PENAJA

Wednesday 8 October 2014

modul sejarah spm kertas 3 2014 - set 1 demokrasi berparliment

7.1 CIRI-CIRI DEMOKRASI BERPARLIMEN
1.    PENGENALAN (5m)

a)    Maksud demokrasi berparlimen / Latar belakang demokrasi berparlimen di Malaysia.
Demokrasi berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara.
Dalam konteks Malaysia pula, meletakkan Raja-raja Melayu sebagai lambang taat setia rakyat . 
Selain itu demokrasi berparlimen memberi rakyat peluang membentuk kerajaan.
Rakyat juga bebas memilih perwakilan melalui pilihanraya.
Umumnya pula negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat.
Terdapat dua corak pemerintahan Negara demokrasi iaitu sistem Raja berpelembagaan dan sistem republik.
Sistem Raja berpelembagaan pula bermaksud sistem pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai pemerintahan tertinggi negara dan negeri. Pemerintah dibantu oleh Perdana Menteri.
Bagi sistem Republik pula ialah bermaksud sistem yang menolak institusi beraja. Kerajaan diketuai oleh presiden. Manakala Presiden dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
Contoh seperti Negara Perancis, Korea Selatan, India dan Filipina. Presiden memegang dua jawatan iaitu sebagai ketua kerajaan dan ketua negara

            ** Atau latar belakang demokrasi berparlimen di Malaysia
           
Asas demokrasi berparlimen bermula apabila British memperkenalkan Sistem Ahli 1955.  Seterusnya tertubuhnya Parti Perikatan iaitu kerjasama kaum melalui UMNO dan MCA untuk menghadapi pilihan raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur 1952. Asas ini bertambah kukuh apabila kemasukan parti MIC  dalam Parti Perikatan bagi menghadapi pilihan raya umum pertama 1955.

Demokrasi berparlimen direalisasikan apabila Parti Perikatan menang dan membentuk kerajaan iaitu Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Seterusnya demokrasi berparlimen jelas apabila peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Antaranya menjadikan Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan konsep Raja Berperlembagaan. Pilihanraya umum yang diadakan lima tahun sekali merupakan tonggak utama demokrasi berparlimen di Malaysia. Sejak merdeka hingga kini Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.






2.    PEMAHAMAN

Ciri-ciri sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen (30 m)

            Ciri utama dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen ialah mempunyai perlembagaan.
            Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

            Perlembagaan menjadi panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara. Parti politik / kerajaan yang memerintah akan mengetahui hala tuju pentadbiran negara.

            Perlembagaaan ini menjamin kerajaan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat melalui peruntukan yang terkandung di dalamnya.

            Perlembagaan ini mengandungi peruntukan  seperti Senarai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan senarai Bersama. Institusi Yang Dipertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Badan Kehakiman dan Perlembagaan Malaysia telah membuat pembahagian kuasa.  Wujud kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan.

            Negeri-negeri yang bergabung dengan persekutuan Malaysia diberi hak, kuasa dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri.

            Perlembagaan berperanan menjamin kestabilan sesebuah negara dengan menentukan rangka dan bentuk pentadbirannya. Perlembagaan membantu dan menjamin kecekapan, kejujuran, keadilan serta kelicinan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan.

            Ciri sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen berikutnya ialah institusi Raja Berpelembagaan. Di Malaysia, Raja Berpelembagaan ialah sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukkan dalam perlembagaan Malaysia.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan. Dalam menjalankan tugasnya,Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bertindak sendiri kecuali dalam perkara tertentu yang memerlukan budi bicara baginda dalam membuat keputusan.

Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu secara bergillir-gilir. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam perlembagaan Malaysia.

Bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga badan kerajaan iaitu Badan Perundangan(Legislatif),Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari)

Baginda merupakan Ketua Tertinggi angkatan Bersenjata.Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengampunkan dan menangguhkan sesuatu hukuman terhadap kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah tentera. Baginda bertanggungjawab menjaga dan memelihara kedudukan dan hak istimewa orang Melayu. Baginda boleh menitahkan Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan keistimewaaan,kedudukan,kehormatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu.

Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua Agama Islam bagi negeri baginda sendiri,Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan,Sarawak dan Sabah.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri. Baginda mempunyai kuasa melantik dan melucutkan jawatan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri setelah mendapat nasihat Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan undang-undang darurat di bawah ‘Undang-undang X’ jika mendapati keselamatan negara terancam.

Baginda melantik pengerusi dan tiga orang ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, ahli Perkhidmatan Kehakiman,serta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. 

Baginda bertanggungjawab melantik Peguam Negara dan seorang Ketua Audit Negara bagi Persekutuan.Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa tertinggi untuk mentauliahkan duta-duta negara kita.

Sistem Raja Berpelembagaan merupakan tonggak keagungan kerajaan Malaysia sehingga kini. Sistem ini membantu memantapkan kewibawaan institusi beraja di negara kita di samping memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat dan rakyat yang dinaungi oleh raja.

Ciri demokrasi berparlimen  seterusnya ialah parlimen / badan perundangan. Parlimen merupakan badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di Malaysia. Komponen Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan dewan Rakyat.

Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara kita. Dewan Negara mempunyai 69 orang ahli,26 orang ahli dipilih daripada 13 buah negeri,iaitu dua orang setiap negeri.

Ahli ini dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kalangan ahli DUN. Dua orang ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang lagi mewakili Wilayah Persekutuan Labuan.

40 orang ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang terdiri daripada individu yang telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkhidmatan awam,bidang professional atau bidang tertentu seperti perniagaan,perusahaan,pertanian,kesenian dan kebajikan atau yang mewakili sesuatu kumpulan minoriti seperti orang asli.

Ahli Dewan Negara digelar Senator dan mereka dilantik tanpa bertanding dalam pilihan raya.Seorang Senator memegang jawatannya bagi tempoh 3 tahun. Selain itu, Senator mesti berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf senator sama dengan ahli Parlimen. Seseorang Senator boleh dilantik menjadi ahli Jemaah Menteri.

Dewan rakyat merupakan dewan terpenting kerana ahlinya dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Dewan rakyat mempunyai 219 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh negara.

Tempoh jawatan bagi anggota Dewan Rakyat ialah 5 tahun. Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat.

Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dikenal sebagai Akta. Undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri dinamakan Enakmen. Manakala Undang-udang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri di Sarawak dan Sabah dinamakan Ordinan.

Pilihanraya juga merupakan salah satu ciri demokrasi berparlimen di Malaysia. Pilihan raya ialah proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan. Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur.

Pengiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusannya direkodkan. Calon yang mendapat undi terbanyak dikira menang. Sistem ini dikenali dengan sistem majoriti mudah. Pilihan raya merupakan ciri penting sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
Pilihan raya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Keanggotaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Suruhanjaya Pilihan Raya ditubuhkan untuk menjamin pilihan raya yang adil dan bebas tanpa tekanan parti pemerintah atau pembangkang.

Terdapat dua jenis pilihanraya di Malaysia iaitu pilihanraya umum dan  pilihan raya kecil. Pilihan raya umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia.Di Sarawak dan Sabah pula pilihan raya umum bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diadakan secara berasingan.
Pilihan raya kecil diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Setiap warganegara Malaysia bebas memilih dan menganggotai mana-mana parti politik yang mereka gemari.  Mereka boleh menjadi calon dan bebas untuk bertanding dalam pilihan raya. Seseorang yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya mestilah warganegara Malaysia, berumur 21 tahun, bermastautin di Malaysia, sempurna akal, bukan orang yang muflis, tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah.

Pilihan raya penting kepada semua warganegara dalam sistem pemerintahan demokrasi. Setiap warganegara perlu bertanggungjawab mengambil tahu perkembangan politik semasa. Mereka harus melibatkan diri dalam proses memilih pemimpin negara serta menentukan bentuk kerajaan dan corak pemerintahan demokrasi melalui pilihan raya.
Dalam konteks Malaysia, demokrasi berparlimen mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang,iaitu Badan Perundangan,Badan Pelaksana,dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga badan ini harus dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa.

Fungsi badan perundangan merujuk kepada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Fungsi badan perundangan ialah menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat. Parlimen merupakan badan perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di Malaysia.Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong,Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Jemaah Menteri,atau kabinet merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara. Tugas Jemaah Menteri, atau Kabinet ialah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara. Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri.

Sebagai negara demokrasi berparlimen, badan kehakiman mempunyai kuasa mendengar dan menentukan perkara sivil dan jenayah. Perkara sivil berkaitan dengan saman (biasanya memerlukan affidavit) manakala perkara jenayah pula melibatkan kanun keseksaan.

Badan Kehakiman menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan pihak badan pelaksana. Selain itu, badan ini mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri

Sistem mahkamah pula  diwujudkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas kehakiman di Malaysia.Antara tugas Mahkamah ialah mentafsir perlembagaan negara, mentafsir undang-undang, mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan tidak sah di sisi undang-undang

Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana pindaan tertakluk pada badan perundangan atau Parlimen. Sistem mahkamah di Malaysia disusun mengikut hierarki piramid.

Penubuhan parti-parti politik juga merupakan salah satu ciri demokrasi berparlimen. Secara umumnya parti politik merujuk kepada sekumpulan orang yang mempunyai ideologi politik untuk  mencapai matlamat bersama.
Parti-parti politik ini berjuang untuk mendapatkan kuasa. Ahli-ahlinya membayar yuran keahlian dan  selalunya memberikan kesetiaan dan komitmen terhadap perjuangan parti.

Selain ideologi politik, sikap perkauman juga menjadi asas pembentukan dan penyatuan ahli-ahli parti.Contohnya Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Cina Se-Tanah Melayu (MCA)dan Kongres India Tanah Melayu (MIC) di negara kita. Parti-parti ini ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan dan memelihara kepentingan kaum masing-masing.


3.    Soalan 3 [15 markah]

Malaysia sebagai  Negara Persekutuan
(a)  Konsep pengagihan kuasa.

Negara Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang mengandungi beberapa buah negeri di dalamnya. Kedua-dua kerajaan ini menjalankan tugas berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan.
Pengamalan konsep pengasingan kuasa jelas pada kuasa pemerintahan yang terbahagi kepada tiga badan iaitu badan pelaksana, badan perundangan dan badan kehakiman.  Pengasingan kuasa juga melibatkan kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Terdapat tiga senarai mengikut perlembagaan iaitu Senarai Negeri, Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. 

Senarai Persekutuan memuatkan bidang kuasa Persekutuan iaitu hal ehwal luar negeri (hubungan luar), Pertahanan, Keselamatan dalam negeri, Pentadbiran dan keadilan, Kerakyatan negara, Pilihan raya negara, Kewangan, Perniagaan,perdagangan dan perusahaan, Jabatan ukur dan penyelidikan, Kerja raya dan tenaga pusat, Pelajaran, Kesihatan, Keselamatan buruh dan sosial, Orang asli dan Hal-hal lain.

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kuasa eksekutif kepada setiap negeri. Kuasa eksekutif peringkat negeri terletak pada Raja atau Sultan atauYang Dipertua Negeri.

Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik oleh raja atau Yang di-Pertua Negeri daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Seterusnya, urusan pentadbiran negeri terletak pada perlembagaan negeri seperti mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Semenanjung Malaysia, Majlis Tertinggi di Sarawak dan Kabinet di Sabah mempunyai sebilangan ahli DUN serta tiga orang pegawai kerajaan (ex-officio),iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri,Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berperanan menjalankan dasar pentadbiran negara di peringkat negeri.

Senarai Negeri terdiri daripada bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri iaitu Undang-undang Islam, Tanah, Pertanian dan perhutanan, Kerajaan Tempatan, Perkhidmatan tempatan, Kerajaan negeri, Hari cuti negeri dan Undang-undang negeri.

Senarai Bersama pula ialah kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan pusat, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri seperti contoh biasiswa dan taman negara.
           





(b)    Kerajaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan memberikan peruntukan yang luas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pentadbiran negara. Pentadbiran negara meliputi semua aspek perkhidmatan seperti perkhidmatan ekonomi,sosial,keselamatan dan pendidikan.

Badan Pelaksana atau Eksekutif mempunyai tugas untuk menjalankan kuasa-kuasa eksekutif mengikut perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada. Mengikut Perlembagaan Persekutuan.kuasa eksekutif bagi Kerajaan Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong

Kabinet atau Jemaah Menteri ialah badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong. Jemaah Menteri ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat. Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia terletak di Putrajaya.

Senarai Persekutuan memuatkan bidang kuasa Persekutuan iaitu hal ehwal luar negeri (hubungan luar), Pertahanan, Keselamatan dalam negeri, Pentadbiran dan keadilan, Kerakyatan negara, Pilihan raya negara, Kewangan, Perniagaan,perdagangan dan perusahaan, Jabatan ukur dan penyelidikan, Kerja raya dan tenaga pusat, Pelajaran, Kesihatan, Keselamatan buruh dan sosial, Orang asli dan Hal-hal lain.

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kuasa eksekutif kepada setiap negeri. Kuasa eksekutif peringkat negeri terletak pada Raja atau Sultan atauYang Dipertua Negeri.

Menteri Besar atau Ketua Menteri dilantik oleh raja atau Yang di-Pertua Negeri daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Seterusnya, urusan pentadbiran negeri terletak pada perlembagaan negeri seperti mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Semenanjung Malaysia, Majlis Tertinggi di Sarawak dan Kabinet di Sabah mempunyai sebilangan ahli DUN serta tiga orang pegawai kerajaan (ex-officio),iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri,Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berperanan menjalankan dasar pentadbiran negara di peringkat negeri.

Senarai Negeri terdiri daripada bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri iaitu Undang-undang Islam, Tanah, Pertanian dan perhutanan, Kerajaan Tempatan, Perkhidmatan tempatan, Kerajaan negeri, Hari cuti negeri dan Undang-undang negeri







4.    Kepentingan amalan Demokrasi Berparlimen (10m)
Antara kepentingan amalan demokrasi berparlimen ialah adanya perlembagaan yang menjamin kestabilan sesebuah negara dan menentukan rangka dan bentuk pentadbirannya.

Selain itu, Perlembagaan membantu dalam menjamin kecekapan, kejujuran, ketelusan serta menjamin kelicinan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan.

Seterusnya, perlembagaanb dijadikan sebagai panduan pemimpin semasa memerintah agar pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat.

Antara kebaikan sistem pemerintahan demokrasi ialah rakyat terlibat dalam memilih dan membentuk kerajaan. Rakyat boleh bersuara dan kemukakan pandangan. Sistem ini berjalan dengan baik dan mantap kerana adanya sokongan rakyat.

Seterusnya, pemimpin tidak berkuasa mutlak. Rakyat juga bebas memilih pemimpin melalui pilihanraya. Sistem demokrasi berparlimen juga menjamin hak asasi rakyat dan memastikan keamanan. Sistem ini juga menjamin kerajaan yang adil dan stabil.

Melalui sistem demokrasi berparlimen juga, kedaulatan negara di tangan rakyat. Hal ini kerana kerajaan yang dipilih akan menunaikan tanggungjawab dengan telus. Keadaan ini menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.


5.    Peranan warganegara dalam mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen (10 markah)

Peranan warganegara dalam mengekalkan demokrasi berparlimen ialah menganggotai mana-mana parti politik. Selain itu, mendaftar sebagai pemilih atau menjadi calon pilihanraya. Seterusnya, bertanding atas parti atau calon bebas. Kita juga boleh memilih pemimpin yang bertanggungjawab, amanah, berwawasan dan pemimpin yang mesra rakyat.

Warganegara Malaysia juga mestilah sentiasa menghayati dan menjunjung perlembagaan negara. Seterusnya mesti menerima institusi beraja dan tidak memperlekehkan institusi tersebut.

Warganegara juga perlu taat kepada pemimpin negara. Selain itu, tidak menyertai demonstrasi haram atau menganggotai pertubuhan haram.Sekiranya warganegara tidak berpuas hati terhadap sesuatu dasar, perlulah menyatakan pendirian melalui saluran yang betul.

Kita juga memilih pemimpin yang menghormati hak asasi manusia. Kemudian, kita hendaklah patuh kepada undang-undang negara serta bertolak ansur, bekerjasama dan saling hormat menghormati.

6.    Amalan demokrasi berparlimen telah memantapkan pembinaan negara dan bangsa Malaysia serta kesejahteraan rakyat. (10 markah)

ATAU

Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen telah menjamin kestabilan politik di Malaysia. Buktikan. (10 markah)

            Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen sememangnya dapat menjamin kestabilan politik negara iaitu tiada penggulingan kerajaan yang memerintah. Selain itu, tidak berlaku revolusi atau demonstrasi yang radikal.

            Selain itu, tidak berlaku perebutan kuasa antara pemimpin. Hubungan baik antara pemimpin dengan rakyat terjalin. Pemimpin yang mendapat mandat daripada rakyat dapat melahirkan politik yang stabil dan kesannya negara aman makmur.

            Kestabilan politik dijamin dengan konsep pengagihan kuasa yang diamalkan kerana hal ini dapat mengelakkan pertindihan kuasa. Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara boleh mengisytiharkan undang-undang darurat. 

             Demokrasi Berparlimen di Malaysia menjamin kestabilan politik apabila raja dan pemimpin tertakluk kepada Perlembagaan. Raja berperanan memberi ‘kata putus’ dalam menyelesaikan krisis  politik. 
.
            Raja bertanggungjawab mempertahankan isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Kestabilan politik juga jelas dengan konsep muafakat.

**ATAU JIKA SOALAN MENGKEHENDAKI KESAN AMALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN MENJAMIN KEMAKMURAN SOSIOEKONOMI NEGARA DAN RAKYAT. ANTARA CADANGAN  JAWAPANNYA:

Demokrasi berparlimen menjamin kemakmuran ekonomi negara  ialah apabila kecekapan pentadbiran telah menarik ramai pelabur asing. Selain itu, kedatangan pelancong juga bertambah kerana kestabilan politik negara.

Rakyat juga dapat menikmati prasarana yang lengkap seperti lebuh raya hasil pentadbiran yang mantap. Juga rakyat dapat menikmati kemudahan komunikasi seperti jalur lebar tanpa mengira tempat hasil daripada keberkesanan dasar-dasar negara.

Amalan demokrasi berparlimen juga berjaya menyediakan banyak peluang ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat kerana kestabilan politik.




Soalan 7 (10 markah)
(a) Cabaran mengekalkan demokrasi berparlimen di Malaysia (5 markah)

Antara cabaran menjadikan Malaysia sebagai  sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen adalah terdapat segelintir  masyarakat yang tidak memahami konsep demokrasi.

Selain daripada itu, masyarakat masa kini terdedah  dengan ideologi baharu dalam politik. Kepesatan teknologi maklumat menyebabkan rakyat mudah terpengaruh dengan banyak fahaman politik negara lain. 

Cabaran seterusnya ialah tuntutan rakyat yang melampaui peruntukan Perlembagaan. Masih terdapat masyarakat Malaysia yang kurang  matang serta bertindak mengikut perasaan.

 (b) Langkah-langkah  untuk mengatasi cabaran (5 markah)

Antara langkah untuk mengatasi cabaran  menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen ialah melalui proses pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.  

Selain itu , pihak kerajaan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tentang kebaikan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang telah sekian diamalkan di Malaysia. Kerajaan perlu memperkukuhkan semangat jati diri rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpengaruh dengan ideologi luar.

Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas bagi mengenalpasti individu atau pihak yang mencabar Perlembagaan.
Pihak pemerintah hendaklah turun padang untuk mendekati dan memahami masalah rakyat bagi mengelakkan salah faham antara pemimpin dengan rakyat. 


Soalan 8 (5 markah)

Nilai-nilai murni/iktibar/patriotism daripada amalan demokrasi berparlimen.

Nilai-nilai murni yang diperoleh dalam demokrasi berparlimen di Malaysia ialah pentingnya muafakat dan toleransi antara pemimpin dan rakyat demi kemakmuran negara.  Seterusnya amat penting setiap warganegara membelakangkan kepentingan kaum masing-masing demi kesejahteraan negara. Setiap warganegara hendaklah menerima unsur-unsur budaya kaum lain sesuai dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.  Seterusnya, sedia menerima perubahan demi kestabilan dan keselamatan negara.

Selain itu, amat penting setiap rakyat mematuhi Perlembagaan negara demi mengekalkan kedaulatan Malaysia. Kita haruslah memelihara kemakmuran negara dan taat setia kepada pemerintah,menyanjung tinggi kepada raja dan patuh kepada undang-undang.Perasaan berbangga sebagai warganegara juga perlu ada dalam diri setiap warganegara. Rakyat Malaysia juga harus bertoleransi dan mengamalkan permuafakatan dalam apa jua situasi sama ada dalam aspek politik atau ekonomi dan sosial.


Soalan 9 (5 markah)

Rumusan

Pengetahuan yang diperoleh ialah negara Malaysia ialah negara yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi berparlimen. Pengetahuan lain ialah permuafakatan antara pemimpin dan rakyat menjamin kejayaan sistem demokrasi berparlimen di negara kita.

Sebagai iktibar kepada diri,  kita mestilah menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan mematuhi peraturan. Manakala iktibar kepada bangsa, seharusnya bangsa Malaysia saling menghormati dan bekerjasama dalam menghadapi setiap cabaran. Iktibar kepada negara pula, pihak kerajaan dan rakyat harus berganding bahu dan bersama-sama membawa kemajuan kepada negara.

Harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang ialah supaya negara akan kekal berdaulat dan dapat meneruskan amalan demokrasi berparlimen yang telah terbukti memberikan kita kehidupan yang amat harmoni sejak merdeka sehingga kini. Seterusnya adalah diharapkan Malaysia akan menjadi negara demokrasi yang paling disegani di mata dunia.








No comments:

Post a Comment