Jika mahu berjinak-jinak dengan aktiviti motosikal berkuasa tinggi, Yamaha XJ6 berbaloi dimiliki kerana bentuknya sederhana besar serta mudah ditunggang.
Malah, penulis yang jarang menunggang motosikal berkuasa tinggi cepat serasi dan yakin mengendalikan jentera keluaran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd itu.
Selepas mengambilnya di kilang HLYM di Sungai Buloh, Selangor, penulis tidak rasa kekok atau gugup menunggang jentera bersesaran 600 cc ini.
Gaya tunggangan penulis ketika melalui celah kenderaan, terutama di kawasan bandar, penuh keyakinan.
Gaya tunggangan penulis ketika melalui celah kenderaan, terutama di kawasan bandar, penuh keyakinan.
Gabungan klac dan pusingan pemegangnya yang ringan serta brek yang responsif adalah keistimewaan jentera ini di laluan sesak.
Gaya tunggangannya juga lebih santai kerana tempat duduk yang lebar dan posisi tidak terlalu membongkok, sekali gus mengurangkan kesakitan atau lenguh belakang.
Prestasi Yamaha XJ6 tetap hebat kerana enjinnya mampu menyalurkan kuasa sehingga 77.5 Ps dan tork puncak 59.7Nm.
Prestasi yang lancar serta daya pecutan meyakinkan itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Malah, jurutera Yamaha menggunakan kerangka tiub ringan untuk membina XJ6 bagi memastikan tunggangan yang lincah, pusat graviti rendah dan dimensi keseluruhan jentera dapat dikurangkan.
Penulis yang menunggang di lebuh raya mendapati jentera ini meluncur laju sebaik menukar gear lebih rendah untuk menikmati kuasa pecutannya.
Sebaik memulas pendikit secara agresif dengan memasuki gear lebih tinggi, penulis tidak sedar meter digitalnya menunjukkan kelajuan melebihi 190 kilometer sejam (km/j).
Pada kelajuan itu, jentera ini masih stabil tetapi penulis terpaksa membongkok badan ke tangki bagi mengelak rintangan angin kerana ia tidak dilengkapi ‘fairing’.
Bagaimanapun, laluan yang sedikit sibuk dengan kenderaan lain membuatkan penulis mengurangkan kelajuan walaupun sedar ia boleh mencecah sehingga 210 km/j.
Sistem suspensinya juga tidak terlalu lembut dan ternyata menawarkan keselesaan selain memberi kestabilan, terutama mengambil selekoh di kelajuan tinggi.
Jentera yang baru dilancarkan beberapa bulan lalu itu adalah kesinambungan Yamaha XJ6 Diversion, tetapi menerima sentuhan motosikal kategori ‘naked’.
Menerusi gaya dan ciri yang dipertingkat bagi model 2013 ini, ia memenuhi cita rasa peminat motosikal berkuasa tinggi yang kian meminati jentera kategori ‘naked’.
Kombinasi rim 17 inci dengan dipadankan tayar saiz yang berbeza di bahagian depan dan belakang tampak macho.
Paling menariknya, panel meternya diinspirasi daripada rekaan jentera lumba yang membabitkan takometer analog, sekali gus mudah dibaca pada sebelah kanan.
Sementara bahagian kirinya terletak paparan digital dengan latar lampu berwarna oren yang memaparkan pelbagai maklumat seperti kelajuan pecutan, takat minyak dan banyak lagi.
Harganya pula lebih murah, RM38,500 seunit tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor pendaftaran, kira-kira RM1,000 kurang jika dibandingkan dengan XJ6 Diversion.
SPESIFIKASI:
ENJIN: 600cc empat silinder sebaris, penyejuk cecair, empat strok, DOHC, 4 injap
KUASA MAKSIMUM: 77.5 Ps pada 10,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 59.7Nm pada 8,500 rpm
TRANSMISI: ‘Constant-Mesh’ enam kelajuan dan klac basah
SUSPENSI: Teleskopik di depan dan lengan ayun di belakang
BREK: Brek cakera hidraulik berkembar di depan dan cakera tunggal di belakang
HARGA: RM38,500 tanpa insurans
mymetro
No comments:
Post a Comment