Negara ibarat 'suami' Geun-hye
|
SENYUMAN manis sentiasa terukir di wajahnya. Langkah kemas diatur satu persatu diiringi lambaian tangan kepada ribuan rakyat yang menghadiri majlis penuh bersejarah buat dirinya dan juga negara.
Memakai persalinan kot rona hijau lumut, Park Geun-hye secara rasminya mengangkat sumpah menjadi wanita pertama bergelar Presiden Korea Selatan pada 25 Februari lalu.
Ia berikutan kejayaan Geun-hye sebagai calon konservatif memperoleh 52.5 peratus undi sekali gus menewaskan pencabarnya dari calon liberal, Moon Jae-in yang mengumpul 47.1 peratus sewaktu pilihan raya Presiden pada 19 Disember 2012.
Seramai 70,000 rakyat Korea Selatan berkumpul di hadapan Bangunan Perhimpunan Kebangsaan di Seoul semata-mata untuk meraikan kejayaan Geun-hye. Majlis angkat sumpah tersebut turut dihadiri ramai delegasi asing dari seluruh dunia.
Dalam ikrarnya, Geun-hye, 61, memberitahu, beliau tidak akan bertoleransi dengan sebarang provokasi dari Korea Utara dan berjanji menjamin kesejahteraan ekonomi bagi semua rakyat.
Justeru, beliau mendesak rejim Pyongyang supaya menghentikan program nuklear mereka dengan segera dan kembali menyertai komuniti antarabangsa yang cintakan keamanan.
"Ujian nuklear ketiga yang dilancarkan Korea Utara baru-baru ini menentukan survival dan masa depan rakyat mereka yang bakal menjadi mangsa akibat perbuatan tersebut.
"Saya tidak akan bertoleransi dengan sebarang tindakan yang mengancam nyawa rakyat dan keselamatan negara. Oleh itu, saya akan meneruskan polisi membina kepercayaan dengan Pyongyang, yang sebelum ini dijanjikan dalam kempen saya.
"Saya akan melakukannya langkah demi langkah mengikut keutamaan untuk membina kepercayaan antara Selatan dan Utara," tegasnya yang kemudian disambut dengan tepukan gemuruh mereka yang hadir.
Dilahirkan di wilayah Samdeok-dong Jung-gu, Daegu, Korea Selatan pada 2 Februari 1952, Geun-hye merupakan anak sulung pasangan mantan Presiden, Park Chung-hee dan Yuk Young-soo. Beliau mempunyai dua orang adik iaitu Park Seo-yeong dan Park Ji-man.
Belenggu kemiskinan
Ayahnya, Chung-hee digelar pemimpin diktator Korea Selatan yang memerintah negara tersebut bermula 17 Disember 17 1963 sehingga 26 Oktober 1979.
Sepanjang 18 tahun pemerintahan, beliau berjaya membebaskan negara daripada belenggu kemiskinan hidup. Secara umumnya, Chung-hee dilihat berjaya mengevolusi Korea Selatan daripada sebuah negara berpendapatan per kapita hanya AS$100 (RM300) setahun kepada kuasa ekonomi global dalam pasaran telefon pintar, kereta dan kapal-kapal yang dieskport ke seluruh dunia.
Kini, selepas 34 tahun, siapa sangka Geun-hye berjaya meneruskan legasi kepimpinan bapanya yang turut digelar sebagai tokoh kontroversi dalam kuasa pemerintahan Asia.
Menyusuri sejarah kehidupan Geun-hye, beliau sebenarnya tidak begitu asing dalam kalangan rakyat Korea Selatan. Beliau pernah menjadi Wanita Pertama kerana menggantikan ibunya yang ditembak mati pada 15 Ogos 1974 akibat terkena peluru sesat. Tembakan itu sepatutnya disasarkan kepada ayahnya.
Lantaran itu, pada usia 22 tahun, Geun-hye sudah mendapat perhatian politik antarabangsa kerana peranan yang dimainkan untuk menyokong kepimpinan bapanya.
Dari situ, Geun-hye mula pantas mempelajari banyak perkara, daripada protokol untuk menyambut orang kenamaan asing hinggalah kepada cara menguruskan hal ehwal negeri.
Selama lima tahun, Geun-hye berpeluang mendiami Blue House iaitu rumah kediaman Presiden sebelum bapanya dibunuh dalam tragedi berdarah pada 1979 akibat ditembak oleh ketua pengintip Jepun-Korea.
Pemegang ijazah kejuruteraan dari Universiti Sogang, Seoul itu pertama kali dipilih ke Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan pada tahun 1998. Rentetan itu, beliau terus berkhidmat sebagai ahli parlimen selama empat penggal sehingga 2012. Kemudian, Geun-hye memulakan penggal kelima sebagai perwakilan berkadar pada Jun 2012.
Sebelum ini, Geun-hye merupakan Pengerusi Parti Kebangsaan Utama (GNP) antara 2004 hingga 2006 dan 2001 hingga 2012. Parti itu kemudian ditukar nama kepada Parti Saenuri pada Februari 2012.
Pada tahun 2007, Geun-hye pernah cuba untuk menjadi calon presiden, namun tidak diterima. Sebaliknya GNP mencalonkan Lee Myung-bak sebagai presiden dan berjaya memenangi jawatan tersebut. Bagaimanapun, Myung-bak hanya berjaya memerintah selama lima tahun sebelum diambil-alih oleh Geun-hye.
Cabaran menanti
Pengarah Institut Kepimpinan Presiden Seoul, Choi Jin berkata, Geun-hye mungkin menghadapi situasi tegang dalam beberapa minggu pertama bergelar Presiden Korea Selatan.
"Namun, saya percaya lama-kelamaan beliau akan mempunyai kekuatan untuk kembali bangkit menonjolkan kemampuan diri sebagai pemimpin wanita," ungkap Choi Jin.
Sementara itu, wartawan World News, B.J. Lee menggambarkan Guen-hye sebagai wanita paling berkuasa di Korea Selatan.
"Kegigihan dan ketabahan beliau dalam merencana perjalanan hidup hingga berjaya diangkat sebagai Presiden Wanita Pertama di negara tersebut mungkin diwarisi daripada mendiang bapa dan ibunya.
"Geun-hye juga sering mengatakan bahawa beliau tidak berkahwin kerana telah terlebih dulu mengahwini negaranya. Maka, dengan semangat tersebut, beliau membina reputasi sebagai seorang ahli politik yang berprinsip dan berpendirian teguh.
"Justeru, tidak hairanlah beliau berjaya memenangi hati rakyat dalam pilihan raya Presiden yang lalu," ujar Lee dalam satu artikel yang disiarkan pada 25 Februari sempena tarikh rasmi Geun-hye mengangkat sumpah sebagai Presiden.
Sebagai pemimpin kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia, Geun-hye bakal berdepan cabaran besar. Selain konflik dengan negara jiran, Korea Utara, kepimpinannya juga akan teruji dengan perkembangan ekonomi yang perlahan dan peningkatan kos kebajikan di negara yang usia rakyatnya secara purata direkod paling tinggi di dunia.
Ketika berucap meraikan kemenangannya di ibu pejabat GNP Disember lalu, Geun-hye turut menjanjikan keajaiban lain iaitu membina ekonomi kreatif baharu yang berjalan melangkaui dasar pembuatan sedia ada negara.
"Saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Presiden yang sentiasa peka akan semua perkara dan berusaha melunaskan janji terhadap rakyat," ungkapnya penuh semangat.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2MI7pICIH
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment