PENAJA

Monday 30 October 2017

PART 2 SET 2 : NASIONALISME DI ASIA TENGGARA - SPM KERTAS 3 TAHUN 2017

5. Perubahan / 
    Perbandingan/
    sistem 
    pentadbiran /
    pemerintahan /
    politik sebelum
    dan selepas
    imperialisme
    ATAU
    Birokrasi Barat
    di Asia Tenggara
Filipina
     Sebelum penjajahan Sepanyol, Filipina terdiri daripada daerah-daerah kecil yang dikenali sebagai barangay. Barangay -barangay diperintah oleh golongan datu. Di selatan Filipina pula wujud kerajaan Islam.

     Namun selepas penjajahan, Sepanyol telah memperkenalkan sistem pentadbiran berpusat dengan Gabenor Jeneral menjadi pemerintah tertinggi di peringkat pusat. Pentadbiran peringkat wilayah pula  diketuai oleh Ketua Datuk Bandar manakala pentadbiran bandar diketuai oleh Gabenor Kecil.

     Pentadbiran peringkat tempatan dilaksanakan di bawah sistem encomienda yang diketuai oleh Encomiendero. Dalam sistem ini barangay-barangay telah  digabungkan.  Ecomiendero berperanan menjaga keamanan, mengutip cukai dan mengkristiankan penduduk barangay. Sistem Encomienda telah mengundang kebencian dalam kalangan  penduduk Filipina kerana encomiendero telah mengenakan cukai yang tinggi dan menjalankan  kerahan tenaga ke atas penduduk tempatan.

Indonesia
     Di Indonesia, sebelum kedatangan penjajah, Indonesia terdiri kerajaan – kerajaan yang berasingan seperti Mataram dan Bantam. Kerajaan ini diketuai oleh raja dan dibantu oleh pembesar. Pemerintahan tempatan diketuai Bupati/ pembesar daerah.

     Selepas penjajahan Belanda, pentadbiran pusat dan pentadbiran tempatan telah diperkenalkan. Pentadbiran pusat diketuai oleh Gabenor Jeneral yang bertanggungjawab kepada kerajaan Belanda manakala pentadbiran Tempatan dijalankan oleh pembesar tempatan tetapi dikawal oleh pegawai Belanda.

     Selain itu, imperialis telah menubuhkan jabatan kerajaan untuk melancarkan pentadbirannya. Antaranya, Jabatan Pelajaran dan Jabatan Pertanian. Belanda juga telah menubuhkan Dewan Tempatan yang berfungsi sebagai sebagai penasihat pentadbiran Belanda tetapi tiada kuasa perundangan.

     Penubuhan Volksraad merupakan majlis rakyat yang dianggap sebagai satu langkah ke arah kemerdekaan hasil desakan Parti Sarekat Islam.

Burma
     Burma telah mengamalkan pemerintahan beraja di bawah Dinasti Konbaung sebelum kedatangan penjajah iaitu British.
Raja dibantu oleh Majlis diraja (Huttaw), pegawai kerajaan (wun), ketua bandar (myothugyi) Pegawai diraja (Ahmudan) dan pembesar tradisional (Athi). Selain itu, Raja menjadi penaung sami Buddha.

     Selepas British menguasai Burma melalui Perang Inggeris Burma III, Burma telah diperintah oleh Pesuruhjaya Tinggi British sebagai pemerintah tertinggi di peringkat pusat. British telah memperkenalkan Akta Kampung Ulu Burma (1887) dan Akta Perkampungan Burma (1889) yang secara tidak langsung telah melenyapkan pemerintahan tradisional Burma.

     Sementera itu, pentadbiran daerah diketuai oleh Pegawai Bandaran (Myo-ok) dan sistem Undang-undang barat diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang tradisional.
British juga telah menubuhkan Majlis perundangan dan Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran bagi memudahkan pemerintahannya.

Indo China
     Di Indo China, Sebelum penjajahan Perancis, wilayah Indo china telah ditadbir oleh  kerajaan pusat yang berkuasa mutlak tetapi kuasa penuh masih dimiliki pembesar tempatan.
Setiap birokrasi diketuai oleh golongan Mandarin yang dipilih melalui peperiksaan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan China.

     Selepas penjajahan Perancis, pentadbiran Indo China diketuai oleh Gabenor Jeneral yang bertanggungjawab terus kepada Kementerian Tanah Jajahan di Paris. Gabenor Jeneral dibantu oleh Leftenan Gabenor yang menjadi pemerintah wilayah naungan jajahan.

     Sementara itu, Leftenan Gabenor dibantu oleh Residen Jeneral manakala Residen Jeneral dibantu oleh Residen Wilayah.

      Kerajaan pusat telah ditubuhkan dan dikenali sebagai Union Indochinoise (1887) yang terdiri daripada Vietnam, Kemboja dan Loas menyertainya pada tahun 1904. Semua undang-undang di Indochinoise dilluluskan oleh Parlimen Perancis. Pentadbiran tempatan tidak diganggu oleh kerajaan pusat tetapi perlu membayar cukai dan menyediakan kerahan tenaga apabila diperlukan.

Tanah Melayu
     Sebelum kedatangan Portugis, Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan Sistem Pembesar Empat Lipatan.

     Semasa pemerintahan British, Melaka, Pulau Pinang dan Singapura digabungkan menjadi Negeri-Negeri Selat (NNS) yang diketuai oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Gabenor  dibantu oleh Residen Kaunselor bagi ketiga-tiga negeri tersebut.

     Sementara itu, pentadbiran di peringkat kampung oleh penghulu dikekalkan. Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) telah dibentuk yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di bawah penguasaan Sistem Residen.

     Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) iaitu gabungan Kedah, Kelantan Trengganu, Perlis dan Johor telah diletakkan di bawah Sistem Penasihat.Residen dan Penasihat British ini diletakkan di bawah Gabenor NNS untuk menasihati Sultan dalam semua perkara kecuali hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
     British juga memperkenalkan pelbagai perubahan seperti sistem kehakiman Barat, pelaksanaan sistem pungutan cukai, pembahagian negeri kepada beberapa daerah dan penubuhan balai polis

6. Pemerintahan /
    Pentadbiran /
    Politik
    Thailand
Raja Mongkut

     Pentadbiran negara Thai di bawah Raja Mongkut telah menyaksikan  80 orang penasihat Barat telah dilantik  untuk mengetuai pelbagai jabatan. Selain itu penasihat Barat juga dilantik untuk melatih pegawai-pegawai tempatan.

     Raja Mongkut juga telah  melantik penasihat Barat dari Britain sebagai Penasihat kewangan dan pelabuhan serta polis. Manakala penasihat dari Amerika Syarikat untuk bidang kastam. Selain itu penasihat dari Peranchis dilantik untuk bidang ketenteraan.

Raja Chulalongkorn

     Semasa pemerintahan Raja Chulalongkorn pula, Majlis Penasihat Rendah, Majlis Mesyuarat tertinggi dan Kabinet Menteri telah dibentuk. Selain itu juruaudit dari Britain telah dilantik untuk berkhidmat dalam perbendaharaan negara.Pada tahun 1932, Sistem Raja Berperlembagaan telah diperkenalkan untuk menggantikan sistem raja berkuasa mutlak di Thailand.

7. Faktor /
    Sebab/ Punca
    Kebangkitan/ 
    Kemunculan 
    Nasionalisme
    Di Asia Tenggara
     Terdapat beberapa faktor kebangkitan / kemunculan semangat nasionalisme di Asia Tenggara. Faktor pertama ialah dasar penjajahan Barat. Dasar barat ini telah  menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat negara-negara di Asia Tenggara. Hal ini  kerana sistem birokrasi Barat yang diperkenalkan tidak memberi peluang yang sewajarnya kepada rakyat tempatan utntuk terlibat dalam sistem pentadbiran moden.

     Melalui dasar ini rakyat tempatan terus kekal dalam ekonomi tradisional yang serba kekurangan. Selain itu, dasar ekonomi penjajah telah menindas penduduk pribumi, contohnya sistem polo di Filipina dan sistem tanaman paksa di Indonesia.

     Penjajah juga telah mewujudkan jurang sosial dengan menganggap bahawa mereka berada dalam kelas yang tersendiri. Mereka beranggapan bahawa mereka hanya layak berdampingan sesama mereka atau dalam kalangan kelas atasan sahaja.

     Selain itu, dasar keterbukaan penjajah terhadap kemasukan imigran menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat tempatan. Hal ini disebabkan golongan tersebut menguasai bidang ekonomi.

     Faktor seterusnya ialah pengaruh agama. Agama telah berjaya menyatukan rakyat tempatan untuk menghadapi penindasan dan pengaruh kebudayaan barat serta agama Kristian.Kemunculan gerakan Islah di Indonesia dan di  Tanah Melayu serta penubuhan Belia Buddha menunjukkan peranan agama sebagai alat perpaduan dan golongan agama sebagai pencetus nasionalisme. Gerakan ini juga memperjuangkan Pan Islamisme iaitu penyatuan dunia Islam menentang penjajahan Barat.

     Manakala agama Kristian di Filipina telah berjaya menyatupadukan penduduk peribumi menentang kuasa Sepanyol. Penduduk Filipina bangkit menentang Sepanyol  kerana penganut Kristian tempatan dianggap kelas kedua berbanding penganut Kristian berbangsa Sepanyol.


     Seterusnya, penerbitan karya-karya kesusasteraan di Asia Tenggara. Karya-karya ini  berperanan membangkitkan nasionalisme melalui hasil pena yang dihasilkan sebagai media untuk menyampaikan mesej kesengsaraan dan kekecewaan terhadap penindasan penjajah yang seterusnya membangkitkan kesedaran bangsa dan kecintaan terhadap tanah air. Contohnya cerpen Kerikil-Kerikil Tajam di Indonesia dan Putera Gunung Tahan di Tanah Melayu.

     Faktor yang tidak kurang pentingnya ialah sistem Pendidikan. Penjajah bersikap  pilih kasih dalam menyediakan kemudahan pendidikan dengan mengutamakan sekolah yang menggunakan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar dan telah mencetuskan nasionalismedalam kalangan penduduk tempatan.

     Penjajah juga hanya memberikan pendidikan pada peringkat rendah dan terhad kepada golongan golongan elit dan penduduk bandar. Contohnya di Indonesia anak golongan Priyayi diberikan pendidikan yang tersendiri dan diasingkan daripada anak orang kebanyakan yang bertujuan untuk memecahkan perpaduan rakyat tempatan.Manakala di Burma pendidikan sekular dan pendidikan mubaligh telah menjadi ancaman terhadap sekolah Buddha.Begitu juga di Tanah Melayu, sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh British menyebabkan lepasan sekolah vernakular sukar mendapat pekerjaan berbanding lepasan sekolah Inggeris.

     Kemunculan golongan intelektual yang mendapat pendedahan falsafah Barat dan Islam di Asia Barat telah menyedarkan golongan ini betapa pihak penjajah tidak mentadbir tanah jajahan seperti mereka mentadbir negara mereka sendiri.Akhirnya, mereka memimpin gerakan nasionalisme dengan menuntut taraf hidup bangsa mereka dibela dan meminta penjajah membebaskan tanah air mereka.

     Pengaruh media masa seperti akhbar dan majalah berupaya menyebarkan idea-idea nasionalis dan menanam perasaan antipenjajah kepada rakyat. Contohnya Warta Malaya, Majlis di Tanah Melayu dan Tribul Indigene di Vietnam.

     Selain itu, perkembangan sistem pengangkutan seperti pembinaan jalan kereta api dan jalan raya telah  dapat menghubungkan kawasan yang sebelumnya terpisah dan memudahkan rakyat dan para pemimpin bertemu bagi membincangkan idea-idea nasionalisme. Kewujudan perkhidmatan perhubungan seperti telefon dan telegraf turut memudahkan hubungan dalam kalangan nasionalis.
     Faktor seterusnya ialah pengaruh luar seperti kejayaan Jepun menewaskan China dan Russia serta kejayaan Mahatma Ghandhi mendapatkan kemerdekaan India daripada British telah membuka mata dan memberi inspirasi kepada para nasionalis Asia Tenggara untuk bangkit menentang penjajah.

8. Faktor /
    Sebab /
    Punca/
    Pemangkin /
    Faktor Yang
    Menyemarakkan
    Nasionalisme
    Di Tanah Melayu
     Faktor yang menyemarakkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu ialah pengenalan sistem politik Barat yang telah memusnahkan sistem politik tempatan. Contohnya, Residen telah  mengambil alih pentadbiran daripada pembesar tempatan. Hal ini telah mencabar amalan tradisi dan menjatuhkan maruah mereka.

     Faktor seterusnya ialah perkembangan sistem Pendidikan. Sistem pendidikan Inggeris dan sekolah vernakular Melayu telah melahirkan golongan intelek Melayu yang mampu berfikir tentang kemajuan bangsa. Mereka telah menggunakan idea baharu untuk memajukan diri dan menolak penjajahan British.

     Setersunya, dasar British telah menggalakkan sesiapa sahaja datang untuk melabur, berniaga, berdagang dan menetap di Tanah Melayu. Kesannya jumlah imigran meningkat dan menimbulkan persaingan kepada penduduk tempatan. Mereka menguasai bidang perladangan getah dan perlombongan bijih timah sedangkan orang Melayu kekal dengan pertanian padi.

     British turut membuka bandar baharu sebagai pusat pentadbiran sedangkan orang Melayu tetap tinggal di kampung dengan segala kekurangan. Hal ini telah memundurkan taraf hidup orang Melayu dan seterusnya menjadi faktor gerakan nasionalisme.

     Pendudukan Jepun juga menjadi faktor kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Pihak Jepun dengan konsep Kawasan Kesemakmuran Asia telah menekankan kebebasan negara–negara Asia untuk menentukan kemajuan dan meningkatkan persaudaraan dalam kalangan negara tersebut.

     Kesengsaraan hidup akibat kekurangan makanan dan kekejaman pentadbiran Jepun telah  menimbulkan kebencian kepada penjajah. Lantaran semangat itu apabila British memperkenalkan Malayan Union 1946, mereka tidak mahu dijajah oleh sesiapa pun.

     Penguasaan Parti Komunis Malaya turut membangkitkan semangat menentang penjajahan dan memulakan penyebaran ideologi komunis. PKM telah menguasai balai-balai polis dan memerintah dengan kejam. Mereka membunuh dan menangkap sesiapa sahaja yang dianggap penyokong Jepun. Gerakan ini telah mencetuskan konflik perkauman.

     Selain itu, kemunculan mesin cetak turut memberi kesan kepada penyebaran ilmu pengetahuan dan mendorong penentangan terhadap British. Hal ini kerana melalui buku, akhbar dan majalah idea menentang penjajah dapat disebarkan.

     Gerakan Pan-Islamisme juga merupakan faktor pemangkin nasionalisme. Gerakan ini telah membangkitkan pemahaman terhadap Islam untuk menentang penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam. Gerakan reformis Islam ini dimulakan oleh Syeikh Muhammad Abduh yang menekankan kepentingan hidup dunia dan akhirat di samping mendorong umatnya menuju kejayaan. Tulisan Syeikh Muhammad Abduh disebarkan dalam majalah al-Manar.

No comments:

Post a Comment