PENAJA

Saturday, 26 January 2013

Marilyn Monroe :bunuh diri atau dibunuh


SELEPAS lima dekad kematian bintang legenda Hollywood pujaan dunia ini, dia masih lagi dipuja, dikagumi dan dirindu.
Sesiapa pun tidak dapat menafikan aset yang dimiliki oleh wanita yang menggunakan nama pentas, Marilyn Monroe ini.
Kemasyhurannya terkenal sehingga ke seluruh dunia sehingga dia mampu menjadi seorang bintang yang kerdipan sinarnya tidak pernah pudar.
Monroe memiliki pesona luar biasa yang mampu menggelodak hati setiap lelaki dan membuatkan mereka tidak lena tidur sehingga dia menjadi satu objek seks.
Sosok tubuhnya pula menjadi idaman kaum sejenisnya yang ternyata cemburu dengan apa yang dimiliki oleh Monroe.
Maka itu, tidak hairanlah sehingga ke hari ini selepas lima dekad kematiannya, Monroe masih lagi dianggap bintang seks simbol yang tiada tandingannya.
Benar. Kehebatan dan populariti Monroe sememangnya terletak kepada aspek luaran yang dimilikinya. Untuk seorang rupawan sepertinya yang hadir dalam dunia glamor Hollywood adalah sesuatu yang dianggap magis.
Bukan sembarangan lelaki yang mahu mendekatinya baik dari golongan marhaen sehinggalah ke ahli politik, semuanya mahu mendapatkan Monroe.
Selepas 50 tahun kematiannya pada 5 Ogos 1962 ketika usianya hanya 36 tahun, nama jelitawan ini terus diperkatakan.
Bukan kerana filem-filem klasik hebat lakonan Monroe antaranya Gentlemen Prefer Blondes, The Seven Year Itch dan Some Like It Hot yang terus menjadi sebutan.
Sebaliknya, masyarakat dunia masih belum mendapat kepastian sebenar di sebalik misteri kematian Monroe yang terus menjadi persoalan.
Seperti mana yang dilaporkan dan sudah termaktub dalam sejarah, Monroe atau nama sebenarnya, Norma Jeane Mortenson ditemui mati oleh pakar psikiatri, Dr. Ralph Greenson di kediaman pelakon itu di Brentwood, California, Amerika Syarikat (AS).
Monroe dikatakan telah menelan pil tidur selain mengambil ubat terlarang secara berlebihan sehingga menyebabkan tubuhnya tidak dapat bertindak dengan sempurna.
Seperti mana laporan bedah siasat, sebanyak lapan miligram (mg) chloral hydrate dan 4.5 mg Nembutal terkandung dalam sistem tubuhnya.
Pakar yang menjalankan bedah siasat itu, Dr. Thomas Noguchi menyifatkan dengan kandungan dua bahan berlebihan itu dalam tubuh Monroe sememangnya terjurus kepada percubaan membunuh diri.
Sejak kematiannya, pelbagai teori, andaian dan spekulasi yang timbul sehingga sukar sekali untuk mendapatkan kepastian yang sebenar.
Apa yang paling menggemparkan apabila kematian ikon layar perak itu telah dikaitkan dengan berita yang mengatakan Monroe sebenarnya mati dibunuh.
Ada pihak sebenarnya yang memang menunggu masa untuk mencabut nyawa wanita itu kerana Monroe dikatakan telah menyimpan terlalu banyak rahsia kerajaan yang bukan calang-calang.
Semua itu berlaku apabila Monroe menjalinkan hubungan sulit dengan Kennedy bersaudara, John dan Robert. Lebih-lebih lagi apabila John F. Kennedy yang merupakan Presiden AS ketika itu adalah orang terakhir yang dihubungi Monroe.

Bunuh diri atau dibunuh?
Apakah cerita sebenar yang melingkari teori dan spekulasi selama setengah abad selepas Monroe meninggal dunia?
Adakah benar Monroe memang mahu membunuh diri kerana barangkali tidak tahan dengan dunia glamor dan tekanan yang dihadapinya?
Atau apakah benar juga dia dibunuh seperti mana teori yang bertebaran sebelum ini? Sayugia diingatkan juga, penglibatan Monroe bukan hanya melibatkan pentadbiran kerajaan AS.
Tetapi, kematiannya juga ada hubung kait dengan agen perisikan seperti CIA mahupun mafia. Cukup hebat sekali penangan Monroe sehingga penglibatannya merangkumi pelbagai pihak berkuasa.
Teori tentang dirinya dibunuh juga ada benarnya. Lebih-lebih lagi apabila fail kematian Monroe telah hilang dari simpanan FBI lalu menimbulkan tanda tanya.
Jika kes itu adalah sebuah kematian biasa ataupun bunuh diri, mengapakah failnya dimusnahkan dan FBI memberitahu tiada lagi rekod tentangnya yang tersimpan.
Monroe juga mempunyai sebuah fail khas dalam FBI yang diwujudkan pada tahun 1955 untuk merekodkan tentang apa jua aktiviti pelakon dan penyanyi itu terutama tentang perjalanannya ke luar negara.
Apatah lagi, Monroe disyaki telah digunakan oleh Parti Komunis dan untuk itu, FBI cuba mencari kebenaran di sebalik cerita tersebut sama ada benarkah wanita itu menyokong sekutu AS?
Alasan itu dikuatkan lagi apabila Monroe dijadikan sebagai agen perisik lalu menjalinkan hubungan sulit dengan Kennedy bersaudara untuk mendapatkan maklumat bagi pihak lawan.

Sepi seorang ikon
Kedengaran seperti sebuah naskhah di layar perak tetapi sekali lagi, ia adalah teori berbangkit selepas 50 tahun Monroe meninggal dunia.
Tidak cukup dengan itu, sehingga hari ini pihak berkuasa masih belum menjumpai sebuah diari milik Monroe yang menyimpan segala maklumat dan rahsia tentang apa yang berlaku.
Seperti mana kata Noguchi dalam memoirnya yang berjudul Coroner pada tahun 1983, selagi tiada cerita yang sebenar tentang punca sebenar kematian Monroe, ia akan berterusan menjadi bualan ramai.
Tetapi untuk jurugambar yang sering mengambil gambar Monroe, Lawrence Schiller pula tidak bersetuju dengan teori yang mengatakan teman baiknya itu telah dibunuh.
Schiller yang mendampingi Monroe pada hari-hari terakhirnya melihat sendiri bagaimana wanita itu merosakkan dirinya dengan pengambilan ubat terlarang secara berlebihan.
Ini semua dicatatkan dalam memoir terbarunya, Marilyn & Me: A Photographer's Memories yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.
"Saya tidak percaya dengan teori konspirasi yang telah membunuhnya. Kalau anda melihat bagaimana Marilyn menikmati minuman kerasnya, anda pasti bersetuju itulah bahana yang diterimanya.
"Bayangkan, dia telah mencampurkan pil dengan champagne dan lupa berapa kali dia telah mengambil pil tersebut. Dia melakukan semua itu bersebab.
"Hingga hujung nyawanya, dia seorang yang sangat sunyi. Jadi, saya percaya Marilyn mati disebabkan dos ubat yang berlebihan yang telah meragut nyawanya sendiri," katanya lagi.
Mungkin suratan atau kebetulan, hanya Monroe sahaja yang mengetahuinya. Dia membawa semua rahsianya sehingga ke kubur. Sukar untuk dunia mencari kebenaran di sebalik apa yang sebenarnya terjadi. Sesungguhnya, Marilyn Monroe kekal menjadi misteri baik ketika hidup, mahupun sesudah kematiannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20120810/hi_02/Kematian-misteri-lima-dekad#ixzz2J61iCmdW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment