PENAJA

Wednesday 8 October 2014

modul sejarah spm kertas 3 2014 - set 2 demokrasi berparlimen

7.1.1 PERLEMBAGAAN
1.Pengenalan (5M)
Jelaskan konsep perlembagaan.
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi sesebuah Negara. Ia juga merupakan prinsip asas membentuk negara.Selain itu, perlembagaan dijadikan sebagai dokumen rasmi  yang mengandungi peraturan dan prinsip  sebagai panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara.Ia juga sebagai panduan mengagihkan kuasa antara institusi kerajaan serta menentukan hala tuju pentadbiran negara. Ini akan menjamin kerajaan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

(Mana-mana jawapan munasabah)

2. Memahami kepentingan dan keluhuran perlembagaan
i) Jelaskan maksud keluhuran perlembagaan (10 m)
Keluhuran perlembagaan bermaksud  keagungan  dan ketertinggian undang-undang yang mengatasi kuasa Yang di-Pertuan Agong, parlimen, jemaah menteri dan mahkamah

Semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia adalah tidak sah. Undang-undang negeri mestilah selaras dengan perlembagaan persekutuan.

Perkara 75 menyatakan undang-undang negeri yang bertentangan dengan perlembagaan persekutan  adalah terbatal dengan sendirinya. Perlembagaan persekutuan memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan akta yang diluluskan di luar bidang kuasa parlimen atau bercanggah dengan perlembagaan Malaysia.

Mahkamah berkuasa menentukan kesahihan setiap Undang-undang bagi menjamin keluhuran dan ketertinggian perlembagaan Malaysia.

(Mana-mana jawapan munasabah)

ii) Apakah kepentingan perlembagaan kepada kesejahteraan negara (10 m)
Kepentingan perlembagaan kepada kesejahteraan negara ialah  menjamin kestabilan Negara. Selain itu ia menentukan rangka dan bentuk pentadbiran negara serta menjamin kecekapan, kejujuran, keadilan,ketelusan dan kelicinan pentadbiran / pemerintahan sesebuah kerajaan.Ia juga menjadi panduan kepada pemimpin supaya pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan. Perlembagaan juga menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara seterusnya dapat membentuk semangat patriotisme.
Contohnya perkara 24 perlembagaan Malaysia menyatakan seseorang yang mempunyai kerakyatan negara lain akan dilucutkan kewarganegaraanya.Selain itu perkara 25 menyatakan bahawa seseorang warga negara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada negara. Seterusnya perlembagaan menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat  contohnya hak berpersatuan, beragama, memiliki harta,pendidikan, kebebasan berhimpun dan kesamarataan perlindungan undang- undang.  Selain itu perkara 153 memperuntukkan peranan Yang di Pertuan Agong.  Perlembagaan juga menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ia juga menjamin kerjasama dan kesepakatan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Ia juga menjadi rujukan utama dalam penggubalan undangundang persekutuan dan negeri. Selain itu ia mewujudkan penyelarasan sistem pemerintahan negara. perlembagaan negeri tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan Malaysia.
 Perlembagaan juga menjamin kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak dipersoalkan. Selain itu kerajaan persekutuan menggunakan kuasanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan untuk membantu memesatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.
(Mana-mana jawapan munasabah)

3. Beberapa pindaan telah dibuat bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara.
Kaedah pindaan perlembagaan oleh Parlimen Malaysia.(20M)
Kaedah pindaan perlembagaan oleh parlimen Malaysia merangkumi 4 kaedah pindaan. Kaedah pertama mendapat kelebihan suara dua per tiga dalam tiap -tiap satu persidangan parlimen dan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Perkara-perkara yang dipinda melalui kaedah pertama ialah kewarganegaraan(Perkara 14-31), tugas dan kuasa Majlis Raja-Raja(Perkara38) dan keistimewaan Parlimen(Perkara63). Selain itu, perkara yang melibatkan keutamaan raja, iaitu Yang di- Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Raja-Raja dan YangDipertua Negeri(Perkara 70),jaminan persekutuan terhadap perlembagaan negeri(Perkara71) , keistimewaan Dewan Undangan Negeri(Perkara 71), bahasa kebangsaan(Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera(Perkara 153) Pindaan Perlembagaan Persekutuan(Perkara 159), kedaulatan raja-raja(Perkara 181) dan undang-undang yang berkaitan dengan perubahan sempadan.
Kaedah Kedua, mendapat kelebihan suara dua per tiga dalam tiap-tiap satu persidangan Parlimen dan mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak. Contohnya keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak,hak dan kuasa kepada kerajaan negeri tentang kuasa menahan kemasukan orang yang bukan dari Sarawak dan Sabah (Akta Imigresen 1961) dan perkara perundangan dan pemerintahan dalam bidang kuasa negeri, hal agama, bahasa dan kedudukan istimewa kaum Bumiputera.
 Kaedah Ketiga pula mendapat persetujuan lebih suara 2/3 dewan parlimen iaitu perkara-perkara yang tidak disebut dalam mana mana tiga kaedah pindaan di atas. Kaedah keempat mendapat persetujuan lebih suara dewan parlimen. Perkara-perkara yang dipinda melalui kaedah ini ialah pindaan jadual 2, 6 dan 7 bahagian 3 tentang kewarganegaraan, bentuk sumpah ikrar pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara serta persempadanan pilihan raya.Seterusnya pindaan perkara 74 dan 76 dalam perlembagaan. Perkara 74 parlimen boleh membuat atau meminda undang-undang mengenai perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Hal yang sama juga boleh dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri bagi perkara yang berhubung dengan Senarai Negeri atau Senarai Bersama yang diperuntukan oleh perlembagaan
Perkara 76 parlimen boleh membuat undang-undang dalam senarai negeri yang melibatkan pelaksanaan persetiaan perjanjian atau konvensyen antara persekutuan dengan mana-mana negara lain
(Mana-mana jawapan munasabah)

4.Kepentingan pindaan perlembagaan (15M)
 Pindaan perlembagaan bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat. Selain itu, untuk menjaga keselamatan negara dan melicinkan urusan pentadbiran Negara. Perlembagaan perlu di pinda supaya sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Ia juga menjadikan perlembagaan sebagai undang-undang yang munasabah dan kandungannya dipatuhi oleh rakyat dengan rela hati. Ia juga dipinda bagi melarang perkara sensitif dipersoalkan secara terbuka contohnya pemerintahan beraja, agama Islam, kedudukan bahasa melayu dan hak istimewa orang melayu.
Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Hasutan 1970 yang mengehadkan seseorang individu bercakap sewenang-wenangnya sehingga menyentuh perkara sensitif yang boleh menimbulkan perbalahan antara kaum. Selain itu,  untuk memelihara keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Antara pindaan besar yang telah dibuat ialah pemansuhan imuniti(kekebalan) Yang Dipertuan Agong dan raja daripada kesalahan jenayah
(Mana-mana jawapan munasabah)

5. Sebagai generasi masa kini apakah peranan anda bagi memastikan perlembagaan Malaysia dipatuhi.(mohon guru-guru menyediakan skema jawapan sendiri)
ATAU
Sebagai seorang pengerusi persatuan Sejarah di sekolah,apakah peranan anda berdasarkan perlembagaan persatuan tersebut? (10M)
Peranan saya sebagai pengerusi persatuan sejarah ialah mempengerusikan mesyuarat dan memastikan mesyuarat berjalan lancar. Seterusnya  meneliti catatan minit mesyuarat serta memastikan segala keputusan diambil tindakan. Saya juga berperanan membincangkan program tahunan bagi tahun tersebut dan membuat pelan operasi bagi setiap program. Saya juga mengagihkan tugasan kepada ahli dan memastikan setiap ahli menjalankan tanggungjawab. Seterusnya saya juga memastikan kehadiran ahli dalam setiap program dan memastikan setiap program berjalan lancar dengan mengambil kira pandangan ahli dalam membuat keputusan. Selain itu saya juga perlu memastikan buku laporan lengkap sempurna dan memastikan semua laporan program disiapkan.
Saya juga perlu menjalankan tugas seperti diarahkan oleh guru penasihat dan menjaga ketrampilan sebagai seorang pemimpin persatuan serta menjadikan Persatuan Sejarah sebagai sebuah persatuanyang diminati. Saya akan menjalankan post mortem selepas melakukan sesuatu program seterusnya melakukan penambahbaikkan selepas program dilaksanakan.
(Mana-mana jawapan yang munasabah )

6. Perlembagaan Malaysia telah menjamin kemakmuran negara.Buktikan (10m)
Kejayaan negara dalam bidang politik ialah meningkatkan kestabilan negara. Selain itu mewujudkan perpaduan kaum. Malaysia juga berjaya mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi serta meningkatkan imej negara di mata dunia. Berlaku juga peningkatan penyertaan rakyat dalam bidang politik. Hubungan diplomatik dengan negara luar juga semakin meningkat. Malaysia juga berjaya mengeratkan kerjasama serantau (ASEAN) dan kerjasama antarabangsa (PBB, OIC,NAM). Seterusnya Malaysia berjaya membentuk kerjasama kerajaan adil dan berintergriti. Institusi Raja Berperlembangaan berjaya ditegakkan. Transformasi oleh kerajaan contohnya dalam bidang pendidikan, ekonomi,pertahanan dan kebajikan rakyat. Penambahbaikan sistem undang-undang (kehakiman) juga dilaksanakan
 Selain itu penambahbaikan sistem ketenteraan dan pertahanan juga dilakukan. Keluhuran dan ketertinggian perlembagaan sentiasa dipelihara. Selain itu, meningkatkan semangat patriotisme dalam jiwa rakyat serta meningkatkan semangat jati diri dan wujud perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia.Kejayaan dalam bidang politik juga  meningkatkan ekonomi dan meningkatkan pelaburan asing. Malaysia juga berjaya menjadi perantara dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa.
(mana-mana jawapan yang munasabah)
7. i) Jelaskan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia untuk menjamin kestabilan politik. (5m)
            Cabaran yang dihadapi oleh Malaysia untuk menjamin kestabilan politik ialah wujudnya parti yang tidak berdaftar. Selain itu, terdapat tekanan dari negara maju.Rakyat Malaysia juga kurang pengetahuan politik. Berlakunya pencerobohan luar contohnya di Lahad Datu dan Semporna. Lambakan warga asing juga merupakan cabaran untuk menjamin kestabilan politik. Kurangnya perpaduan dalam kalangan masyarakat juga menggugat kestabilan politik. Masalah pecah amanah juga berlaku dalam negara. Kestabilan politik juga boleh tergugat kerana kurang semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Masalah gejala sosial seperti rasuah dan dadah menggugat kestabilan politik. Selain itu perpecahan kaum dan menyentuh isu-isu sensitif keagamaan mencetuskan demonstrasi dan rusuhan. Tidak kurang juga masalah keruntuhan akhlak dan penyebaran ajaran sesat.
(mana-mana jawapan yang munasabah)
ii Nyatakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah di atas.(5m)
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah di atas ialah pendaftaran parti-parti politik secara sah. Selain itu, mengadakan kempen pilihanraya yang adil. Sentiasa mengamalkan konsep 1Malaysia. Kempen anti rasuah juga perlu sentiasa dijalankan.  Penambahan dan peningkatan ilmu pengetahuan dapat mengatasi masalah tersebut disamping memperkukuhkan jati diri rakyat dan seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang. Seterusnya meningkatkan semangat patriotisme dan merapatkan hubungan silaturrahim.
Mengubah suai kurikulum pendidikan juga salah satu langkah yang baik untuk melahirkan masyarakat yang mematuhi prinsip Rukun Negara. Kerajaan perlu mengadakan pilihanraya yang telus. Didikan agama perlu diberi keutamaan. Kita mestilah sentiasa menghormati agama kaum lain dan pihak berkuasa perlu sentiasa menguatkuasa undang-undang.
(mana-mana jawapan yang munasabah)
8. Nyatakan nilai murni/iktibar yang diperoleh daripada kestabilan politik negara (5m)
            Nilai murni/iktibar yang diperoleh daripada kestabilan politik negara ialah memupuk kerjasama dan perpaduan kaum. Ini akan menjadikan kita gigih dan bersungguh-sungguh untuk bekerja. Kestabilan politik negara juga dapat memupuk jati diri. Selain itu menunjukkan kebijaksanaan pemimpin. Ia juga menjadikan kita lebih berdaya saing dan dapat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R & D).
            Kestabilan politik juga membolehkan kita menguasai ilmu pengetahuan. Ia juga menjadikan kita lebih mahir dalam semua aspek. Rakyat juga melahirkan rasa syukur kerana politik yang stabil dan meningkatkan permuafakatan antara rakyat dengan kerajaan. Selain itu ,  kita perlu memanfaatkan sumber dan bijak mengambil peluang serta berusaha mengekalkan keharmonian dan seterusnya menjamin kejayaan sistem demokrasi berparlimen.
(Mana-mana jawapan yang munasabah)
9. Kesimpulan dari keseluruhan isi yang dibincangkan (5M)
Kesimpulan dari keseluruhan isi yang dibincangkan ialah kita mestilah menjunjung tinggi perlembagaan negara.Selain itu perlulah mematuhi undang-undang Negara. Pindaan perlembagaan digubal untuk kepentingan negara dan rakyat dan membentuk negara yang stabil. Ini akan menangkis ancaman luar. Kita perlu berhati-hati dengan agenda musuh Negara oleh itu rakyat hidup aman dan harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.Kita mestilah mengelakkan persengketaan dan mematuhi prinsip-prinsip Rukun Negara. Dengan itu kita dapat memajukan Negara serta mengukuhkan pembentukan identiti negara danbangsa Malaysia.  Perasaan setia pada Negara akan melahirkan perasaan bangga dan cintakan negara.

(Mana-mana jawapan yang munasabah)

No comments:

Post a Comment