JULING PUNCA KERAP ALAMI KEMALANGAN
Walaupun dilihat sebagai perkara biasa, masalah juling jika tidak dirawat dengan segera mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak itu hilang penglihatan. Juling lazimnya terjadi kerana faktor genetik, tetapi ada faktor lain yang turut berupaya membuatkan kanak-kanak itu juling. Juling memang agak payah dikesan pada peringkat awal. Ini disebabkan pergerakan anak mata sangat pantas. Apatah lagi pada awal usia kelahirannya, mata kebanyakan bayi kelihatan juling kerana mereka sedang belajar untuk memfokus.
Pergerakan mata sebenarnya dikawal oleh enam otot yang melekat pada bahagian luar setiap bola mata dan untuk melihat dengan betul kedua-dua mata, ia mesti bergerak dalam arah yang sama. Ia terjadi dengan menarik satu otot ke satu arah dan merehatkan otot yang lain. Untuk melihat objek, kedua-dua mata harus melihat pada masa yang sama. Kedua-dua belah mata tidak melihat dari arah yang sama. Imej yang berbeza ini kemudian dihantar ke otak. Otak akan memproses kedua-dua imej yang diterima kepada imej tiga dimensi. Proses ini disebut ‘fusion’ dan ia memberi keupayaan untuk menilai jarak antara dua objek secara relatif.
Juling
Masalah juling terjadi jika otot tidak menyelaraskan penghantaran imej kepada otak dan seseorang itu boleh mengalami masalah yang disebut ‘double vision’. Ia disebabkan juling terjadi pada awal usia, kanak-kanak secara tidak sedar belajar untuk mengabaikan imej satu lagi mata.
Pembentukan penglihatan binocular (penglihatan dua mata) bermula pada usia enam bulan dan sempurna pada usia antara lima ke lapan tahun. Jadi, rawatan juling harus dibuat pada usia ini. Ada kalanya juling ini tidak kelihatan dengan jelas dan sukar dikesan ibu bapa, tetapi cara paling mudah ialah melihat biasan cahaya dalam matanya. Mata yang normal memperlihatkan biasan cahaya dalam kedua-dua mata berada pada posisi yang sama. Bagaimanapun, hal yang sebaliknya berlaku pada mata yang juling.
Masalah terjadi apabila jika tidak dirawat kanak-kanak akan biasa menggunakan satu mata saja dan satu mata lagi tidak berfungsi dan terjadinya ‘lazy eye’ yang kemudian membawa kepada jarak penglihatan yang kurang. Kanak-kanak yang juling tidak berupaya menganggarkan jarak dan kedalaman. Dunianya hanya dunia yang datar bukan tiga dimensi. Oleh itu orang yang juling kerap terbabit dengan kemalangan dan sering kelam kabut.
Terdapat empat jenis juling, iaitu esotropia (mata yang juling ke dalam), exotropia (mata yang juling ke luar), hypertropia (mata yang juling ke atas) dan hypotropia (mata yang juling ke bawah).
Faktor
Masalah juling biasanya dialami oleh 23 hingga 47 peratus kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan. Bayi tidak cukup bulan biasanya mempunyai retina mata yang pra matang. Bagaimanapun, secara lebih khusus, faktor penyebab berlakunya juling tidak dapat diketahui. Selain genetik, juling boleh terjadi disebabkan masalah kecederaan otak, barah mata, rubela kongenital dan cerebal palsy.
Rawatan
Ada banyak rawatan untuk masalah juling. Bagaimanapun, doktor akan menggunakan bantuan cermin mata khas sebagai langkah pertama. Jika bayi didiagnos dengan masalah juling pada usianya lima bulan, dia akan mula memakai cermin mata pada masa itu juga. Penggunaan cermin mata membantu matanya lebih berehat dan tidak bekerja dengan terlalu teruk.
Ada juga rawatan memerlukan mata yang elok ditampal untuk sementara bagi membantu mata yang juling melihat dan memfokus dengan lebih baik. Mereka akan belajar melihat menggunakan mata yang juling. Teknik ini dikenali sebagai latihan otot mata.
Satu lagi rawatan juling adalah menerusi pembedahan, tetapi ia bergantung kepada berapa seriusnya juling yang dialami oleh kanak-kanak terbabit. Selalunya ia menjadi pilihan terakhir kerana mata yang juling lebih berpotensi untuk sembuh menerusi latihan otot mata.
Kanak-kanak yang juling harus dirawat dengan segera kerana jika mereka berusia enam tahun misalnya, mereka sudah terbiasa dengan penglihatan yang begitu dan merasakan ia normal.
Sumber Maklumat: Berita Minggu.
No comments:
Post a Comment