PENAJA

Wednesday, 26 December 2012

KAWASAKI Z800 : RM47,989


Huruf keramat dari model motosikal Kawasaki kembali mengaum
Sememangnya kecantikan itu sesuatu yang subjektif, dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa model terbaru Kawasaki ini adalah sesuatu yang samada dsukai ataupun dibenci.Kawasaki Malaysia telah melancarkan jentera genre kesatria jalanan (streetfighter) ini di Subang Jaya, Selangor pada Oktober lepas. Ianya nyata pengganti model terdahulu iaitu Z750 yang cukup dikenali dalam barisan siri Z dari pembuat motosikal Jepun tersebut.
Siri Z ini bermula dengan pengenalan Kawasaki Z1 empat puluh tahun lalu iaitu pada 1972. Ianya sinonim dengan gambaran superbike pertama di dunia, seiring dengan model Honda CB750 dalam tahun 1969 yang mula menawarkan konfigurasi enjin empat silinder melintang dengan brek cakera untuk pemilikan awam. Z1 menampilkan banyak elemen teknologi yang sebelum ini hanya digunakan pada motosikal perlumbaan.
Sekilas pandang, model 800cc baru ini nyata memenuhi daya tarikan radikal siri ‘Z’ semasa. Namun ia bukanlah setakat penampilan berbeza mahupun penambahan sesaran sahaja. Z800 ini dikuasai enjin 806cc empat silinder DOHC serba baru, yang mampu menjana 111hp pada 10,200 rpm dan 83Nm tork maksimum.
Ia sebuah enjin responsif dan mampu berputar laju dan cepat. Peningkatan bar penunjuk rpm hingga ke tahap 10,000 pusingan dengan mudah akan menujah motosikal 231kg ini melebihi 200 kilometer se jam, dengan 2,000 rpm berbaki sebelum ia sampai ke tahap garis merah pada angka 12.
Skrin instrumen LCD memapar maklumat dengan jelas termasuklah tolok bahan api, jarak perjalanan berbaki dan penunjuk penunggangan ekonomi. Memang motosikal ini kurang perlindungan angin dan cuaca, tapi tentunya ia satu penilaian yang kurang adil bagi genre streetfighter yang sememangnya togel atau naked seperti siri Z ini. Lihat bahagian ekornya, dan cahaya LED berbentuk Z akan membuat anda tersenyum.
Kerangka tiub nya telah dikaji semula untuk posisi penunggangan yang lebih menunduk ke hadapan agar kelihatan lebih agresif basikal dan bergaya. Sokongan bahagian hadapannya merupakan penyeraphentak KYB 41mm terbalik (USD) yang digabungkan dengan gantungan monoshock belakang. Pilihan ABS ada ditawarkan di luar negara, dan dirasakan perlu dipertimbangkan di negara ini, sekurang-kurangnya sebagai satu opsyen keselamatan ya ng terbukti walaupun ia akan meningkatkan harga.
Pengendalian jentera ini adalah hebat dan lincah, malah dirasakan ringan seumpama jentera yang jauh lebih kecil. Enjinnya amat berdayakilas, dan keyakinan penunggang ditingkatkan dengan kuasa brek yang amat mencukupi. Z baru ini amat berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Model ini dipasang di Thailand, seperti yang dapat dilihat dengan jelas pada plet di tengkuknya.
Pada kadar RM60 tiap cc, Kawasaki Malaysia telah menetapkan satu tanda aras baru bagi keseluruhan senario harga dalam pasaran motosikal di negara ini. Pada harga RM47,989 ia adalah sebuah jentera yang amat harus dipertimbangkan oleh penunggang tegar; tambahan pula, harganya mampu membuatkan anda tersenyum. -Salihin Abd Rahim
Spesifikasi Kawasaki Z800
Enjin 806cc 4-lejang 4-selinder DOHC 16-injap sejukkan cecair
Kuasa maksimum: 111hp @ 10,200rpm
Tork maksimum: 83Nm @ 8,000rpm
Sistem bahan api: suntikan Keihin 34mmø pendikit dwi-injap
Transmisi: 6-kelajuan, berputar
Berat basah: 231kg
Kapasiti tangki petrol: 17 liter
Komen BH Auto: “Jentera mengujakan berbaloi harga.”
Info
200kmj
Pada 10,000rpm
40 Tahun
Ulang tahun siri Z
34mmø
Saiz badan pendikit
150 mm
Kelegaan bumi
834mm
Tinggi pelana

BH AUTO

No comments:

Post a Comment