartawan. The New York Times kemudian menghubungi mangsa lain untuk memujuk Alicia, namun dia tetap enggan ditemu ramah.
Akhbar itu mula menimbulkan persoalan terhadap kebenaran fakta cerita Alicia dan pada 27 September 2007, pertubuhan Rangkaian Mangsa Terselamat WTC mengundi untuk memecat wanita itu sebagai presiden dan pengarah kumpulan itu kerana mereka-reka cerita.
Satu elemen yang dipersoalkan ialah pertunangannya dengan seorang lelaki bernama Dave. Keluarga lelaki itu mendakwa tidak pernah mendengar mengenai Alicia.
Janice Cilento, seorang pekerja sosial di pertubuhan Rangkaian Mangsa Terselamat WTC dan rapat dengan Alicia berkata, pada September 2007, wanita itu membuat perubahan dalam pengakuannya beberapa minggu sebelum semuanya terbongkar. Dia mendakwa memiliki ijazah daripada Universiti Harvard dan ijazah perniagaan siswazah daripada Universiti Stanford, namun kedua-duanya melaporkan tiada rekod Alicia sebagai pelajar di situ.
Alicia juga mendakwa dia bekerja di Merrill Lynch di Pusat Dagangan Dunia sedangkan Merrill Lynch berkata, ia tidak mempunyai rekod dia bekerja di situ.
Menurut Adrian Gatton, pengeluar dokumentari The Faker 9/11, Alicia tidak berada di Amerika Syarikat pada 11 September 2001, sebaliknya dia menghadiri sekolah perniagaan di Barcelona, Sepanyol, ketika itu.
Satu laporan dalam akhbar harian Barcelona, La Vanguardia pada 2 Oktober 2007 mendedahkan Alicia menghadiri kelas Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Sekolah Perniagaan ESADE di Barcelona hanya seminggu selepas serangan itu.
Rakan di kelasnya juga tidak pernah mendengar Alicia membincangkan serangan atau kehilangan tunang dan dia tidak menunjukkan sebarang kecederaan ketika itu.
Namun Alicia ada memberitahu rakan kelasnya dia mengalami kecederaan lengan akibat kemalangan kereta atau ada masanya kemalangan menunggang kuda.
La Vanguardia melaporkan, wanita itu menghadiri kelas berkenaan sehingga Jun 2002 dan memberitahu rakan sekelas dia mahu bekerja di New York. Dia sebelum itu menghadiri Universiti Barcelona dan bekerja untuk penganjur hiburan tempatan dan syarikat hotel Sepanyol, Hovisa.
Sejak pendedahan mengenai cerita rekaannya tersebar, satu e-mel dihantar pada Februari 2008 dari akaun Sepanyol kepada ahli pertubuhan Rangkaian Mangsa Terselamat WTC mendakwa Alicia yang membunuh diri.
Bagaimanapun, dalam dokumentari The Faker 9/11 pada September 2008, kedudukan Alicia dikatakan tidak diketahui.
Dalam dokumentari filem dan buku bertajuk The Woman Who Wasn’t There, kisah Alicia dipaparkan melalui temu bual bersamanya dan ahli pertubuhan Rangkaian Mangsa Terselamat WTC sebelum dan selepas penipuan terbongkar.
Alicia enggan ditemu bual selepas identitinya terdedah. Pada penghujung buku dan filem dokumentari itu, dia dilihat di bandar New York pada 14 September 2011, sekali gus menyangkal fakta tidak tepat dia membunuh diri.
Pada Julai 2012, Alicia dipecat daripada tugasnya di Inter Partner Assistance, sebuah syarikat insurans di Barcelona sebaik majikannya mendapat tahu mengenai penipuannya di New York.
Dia dikatakan menunjukkan prestasi yang baik di syarikat itu, tetapi dipecat kerana majikannya bimbang kehilangan kepercayaan pelanggan.
Pengganti Alicia sebagai Ketua Pertubuhan Rangkaian Mangsa Terselamat World Trade Center, Richard Zimbler berkata, tidak ada sebab bagi mereka atau sesiapa yang mendengar untuk meragui cerita wanita itu.
Namun, La Vanguardia memetik seorang bekas rakan sekerja sebagai berkata, Alicia mengatakan lengannya berparut selepas kereta Ferrari yang dipandu selaju 200 kilometer sejam bersama tunangnya terbabit dalam kemalangan.
Sumber itu berkata, Alicia sering mengatakan dia sudah kehilangan tangannya dalam kemalangan itu, tetapi ia dijumpai dan dijahit semula.
Menurut La Vanguardia, Alicia sebenarnya datang dari keluarga Barcelona yang terkenal, tetapi terbabit dalam skandal kewangan pada 1992. Ayah dan abangnya dimasukkan ke penjara.
Seorang rakan lamanya juga berkata, Alicia sering memperkatakan mengenai kekayaan dan kedudukan sosial keluarganya, perniagaan abangnya, pakaian mewah dan pendidikannya di universiti terbaik di Amerika Syarikat.
“Bagi kami, amat mengejutkan kerana ceritanya lebih kepada rekaan berbanding fakta. Dia menipu dengan terlalu mudah,” katanya.
Ahli psikologi Amerika Syarikat, Bella DePaulo berkata, Alicia mahu apa yang semua pendusta paling inginkan iaitu mengubah cara orang lain melihat mereka, mahu disayangi, dihormati, dihargai dan diberi perhatian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30 METRO
No comments:
Post a Comment