PENAJA

Monday 30 October 2017

PART 1 : sejarah spm 2017 kertas 3 : nasionalisme di asia tenggara

Soalan-soalan berkaitan
Apakah Maksud Imperialisme?
Latar belakang Imperialisme.
Konsep Imperialisme.

Imperialisme bermaksud dasar sesebuah negara meluaskan pengaruh dan wilayahnya dengan menjajah negara lain untuk kepentingan tertentu. Imperialisme telah berlaku sejak Empayar Yunani dan Empayar Rom lagi. Imperialisme moden bermula sejak abad ke-15 apabila kuasa-kuasa Barat menguasai wilayah-wilayah di Amerika Latin, Afrika dan Asia. Imperialisme Barat di Asia Tenggara bermula sejak abad ke-16 kerana didorong oleh hasrat penjajah untuk menguasai ekonomi dan mengubah sistem politik tanah jajahannya. Portugal mendahului kuasa Barat yang lain apabila berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Tujuan awal imperialisme Barat adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Revolusi Perindustrian di Eropah menjadikan persaingan kuasa Eropah bertambah sengit.

Soalan-soalan berkaitan
Faktor-faktor berlakunya imperialisme Barat di Asia Tenggara. 
Sebab Asia Tenggara menjadi tarikan imperialisme Barat. 
Mengapakah Asia Tenggara menjadi tumpuan kuasa Barat.

Kedudukan Asia Tenggara yang strategik kerana terletak di antara perjalanan China dan India. Asia Tenggara mempunyai tanah yang subur untuk kegiatan pertanian. Revolusi Perindustrian di Eropah menyebabkan keperluan kepada bahan mentah yang banyak dan konsisten yang terdapat di Asia Tenggara . Asia Tenggara juga kaya dengan bahan mentah seperti bijih timah di Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand kayu jati di Burma dan Thailand.
Penduduk yang ramai di Asia Tenggara menjamin pasaran yang luas untuk barangan keluaran kilang. Perluasan Imperialisme juga disebabkan oleh berlakunya persaingan antara kuasa –kuasa Barat seperti Britain, Belanda, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.
Persaingan ini menyebabkan Asia Tenggara menjadi mangsa imperialisme baru. Bagi masyarakat Barat semakin luas tanah jajahan mereka semakin tinggi status atau sanjungan yang diperoleh. Oleh itu keluasan tanah jajahan melambangkan kekuatan dan kekuasaan serta kekayaan dan kehebatan negara tersebut.
British dan Belanda menganggap tamadun mereka lebih maju dengan membawa slogan ‘beban orang putih’ dan mendakwa bertanggungjawab memimpin orang Timur ke arah kehidupan yang lebih sejahtera . Perancis pula berpegang kepada slogan ‘tugas menyebarkan tamadun’ di mana mereka bertanggungjawab untuk mentamadunkan orang Timur.
Para mubaligh Kristian pula berpendapat bahawa mereka bertanggungjawab menyebarkan agama Kristian kepada penduduk di tanah jajahan dan di seberang laut.
 Perluasan kuasa imperialisme Barat juga disebabkan oleh perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan. Penggunaan kapal berkuasa wap membolehkan muatan yang banyak dibawa dan juga mempercepatkan perjalanan di antara Barat dan Timur.
Pembukaan Terusan Suez dan kapal berkuasa wap juga menjadikan perjalanan lebih selamat dan menjimatkan kos. Kemajuan sains dan teknologi seperti penciptaan telegraf membolehkan kuasa penjajah memberi arahan kepada pegawai mereka dengan lebih cepat dan berkesan. Ahli-ahli perniagaan Barat dapat berhubung dengan wakil mereka di Timur dengan mudah dan perdagangan antarabangsa menjadi lebih pesat. Imperialisme juga berlaku disebabkan oleh masyarakat Eropah ingin memecahkan monopoli perdagangan rempah ratus dan sutera yang selama ini dikuasai oleh orang Islam.
Galakan daripada pemerintah juga mendorong imperialisme berlaku terutamanya apabila golongan monarki baru di England, Perancis dan Belanda telah mempercepatkan penjajahan.Oleh sebab itu penjajahan ini sering dikaitan dengan kata-kata gold, glory dan gospel.








Soalan berkaitan
Terangkan ciri-ciri Umum Sistem Birokrasi Barat.
Kerajaan pusat ditubuhkan hasil penyatuan wilayah-wilayah di tanah jajahan. Gabenor Jeneral dilantik sebagai ketua pentadbir di tanah jajahan. Pentadbiran dilaksanakan melalui penubuhan biro (jabatan). Pegawai Barat dilantik sebagai ketua biro.Undang-undang Barat diperkenalkan bagi melicinkan pentdbiran.

Soalan-soalan berkaitan
Jelaskan sistem pentadbiran di Asia Tenggara sebelum dan selepas kedatangan kuasa Barat.
Huraikan perubuhan politik di Negara berikut : ……
Bandingkan sistem pemerintahan sebelum dan selepas imperialisme di Asia Tenggara.

Filipina
Sebelum kedatangan Sepanyol di Filipina, terdapat daerah-daerah kecil dikenali sebagai barangay. Barangay diperintah oleh golongan datu. Di selatan kepulauan Filipina, wujud kerajaan-kerajaan Islam. Selepas kedatangan Sepanyol, sistem pentadbiran berpusat diperkenalkan di Filipina. Gabenor Jeneral menjadi pemerintah tertinggi. Ketua Datuk Bandar menjadi pentadbir wilayah.Gabenor Kecil menjadi pentadbir bandar. Pentadbiran tempatan dijalankan melalui Sistem Encomienda.Encomienda merupakan barangay-barangay yang digabungkan. Pemerintah encomienda dikenali sebagai encomiendaro. Tugasnya adalah menjaga keamanan, mengutip cukai dan mengkristiankan penduduk.

Indonesia
Sebelum kedatangan Belanda, Indonesia terdiri daripada beberapa wilayah berasingan. Contohnya kerajaan Mataram dan kerajaan Bantam. Kerajaan tersebut diketuai oleh raja dan dibantu oleh golongan pembesar. Pada peringkat pemerintahan tempatan, pentadbiran diketuai oleh pembesar tempatan atau bupati (Jawa).
Selepas kedatangan Belanda.pentadbiran dibahagikan kepada dua iaitu kerajaan pusat dan kerajaan tempatan. Pentadbiran pusat diketuai oleh Gabenor General. Pentadbiran tempatan diketuai oleh pembesar tempatan dengan pengawasan pegawai Belanda. Jabatan kerajaan ditubuhkan. Contohnya Jabatan Pelajaran dan Jabatan Pertanian. Dewan Tempatan ditubuhkan. Fungsinya sebagai penasihat pentadbiran Belanda tetapi tiada kuasa perundangan. Volksraad  atau Majlis Rakyat ditubuhkan. Penubuhannya dianggap satu langkah ke arah kemerdekaan. Penubuhannya hasil desakan Sarekat Islam.

Burma
Sebelum kedatangan British, Burma mengamalkan sistem pemerintahan beraja di bawah Dinasti Konbaung. Raja menjadi pemerintah tertinggi. Raja di bantuHluttaw (Majlis diraja) dan Wun (Pegawai Tinggi Kerajaan). Ketua Bandar ialah Myothugyi. Pegawai diraja ialah Ahmudan. Terdapat juga Athi iaitu pembesar-pembesar tradisional. Raja menjadi penaung kepada sami Buddha.
Selepas kedatangan British, Pesuruhjaya Tinggi British menjadi pemerintah tertinggi di Burma. Akta Kampung Ulu Burma 1887 dan Akta Perkampungan Burma 1889 diperkenalkan. Pentadbiran wilayah di ambil alih oleh Myo-ok selaku pegawai bandaran. Sistem undang-undang Barat diperkenalkan. Majlis Perundangan diperkenalkan. Beberapa jabatan diperkenalkan. Contohnya jabatan pelajaran dan jabatan kesihatan.

IndoChina
Sebelum Kedatangan Perancis, IndoChina ditadbir oleh sebuah kerajaan pusat berkuasa mutlak. Pembesar tempatan mempunyai kuasa penuh. Setiap birokrasi diketuai oleh golongan Mandarin. Golongan Mandarin dipengaruhi sistem pentadbiran Tanah Besar China. Mereka dipilih melalui peperiksaan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan
Selepas kedatangan Perancis, pentadbiran di IndoChina diketuai seorang Gabenor Jeneral yang bertanggungjawab terus kepada Kementerian Tanah Jajahan di Paris. Leftenan Gabenor menjadi pemerintah wilayah jajahan/ naungan. Pentadbiran turut dibantu Residen Jeneral dan Residen Wilayah. Sebuah kerajaan pusat dibentuk dengan penubuhan Union Indochinoise yang terdiri daripada Vietnam, Kemboja dan Laos. Perancis menguasai pentadbiran.Semua rang undang-undang diluluskan oleh Parlimen Perancis. Pentadbiran kerajaan tempatan tidak dicampuri oleh kerajaan pusat tetapi mereka perlu membayar cukai dan menyediakan kerahan tenaga

Tanah Melayu
Sebelum kedatangan British. Tanah Melayu mengamalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan.Selepas kedatangan British ke Tanah Melayu, Melaka, Pulau Pinang, dan Singapura digabungkan menjadi Negeri-negeri Selat (NNS).Gabenor menjadi pemerintah tertinggi NNS.Beliau dibantu residen kaunselor bagi ketiga-tiga negeri tersebut.Pentadbiran peringkat kampung oleh penghulu dikekalkan.Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan digabungkan menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB).
Sistem Residen diperkenalkan di NNMB.Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Johor digabungkan menjadi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB). Sistem Penasihat diperkenalkan di NNMTB.Residen dan Penasihat British diletakkan di bawah Gabenor NNS.Tugas mereka adalah menasihati Sultan dalam semua perkara kecuali hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.Sistem kehakiman Barat diperkenalkan.Sistem pengutipan cukai dilaksanakan.Negeri dibahagikan kepada beberapa dibahagikan kepada beberapa daerah.Balai polis ditubuhkan.

Soalan berkaitan
Bincangkan ciri-ciri umum gerakan nasionalisme di Asia Tenggara.

Ciri-ciri umum gerakan nasionalisme di Asia Tenggara dapat dibahagikan kepada dua tahap. Tahap pertama merupakan penentangan secara terbuka tetapi bersifat setempat dan tidak berorganisasi. Isu utama ialah kebudayaan, agama dan hak peribumi mencetuskan gerakan nasionalisme. Gerakan ini dipimpin oleh golongan pertengahan yang berpendidikan Barat dan Asia Barat. Para pemimpin nasionalis ini lebih menekankan kesedaran politik daripada tindakan politik. Mereka menuntut hak-hak mereka dikembalikan dan taraf hidup mereka dibaiki. Secara umumnya mereka tidak meminta kemerdekaan dengan segera.
Manakala tahap kedua pula merupakan gerakan nasionalisme yang lebih lebih radikal dan berorganisasi. Perubahan ini adalah disebabkan oleh gerakan nasionalisme tahap pertama yang lebih sederhana sifatnya, namun gagal mencapai matlamat. Gerakan pada tahap kedua dipimpin golongan yang berpendidikan dan berpengetahuan luas dalam bidang kebudayaan dan ilmu pengetahuan Barat. Dengan itu, mereka dapat menyedari perubahan yang diperkenalkan oleh penjajah serta kesannya terhadap bangsa dan negara mereka. Matlamat perjuangan mereka lebih jelas, iaitu menuntut kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri dan berdaulat.



















Soalan-soalan berkaitan
Bincangkan tahap-tahap gerakan nsionalisme di Asia Tenggara.
Huraikan perkembangan nasionalisme di Asia Tenggara.
Terangkan gerakan nasionalisme di Asia Tenggara.

Filipina

Nasionalisme tahap pertama merupakan gerakan dakyah yang dipimpin oleh Jose Rizal yang mempunyai pengaruh kuat dan disokong oleh golongan pertengahan yang berpendidikan Barat yang menuntut supaya diberikan hak yang sama seperti yang diperolehi bangsa Sepanyol seperti kebebasan bersuara. Apabila tuntutan mereka kurang mendapat tindak balas Sepanyol, Jose Rizal kemudiannya menubuhkan Liga Filipina. Kerajaan Sepanyol berasa terancam lalu Jose Rizal ditangkap dan dibuang negeri ke Dapitan Mindanao. Akhirnya Jose Rizal dikenakan hukuman bunuh atas tuduhan terlibat dalam gerakan pemberontakan.

Nasionalisme tahap kedua bermula apabila Katipunan ditubuhkan oleh Andres Bonifacio yang memulakan penentangan secara radikal terhadap Sepanyol. Matlamat perjuangangannya adalah untuk menyatukan bangsa Filipina dan mencapai kemerdekaan melalui revolusi. Katipunan menggunakan media cetak seperti akhbar Kalayan yang menjadi akhbar rasmi pertubuhan tersebut. kemudian, Katipunan melancarkan revolusi bersenjata untuk menggulingkan pemerintahan Sepanyol tetapi gagal. Katipunan semakin lemah apabila Bonifacio dihukum mati oleh Emilio Aguinaldo. Aguinaldo telah mengadakan kerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mengusir Sepanyol. Pengisytiharan kemerdekaan Filipina oleh Aguinaldo tidak disahkan oleh Amerika Syarikat. Dengan itu, revolusi diteruskan sehingga Aguinaldo ditangkap. Kerajaan Amerika terpaksa membenarkan penubuhan parti-parti politik sederhana. Sergio Osmena telah dilantik mengetuai Dewan Perhimpunan apabila partinya iaitu Parti Nasional memenangi pilihanraya pada tahun 1907. namun begitu, hanya pada tahun 1940-an nasionalis Filipina kembali menuntut kemerdekaan melalui perlembagaan.
Indonesia

Nasionalis di Indonesia memberi tumpuan penuh kepada isu-isu pendidikan kerena bagi mereka pendidikan yang akan mengubah nasib rakyat Indonesia. Raden Adjeng Kartini berusaha memajukan pendidikan untuk kaum wanita melalui karyanya Habis Gelap Terbitlah Terang dan Penulisan Seorang Puteri Jawa telah memdedahkan kemunduran rakyat Indonesia dan penindasan penjajah Belanda. Perjuangannya telah memberi inspirasi kepada pejuang-pejuang selepasnya. Selain itu, Muhammadiyah merupakan pertubuhan yang penting pada tahap ini yang bermatlamat untuk menyebarkan Islam yang sebenar dan menghindari acaman sekularisme Barat serta agama Kristian. Pertubuhan ini banyak membina sekolah, klinik dan masjid.

Tahap kedua gerakan nasionalisme di Indonesia memperlihatkan perjuangan parti-parti radikal seperti Sarekat Islam, Parti Komunis Indonesia dan Parti Nasional Indonesia. Pada tahap ini parti-parti politik begitu lantang menuntut kemerdekaan Indonesia sekalipun dengan kekerasan. PNI dibawah pimpinan Soekarno begitu popular kerana perjuangannya dapat mempengaruhi rakyat Indonesia. Namun begitu, Belanda telah menangkap pemimpin yang radikal termasuklah Soekarno dan mengharamkan PNI.
Indochina

Gerakan nasionalisme lebih bertumpu di Vietnam serta dipelopori oleh golongan bangsawan dan pegawai daripada golongan Mandarin. Mereka memperjuangkan pemulihan sistem pemerintahan beraja. Golongan menengah berpendidikan Barat pula memperjuangkan pendidikan Barat dalam kalangan rakyat. Phan Boi Chau telah memimpin satu gerakan revolusi tetapi gagal. Beliau kemudiannya menubuhkan Viet Nam Quang Phu Hoi (VNQPH) dan melancarkan beberapa pemberontakan di Tongkin serta melancarkan gerakan dakyah di Vietnam. Phan Boi Chau kemudiannya telah dipenjara dan VNQPH diharamkan oleh Perancis.
Kegagalan parti-parti politik sederhana untuk mendapatkan kerjasama Perancis telah melahirkan gerakan nasionalisme yang lebih radikal. Gerakan nasionalisme pada tahap ini memperlihatkan perjuangan Viet Nam Quoc Dang-Dang (VNQDD) dan Parti Komunis Vietnam (PKV). Namun begitu, VNQDD telah ditangkap dan Nguyen Thai Hoc dihukum bunuh. Manakala Ho Chi Minh pemimpin PKV terpaksa melarikan diri ke Hong Kong. Sikap keras Perancis menyebabkan gerakan nasionalisme kembali bercorak sederhana dibawah pimpinan Maharaja Boa Dai. Usaha-usaha pembaharuan beliau bukan sahaja disekat, malah baginda dilarang melibatkan diri dalam gerakan nasionalisme.
Burma

Gerakan nasionalisme tahap pertama di Burma memperlihatkan perjuangan golongan sami Buddha dan golongan elit berpendidikan Barat. Golongan sami Budhha telah menubuhkan Persatuan Belia Buddha yang bertujuan untuk mengekalkan tradisi Buddha dan memajukan pendidikan dalam kalangan rakyat Burma. Pertubuhan ini menggunakan isu kasut untuk menbangkitkan semangat nasionalisme rakyat. Kemudiannya Persatuan Belia Budhha mejadi lebih radikal di bawah pimpinan U Ba Pe . Pemimpin-pemimpin Persatuan Belia Buddha kemudiannya menubuhkan Majlis Persatuan Am Kesatuan-Kesatuan Burma pada tahun 1920 yang lebih radikal.

Gerakan nasionalisme tahap kedua muncul apabila Laporan Montagu-Chelsford menyatakan bahawa Burma masih belum bersedia untuk memerintah sendiri. Menjelang tahun 1920, tercetus Revolusi Pelajar yang menuntut penubuhan sebuah universiti untuk mereka. Gerakan seterusnya merupakan gerakan sami Budhha melalui Majlis Am Sangha Sametggi yang mencetuskan Pemberontakan Saya San. Pembrontakan tersebut diketuai oleh Saya San iaitu bekas pongyi dan pemimpin di Tharawaddy. Kemudian muncul pula Liga Anti Pemisahan yang menganggap pemisahan dengan India akan melewatkan kemerdekaan. Pengenalan Perlembagaan Burma 1935 memberi peluang ke arah berkerajaan sendiri. Golongan Thakin menubuhkan Parti Dobama Asiayone untuk menuntut kemerdekaan. Para pemimpin terdiri daripada Aung San, Kyaw Nein dan U Nu. Dr Ba Maw yang telah memenangi pilihan raya  pada tahun 1937 telah dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Thailand

Gerakan nasionalisme di Thailand berbeza daripada negara lain yang bersifat antipenjajah. Nasionalisme pada peringkat pertama merupakan kegelishan rakyat penguasaan politik oleh kerabat diraja dan juga penentangan terhadap raja berkuasa mutlak. Perkembangan sistem pendidikan Barat telah memberikan pendedahan terhadap fahaman liberal, sistem demokrasi dan sistem raja berpelembagaan kepada golongan intelek. Kelemahan sistem pentadbiran dan sikap boros Raja Vajiravudh menyebabkan rakyat tidak puas hati yang membawa kepada penubuhan Parti Rakyat oleh Nai Pridi Panomyong dan Field Marshall Phibul Songram. Parti Rakyat telah melancarkan Revolusi Thai yang menamatkan sistem raja berkuasa mutlak.

Manakala pada tahap kedua adalah disebabkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap cengkaman ekonomi oleh kapitalis Barat dan orang Cina. Semasa Phibul Songram menjadi Perdana Menteri, beliau meluluskan undang-undang untuk menyekat kebebasan dan penguasaan ekonomi oleh orang Cina. Malahan sekolah Cina dan akhbar Cina ditutup. Penduduk peribumi digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi. Jawatan tertinggi dalam kerajaan hanya dikhaskan kepada penganut agama Buddha. Kemudiannya Phibul telah menukar nama negara Siam kepada Thailand yang bermaksud Tanah Bebas. Hasil daripada kerjasama dengan Jepun semasa perang Dunia Kedua, Thailand telah berjaya mendapatkan semula wilayah-wilayah di indoChina dan di Tanah Melayu.

Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura

Di Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura bermula apabila pemimpin tempatan menentang dasar penaklukan British yang telah menjejaskan kepentingan mereka. British telah memperkenalkan sistem cukai, undang-undang dan peraturan tanah untuk mendapatkan hasil maksimum. Penentangan tahap pertama lebih sederhana kerana perjuangan tidak menyeluruh dan diperjuangkan oleh pemimpin setempat sahaja serta tidak berorganisasi. Contoh penentangan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan Tok Janggut di Kelantan.
Pada tahap kedua, disebabkan oleh perkembangan sistem pendidikan Inggeris dan sekolah vernakular Melayu serta orang Melayu yang menerima pendidikan daripada Timur Tengah telah melahirkan golongan intelek Melayu yang mampu berfikir tentang kemajuan bangsanya. Oleh itu mereka telah bersatu melalui Gerakan Islah dan Kesatuan Melayu Singapura. Mereka menggunakan akhbar, malajah dan novel dalam menggerakan kesedaran kebangsaan orang Melayu.























Soalan-soalan berkaitan

Mengapakah gerakan nasionalisme di Thailand berbeza daripada negara-negara lain.
Terangka perkembangan nasionalisme di Thailand.

Gerakan nasionalisme di Thailand berbeza daripada negara lain yang bersifat antipenjajah. Nasionalisme pada peringkat pertama merupakan kegelishan rakyat penguasaan politik oleh kerabat diraja dan juga penentangan terhadap raja berkuasa mutlak. Perkembangan sistem pendidikan Barat telah memberikan pendedahan terhadap fahaman liberal, sistem demokrasi dan sistem raja berpelembagaan kepada golongan intelek. Kelemahan sistem pentadbiran dan sikap boros Raja Vajiravudh menyebabkan rakyat tidak puas hati yang membawa kepada penubuhan Parti Rakyat oleh Nai Pridi Panomyong dan Field Marshall Phibul Songram. Parti Rakyat telah melancarkan Revolusi Thai yang menamatkan sistem raja berkuasa mutlak.
Manakala pada tahap kedua adalah disebabkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap cengkaman ekonomi oleh kapitalis Barat dan orang Cina. Semasa Phibul Songram menjadi Perdana Menteri, beliau meluluskan undang-undang untuk menyekat kebebasan dan penguasaan ekonomi oleh orang Cina. Malahan sekolah Cina dan akhbar Cina ditutup. Penduduk peribumi digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi. Jawatan tertinggi dalam kerajaan hanya dikhaskan kepada penganut agama Buddha. Kemudiannya Phibul telah menukar nama negara Siam kepada Thailand yang bermaksud Tanah Bebas. Hasil daripada kerjasama dengan Jepun semasa perang Dunia Kedua, Thailand telah berjaya mendapatkan semula wilayah-wilayah di IndoChina dan di Tanah Melayu.





No comments:

Post a Comment