PENAJA

Monday, 30 October 2017

PART 3 SET 2 : NASIONALISME DI ASIA TENGGARA - SPM KERTAS 3 TAHUN 2017

9. Perbandingan /
    Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara.
    (Secara umum)
Nasionalisme di Asia Tenggara boleh dibahagikan kepada dua tahap. Tahap pertama nasionalisme di Asia Tenggara lebih bersifat sederhana dan setempat. Contohnya, perjuangan Penghulu Dol Said berlaku di Naning sahaja dan tidak menyeluruh ke seluruh Negeri Sembilan.

     Manakala penentangan tahap kedua lebih radikal. Contohnya, di Filipina. Katipunan yang dipimpin Andres Bonaficio mengadakan revolusi bersenjata menentang Sepanyol.

     Selain itu, perkembangan nasionalisme tahap pertama di Asia Tenggara tidak berorganisasi. Penentangan pada tahap ini lebih menunjukkan kepada penentangan individu. Contohnya penentangan oleh Dol Said di Naning, dan penentangan Raden Adjeng Kartini di Indonesia.
Sementara itu, pada tahap kedua corak penentangan lebih berorganisasi. Sebagai contoh, pada tahap kedua perkembangan nasionalisme, tertubuhnya parti Katipunan di Filipina.

     Nasionalisme tahap pertama juga lebih kepada menerapkan kesedaran politik dalam kalangan penduduk tempatan.Pada tahap pertama, isu-isu yang dimainkan pihak nasionalis adalah berkaitan isu-isu kebudayaan, agama dan pengembalian hak-hak peribumi. Contohnya Raden Adjeng Kartini melalui karyanya Habis Gelap Terbitlah Terang yang menggarapkan kemajuan pendidikan untuk kaum wanita di Indonesia.Tujuannya hanya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tempatan bahawa hak2 mereka telah dihakis sedikit demi sedikit. Mereka tidak berniat untuk menghalau penjajah keluar dari tanah air mereka.

     Nasionalisme pada tahap kedua pula, mereka lebih kepada menekankan tindakan politik. Contohnya Sarekat Islam, Parti Komunis Indonesia dan Parti Nasionalis Indonesia yang lantang menuntut kemerdekaan Indonesia daripada Belanda.

     Kesimpulannya, gerakan nasionalisme di Asia Tenggara muncul akibat tindakan penjajah Barat yang menghakis hak-hak penduduk peribumi, mengeksploitasi  hasil mahsul negeri serta menjadikan pembesar-pembesar serta pentadbiran tradisional merosot dan terhapus. Nasionalisme bertujuan menuntuk hak dan maruah mereka dikembalikan.

10. Perbandingan /
      Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara 
    -Thailand
Tahap Pertama
     Gerakan nasionalisme di Thailand agak berbeza daripada gerakan nasionalisme  yang berlaku di negara lain di Asia Tenggara yang bersifat antipenjajah. Hal ini disebabkan Thailand tidak pernah dijajah. Nasionalisme di Thailand pada  tahap yang pertama merupakan rasa tidak puas hati rakyat tempatan terhadap penguasaan politik oleh kerabat diraja dan penentangan terhadap raja berkuasa mutlak.

     Perkembangan pelajaran Barat terutamanya sejak pemerintahan Raja Chulalongkorn telah melahirkan golongan intelek di Siam. Mereka yang mendapat pelajaran Barat terutamanya di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti fahaman liberal, sistem demokrasi dan sistem raja berperlembagaan. Kefahaman terhadap idea demokrasi ini menyebabkan mereka berpendapat pemerintahan beraja mutlak telah menjadi penghalang kepada pembentukan negara Thai moden.

     Selain itu, kelemahan sistem pentadbiran dan sikap boros Raja Vajiravudh telah membuatkan rakyat tidak berpuas hati.
Keadaan ini membawa kepada pertubuhan parti rakyat oleh Nai Pridi Phanamyong dan Field Marshall Phibul Shongram pada 1932. Parti ini telah melancarkan revolusi Thai pada 1939 yang telah menamatkan sistem raja berkuasa mutlak.

Tahap Kedua
     Nasionalisme tahap kedua di Thailand pula berlaku disebabkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap cengkaman ekonomi oleh kapitalis barat dan orang Cina. Walaupun bilangan orang Cina kecil, tetapi mereka telah menguasai ekonomi Siam. Kemarahan orang Siam terhadap kerajaan adalah disebabkan kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyekat kegiatan orang-orang Cina yang menindas orang Siam.

     Semasa Phibul Songram menjadi Perdana Menteri, beliau telah meluluskan undang-undang untuk menyekat kebebasan dan penguasaan ekonomi oleh orang China. Phibul Songram juga telah menutup sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina juga diharamkan.

     Penduduk peribumi turut digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi iaitu perdagangan dan perusahaan. Jawatan tertinggi pula hanya diperuntukkan untuk penganut Buddha sahaja.

     Pada tahun 1939, Phibul Songram nama Siam ditukar menjadi Thailand yang bermaksud negeri atau tanah yang bebas. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat nasionalisme bangsa dalam kalangan orang-orang Siam kerana negeri Siam merupakan satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat.

     Hasil kerjasama dengan Jepun pada Perang Dunia Kedua, Thailand telah berjaya mendapatkan kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. menyatukan wilayah-wilayahnya di Indo China dan Tanah Melayu.
11. Perbandingan /
    Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara
     -Filipina
Gerakan nasionalisme di Filipina merupakan gerakan
terawal di Asia Tenggara. Gerakan ini dapat dibahagikan kepada  dua tahap iaitu tahap pertama dan tahap kedua.

Tahap Pertama

     Tahap pertama gerakan ini merupakan gerakan dakyah yang dipimpin oleh Jose Rizal yang mempunyai pengaruh kuat dan disokong oleh golongan pertengahan yang berpendidikan Barat. Mereka menuntut supaya Filipina dijadikan wilayah Sepanyol, bangsa Filipina diberikan hak yang sama seperti yang diperoleh bangsa Sepanyol, dan bangsa Filipina diberikan kebebasan bersuara.

     Apabila tuntutan mereka kurang mendapat tindakbalas daripada Sepanyol, Jose Rizal telah menubuhkan Liga Filipina pada tahun 1892. Tujuannya adalah untuk mendesak Kerajaan Sepanyol melakukan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial.

     Kerajaan Sepanyol berasa terancam dan menangkap Jose Rizal dan membuangnya ke Dapitan di Mindanao.Jose Rizal dikenakan hukuman bunuh atas tuduhan terlibat dalam gerakan pemberontakan.Walaupun gerakan dakyah ini berakhir tetapi keadaan ini telah mencetuskan gerakan nasionalisme yang lebih radikal pada tahap kedua.

Tahap Kedua

     Gerakan nasionalisme tahap kedua di Filipina  bermula apabila Parti Kartipunan yang ditubuhkan oleh Andres Bonifacio telah memulakan penentangan secara radikal terhadap Sepanyol.Matlamat perjuangannya adalah untuk menyatukan bangsa Filipina dan mencapai kemerdekaan Filipina melalui revolusi.
     Kartipunan telah menggunakan media cetak untuk menyebarkan menyebarkan fahaman revolusi kepada rakyat. Kalayan merupakan akhbar rasmi pertubuhan tersebut.

     Pada tahun 1896, Kartipunan melancarkan revolusi bersenjata untuk menggulingkan pemerintahan Sepanyol tetapi gagal. Kartipunan semakin lemah selepas Bonifacio dihukum mati oleh Emilio Aguinaldo pada tahun 1897.Aguinaldo telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan Berjaya mengusir Sepanyol pada tahun 1898. Penyingkiran Sepanyol telah memulakan penguasaan Amerika Syarikat terhadap Filipina.

     Pengisyhtiharan kemerdekaan Filipina oleh Aguinaldo pada tahun 1899 tidak disahkan oleh Amerika. Dengan itu, revolusi diteruskan sehingga Aguinaldo ditangkap pada tahun 1901. Kerajaan Amerika terpaksa membenarkan penubuhan parti-parti politik sederhana. Sergio Osmena telah dilantik mengetuai Dewan Perhimpunan selepas partinya iaitu Parti Nasional menang dalam pilihanraya pada tahun 1907. Pada tahun 1930-an, nasionalis Filipina kembali menuntut kemerdekaan melalui perlembagaan setelah pucuk pimpinan di Amerika Syarikat bertukar kepada yang lebih liberal.

12. Perbandingan /
    Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara
     -Indonesia
     Gerakan nasionalisme di Indonesia  dapat dibahagikan
kepada 2 tahap iaitu tahap pertama dan tahap kedua.

Tahap Pertama

     Para nasionalis di Indonesia memberikan sepenuh tumpuan terhadap isu-isu pendidikan. Bagi mereka hanya pendidikan yang akan dapat mengubah nasib rakyat Indonesia.Raden Adjeng Kartini telah menghasilkan karyanya Habis Gelap Terbitlah Terang dan Penulisan Seorang Puteri Jawa. Karya ini telah mendedahkan kemunduran rakyat Indonesia dan penindasan oleh penjajah Belanda. Perjuangannya telah memberikan inspirasi kepada pejuang-pejuang selepasnya untuk menubuhkan perhubungan yang lebih tersusun.

     Selain itu Muhammadiyah merupakan pertubuhan yang terpenting pada tahap ini. Matlamat  pertubuhan ini adalah untuk menyebarkan Islam yang sebenar dan menghindari ancaman sekularisme  Barat serta agama Kristian. Pertubuhan ini turut membina banyak sekolah, klinik dan masjid .

Tahap Kedua

     Gerakan nasionalisme tahap kedua di Indonesia banyak memperlihatkan perjuangan parti-parti politik radikal Sarikat Islam(SI), Parti Komunis Indonesia (PKI) dan Parti Nasional Indonesia (PNI).
Pada tahap ini, parti-parti politik begitu lantang menuntut kemerdekaan Indonesia walaupun dengan cara kekerasan. PNI di bawah pimpinan Soekarno telah berjaya mempengaruhi rakyat Indonesia.Hal ini menyebabkan Belanda bertindak balas dengan menangkap pemimpin yang radikal termasuklah Soekarno dan seterusnya mengharamkan PNI.

13. Perbandingan /
    Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara
     - Burma /
     Myanmar
Gerakan nasionalisme di Burma bermula apabila Burma
dikuasai oleh Britain. Gerakan nasionalismme di sini dapat dibahagikan kepada 2 tahap iaitu tahap pertama dan tahap kedua.

Tahap Pertama

     Gerakan nasionalime tahap pertama di Burma dicetuskan oleh golongan sami Buddha dan golongan elit berpendidikan barat. Golongan sami Buddha telah menubuhkan Persatuan Belia Buddha pada tahun 1906 yang bertujuan untuk mengekalkan tradisi Buddha dan memajukan pendidikan dalam kalangan rakyat Burma.

     Persatuan Belia Buddha menggunakan isu Kasut untuk membangkitkan semangat nasionalime dalam kalangan rakyat Burma. Menjelang tahun 1916 Persatuan Belia Buddha dikatakan lebih bersifat radikal dibawah pimpinan U Ba Pe.

     Seterusnya, pada tahun 1920 pemimpin-peminpin Persatuan Belia Buddha telah menubuhkan Majlis Persatuan Am Kesatuan-kesatuan Burma yang lebih radikal.

Tahap Kedua

     Gerakan nasionalisme tahap kedua di Burma dikatakan muncul hasil daripada Laporan Montagu Chelsford yang mengatakan Burma masih belum bersedia untuk berkerajaan sendiri.Pada tahun 1920 telah berlaku revolusi pelajar yang membawa kepada cadangan dan tuntutan penubuhan sebuah Universiti untuk mereka.

     Gerakan nasionalisme di Burma juga berlaku setelah wujudnya gerakan Golongan Sami Buddha melalui Majlis AM Sangha Sametggi yang membawa kepada tercetusnya Pemberontakan Saya San. Pemberotakan Saya San telah diketuai oleh Saya San yang merupakan bekas Pongyi dan pemimpin di Tharawaddy.

     Kebangkitan semangat nasionalisme di Burma juga berlaku setelah munculnya Liga Antipemisahan yang mengatakan pemisahan dengan India akan melambatkan kemerdekaan Burma.

     Sementara itu pengenalan Perlembagaan Burma pada tahun 1935 telah memberi ruang kepada rakyar Burma untuk menubuhkan kerajaan sendiri. Begitu juga dengan kewujudan Golongan Thakin (siswazah university ) yang  telah menuntut kemerdekaan Burma melalui penubuhan Parti Dobawa Asiayone pada tahun 1935. Parti Dobama Asiayone tersebut dipimpin oleh Aung San, Kyam Nein dan U Nu dengan mengelarkan diri mereka sebagai “Tuan”.

    Akhir sekali, kemenangan Dr Ba Maw dalam pilihan raya pada tahun 1937 telah membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pertama Burma.

14. Perbandingan /
    Perbezaan/
    Perkembangan /
    Perubahan
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara
     -IndoChina
Gerakan nasionalisme di Indo China dibahagikan kepada
dua tahap.

Tahap Pertama

     Gerakan nasionalisme tahap pertama di IndoChina tertumpu di Vietnam. Gerakan ini dipelopori oleh golongan Bangsawan dan pegawai daripada golongan Mandarin. Mereka berjuang untuk  memulihkan sistem pemerintahan beraja.
     Sementara itu, golongan menengah berpendidikan Barat pula memperjuangkan pendidikan Barat dalam kalangan rakyat. Salah seorang ketua gerakan ini, iaitu Phan Boi Chau telah memimpin satu gerakan revolusi malangnya revolusi ini menemui kegagalan.

     Beliau kemudiannya menubuhkan Viet Nam Quang Phu Hoi (VNQPH) dan melancarkan beberapa pemberontakan iaitu pemberontakan di Tongkin serta melancarkan gerakan dakyah di Vietnam. Phan Boi Chau kemudiannya telah dipenjarakan dan VNQPH telah diharamkan oleh Perancis.

Tahap Kedua

     Seterusnya gerakan nasionalisme berlaku apabila parti-parti politik sederhana gagal untuk mendapatkan kerjasama daripada Perancis. Gerakan nasionalisme pada tahap ini lebih radikal
     Gerakan tahap kedua merupakan perjuangan Viet Nam Quoc Dang Dang (VNQDD) dan Parti Komunis   Vietnam (PKV) yang bersifat radikal. Perancis bertindak menangkap pemimpin VNQDD dan menjatuhkan hukuman bunuh terhadap   Nguyen Thai Hoc. Ho Chi Minh pemimpin PKV telah Berjaya melarikan diri ke Hong Kong.

     Sikap keras Perancis  telah menyebabkan gerakan nasionalisme kembali bercorak sederhana di bawah pimpinan Maharaja Bao Dai. Segala usaha pembaharuan Maharaja Bao Dai telah disekat malah, baginda juga dilarang melibatkan diri dalam gerakan nasionalisme.

     Akhirnya, Ho Chi Minh telah mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam dan beliau dilantik menjadi Presiden Vietnam Utara

No comments:

Post a Comment