Sedan Sport BMW tawar ciri serba baru
Hazril Hafiz
hazril@bharian.com.my
hazril@bharian.com.my
Sejak BMW 3 Series generasi keenam diperkenalkan untuk pasaran Malaysia awal tahun lalu, model berkenaan menjadi antara yang paling laris dan menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan kenderaan BMW di Malaysia.
Ini tidak sukar untuk difahami; BMW 3 Series adalah kenderaan sedan sport yang mampu memenuhi pelbagai naluri dan keinginan, dengan aspek utama yang di tawarkan ialah kendalian dan pengalaman memandu yang mengujakan.
BMW 320i adalah varian terkini model berkenaan di pasaran tempatan. Ia bukan sekadar perubahan luaran semata-mata, tetapi 320i ini adalah model serba baru yang membawa bersamanya kelangsungan ketelitian pembuatan versi sebelumnya; kali ini dengan lebih perincian dan prestasi.
Model ini dibangunkan terutamanya untuk mereka yang menghargai perincian pemanduan. Tidak dinafikan, memandangnya saja sudah membuatkan ramai yang jatuh cinta dengan reka bentuk dan sentuhan rekaan luaran yang halus dan terperinci. Namun, tidak sehingga anda meletakkan tangan pada stereng dan kaki menekan pedal minyaknya, pengalaman anda bersama 320i varian terbaru ini belum sempurna.
Dengan imej sporty, ia lebih tangkas ketika dibawa bersiar-siar. Perjalanan terasa menjadi lebih singkat, dan kelajuannya bertambah tanpa terasa apa-apa desakan atau beban pada enjin. Ini adalah kerana ia dilengkapi enjin TwinPower Turbo 2.0 liter petrol. Gabungan semua ciri seperti pengecaj turbo twin-scroll, Valvetronic, Double Vanos serta suntikan minyak yang cekap dengan sistem transmisi Steptronic automatik 8-kelajuan membuatkan anda tidak mahu perjalanan anda segera tiba di destinasi.
Ia juga dilengkapi dengan ciri BMW EfficientDynamics dengan seliaan terhadap Brake Energy Regeneration, fungsi Start/Stop automatik (ketika anda berhenti untuk lampu merah, misalnya) serta mod Eco Pro untuk penjimatan dan kecekapan penggunaan tenaga terbaik.
Ketika memandu uji kereta ini, setiap laluan adalah menyeronokkan. Lebuhraya seperti MEX dari Putrajaya ke pusat kota diredah dengan bersahaja. Selekoh panjang pula memberikan peluang kepada pemandu untuk merasakan kestabilan dan ketegapan kereta ini ketika memasukinya, walaupun dengan kelajuan tinggi. Input stereng berada pada tahap yang mengkagumkan; anda dengan mudah dapat menganggarkan tahap belokan untuk kekal memberi tumpuan kepada jalan raya.
Tetapi, jangan tersilap menduga. Walaupun dengan ketangkasan enjin dan prestasi yang dikeluarkan, BMW 320i tetap mampu membuatkan anda tersenyum ketika melihat takuk petrolnya. Banyangkan saja ketika memandu uji unit itu selama tiga hari, dengan perjalan ulang-alik sekitar Kuala Lumpur dan juga ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kereta ini masih memberikan baki petrol pada takat menghampiri suku tangki. Seperti di dakwa pengeluarnya, model ini mampu memberikan bacaan 100km bagi setiap enam liter petrol.
BMW 320i adalah sebuah kereta yang memberikan banyak pilihan kepada pemandunya. Juga, sebagai sebuah sedan, ia memberikan praktikaliti yang diperlukan oleh ramai orang. Disebabkan ini, adalah tidak menghairankan jika ia menjadi model paling laris keluaran BMW di Malaysia, dengan mengambil kira harga jualannya yang munasabah jika dibandingkan dengan model BMW lainnya.
Spesifikasi BMW 320i
Enjin: 1,997cc, Petrol, TwinPower Turbo dengan 4 silinder sebaris
Kuasa maksimum: 184hp @ 5,000rpm
Tork maksimum: 270Nm @ 1,250-4,500rpm
Transmisi: Steptronic automatik 8-kelajuan
Ciri-ciri keselamatan: Beg udara penumpang depan, Dynamic Stability Control (DSC) dengan ABS, Isofix dan lain-lain
Harga: RM238,800 (tanpa insurans)
Enjin: 1,997cc, Petrol, TwinPower Turbo dengan 4 silinder sebaris
Kuasa maksimum: 184hp @ 5,000rpm
Tork maksimum: 270Nm @ 1,250-4,500rpm
Transmisi: Steptronic automatik 8-kelajuan
Ciri-ciri keselamatan: Beg udara penumpang depan, Dynamic Stability Control (DSC) dengan ABS, Isofix dan lain-lain
Harga: RM238,800 (tanpa insurans)
bhauto
No comments:
Post a Comment