Soalan berkaitan
Huraikan peranan anda
untuk memperkasa semangat nasionalisme
Saya perlu berusaha meningkatkan
ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan seterusnya memberi sumbangan untuk
membangunkan negara. Saya perlu mengamalkan sikap bertoleransi dan mengukuhkan
kerjasama antara kaum bagi mengukuhkan perpaduan. Menyentuh perkara-perkara
sensitif yang melibatkan hal-hal seperti agama dan kepercayaan, adat, bahasa
dan sebagainya perlu dielakkan. Segala permasalahan yang wujud tidak perlu
disensasikan sebaliknya dibincangkan secara tertutup dengan hati dan fikiran
yang terbuka.
Sebagai rakyat Malaysia yang
bertanggungjawab, saya akan sentiasa mengamalkan dan menghayati kandungan Rukun
Negara. Bagi aspek ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’; saya akan sentiasa mematuhi
ajaran agama kerana dengan mengamalkannya saya akan menjadi warganegara yang
baik dan mudah diurus. Pengamalannya juga dapat menghindari diri saya daripada
melakukan perkara yang tidak bermoral dan merugikan negara seperti vandalisme,
gangsterisme membuang masa dan sebagainya. Pengukuhan pegangan agama dan
nilai-nilai moral akan mengukuhkan jati diri sehingga dapat menangkis
pengaruh-pengaruh luar yang negatif.
Bagi aspek ‘Kesetiaan Kepada Raja
dan Negara’; saya akan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada
negara Malaysia tercinta. Sikap dan semangat ini memboleh kedaulatan negara
dapat dipelihara daripada dicerobohi anasir-anasir luar. Pengamalannya akan
melahirkan semangat patriotik yang tinggi untuk memajukan negara. Kepatuhan dan
kerjasama dengan pemimpin pula
membolehkan segala dasar-dasar yang dirancang oleh kerajaan dapat dilaksanakan
demi kemakmuran rakyat dan negara. Sebagai tanda kesetiaan tersebut misalnya,
saya akan membeli barangan buatan Malaysia bagi menyokong kemajuan industri
tempatan.
Bagi aspek ‘Kedaulatan
Undang-Undang’; saya akan sentiasa mematuhi undang-undang negara. Ini akan
dapat memastikan keamanan dan keharmonian wujud dalam masyarakat. Keamanan
membolehkan kehidupan yang berkait dengan ekonomi, sosial dan politik dapat
berjalan dengan lancar.
Bagi aspek ‘Kesopanan dan
Kesusilaan’; saya akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Selain bersopan-santun dan bertatasusila, saya juga perlu mengamalkan
nilai-nilai murni yang lain seperti bersikap amanah, bertanggungjawab,
hormat-menghormati, yakin kepada diri sendiri dan sebagainya. Amalan
nilai-nilai murni seperti ini akan menjadikan saya seorang yang mempunyai
sahsiah yang terpuji dan menjadi aset negara yang berguna.
Soalan berkaitan
Mengapakah Thailand
dapat mengekalkan kemerdekaannya?
Dasar membuka Thailand kepada
pedagang-pedagang melalui beberapa perjanjian telah memberi pelbagai keistimewaan
kepada pedagang Barat seperti kebenaran berdagang, membeli dan menyewa tanah.
Ini mengelakkan Thailand daripada dipaksa membuka pintu negaranya melalui
penjajahan seperti di Burma, Vietnam dan China. Thailand juga menerima
perwakilan selain melantik kedutaan di negara-negara Barat seperti New York,
London, Paris dan sebagainya. Ini menjadikan hubungan Thailand dengan
kuasa-kuasa Barat bertambah erat.
Thailand telah menyusun semula pentadbiran mengikut
sistem Barat. Mongkut mengambil orang-orang Barat dari pelbagai negara serta
ditempatkan di pelbagai jabatan supaya tidak ada sebuah kuasa yang mempunyai
pengaruh yang kuat di Thailand. Secara umumnya, British diberi tugas untuk
menguruskan pendidikan, kewangan, polis dan pelabuhan; Amerika dalam perkhidmatan
kastam dan Perancis serta Itali dalam ketenteraan. Semasa Chulalongkorn,
ditubuhkan Majlis Mesyuarat Tertinggi, Majlis Penasihat Rendah dan Kabinet
Menteriuntuk menasihatinya dalam pentadbiran. Pembaharuan ini dapat
mengurangkan campur tangan asing dalam hal-ehwal Thailand.
Dari segi sosial pula, pelajaran Barat
telah diperkenalkan. Sistem buruh paksa digantikan dengan sistem buruh bergaji.
Sistem perhambaan dan adat yang menghalang kemajuan dihapuskan. Mubaligh-mubaligh
diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian dan mendirikan gereja. Pembinaan
lebih banyak jalan raya dan jalan keretapi, perkhidmatan telegraf, telefon dan
pos mula diperkenalkan. Dasar liberal ini telah menghapuskan sebab-sebab yang
memungkinkan campur tangan kuasa-kuasa Barat.
Persaingan British - Perancis juga
merupakan faktor penting yang menyelamatkan kemerdekaan Thailand. Bagi
mengelakkan perbalahan, British dan Perancis menjadikan Thailand sebagai negara
penampan (Buffer State) antara pengaruh British di Burma serta Tanah Melayu dan
pengaruh Perancis di Indo-China. Pada 15 Januari 1896, mereka telah
menandatangani penyisytiharaan British-Perancis yang mengiktiraf Thailand
sebagai negara yang merdeka. Tindakan British dan Perancis mengukuhkan
kemerdekaan Thailand.
Raja-raja Thailand mengamalkan dasar
bertolak ansur dengan kuasa-kuasa Barat. Mereka sanggup menyerahkan
wilayah-wilayah Thailand bagi mengelakkan perbalahan serta mengekalkan
kemerdekaan. Contohnya, Mongkut
menandatangani perjanjian dengan Britishyang menyerahkan Kentung dan Mong Pan
(1897) serta Negeri-negeri Melayu Utara (1909). Dasar tolak ansur tersebut
menyebabkan Siam kehilangan wilayah, tetapi telah berjaya mengelakkan
perbalahan dan mengekalkan kemerdekaan Thailand.
Tindakan Vajiravudh memihak kepada
pihak Berikat semasa Perang Dunia Pertama menguntungkan Thailand kerana
peperangan tersebut dimenangi oleh pihak Berikat. Perjanjian Versailles 1919
kemudiannya telah mengiktiraf Thailand sebagai negara merdeka. Selepas itu,
kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan hak wilayah asingan mereka di
Thailandsebagai mengenang jasa. Semasa Perang Dunia Kedua Pibul Songram yang
menjadi Perdana Menteri menandatangani perjanjian kerjasama bagi membenarkan
Jepun menggunakan Thailand sebagai pangkalan untuk menyerang Indo-China, Burma
dan Tanah Melayu. Kesannya, Thailand terselamat daripada penjajahan Jepun.
Selain itu kedudukan Thailand yang
terletak lebih jauh ke Utara telah menyebabkan ia terkeluar dari jalan
perdagangan ke Timur khususnya ke China. Akibatnya, kuasa-kuasa Barat tidak
begitu berminat untuk menjajah Thailand.
Thailand merupakan
sebuah negara yang kekurangan bahan mentah dan hanya bergantung kepada sektor
pertanian. Kuasa-kuasa Barat memang tidak berminat menjajah kerana tidak
mempunyai sumber bahan mentah tersebut. Pada keseluruhannya, kejayaan Thailand
mengekalkan kemerdekaannya adalah disebabkan oleh kebijaksanaan raja-rajanya
yang memahami perkembangan politik antarabangsa. Di samping itu, persaingan di
antara Perancis dan British juga mempunyai peranannya dalam kemerdekaan
Thailand.
Soalan
berkaitan
Mengisi Kemerdekaan Adalah Lebih Sulit Daripada
Memperjuangkannya / Merebutnya. Bincangkan.
Mengisi kemerdekaan negara adalah
lebih sulit daripada memperjuangkannya kerana objektif perjuangan menuntut
kemerdekaan telah pun dilalui dan
mencapai matlamatnya. Semua negara-negara di Asia Tenggara telah pun mencapai
kemerdekaan daripada penjajahan. Malaysia mencapai kemerdekaan daripada
British, Indonesia daripada Belanda dan Filipina daripada Amerika Syarikat. Peranan Malaysia
dan negara-negara lain di Asia Tenggara masa kini ialah mengisi kemerdekaan
tersebut iaitu membangunkan negara dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perindustrian,
perkhidmatan dan sebagainya untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Tidak wujud satu tempoh masa bagi melaksanakan matlamat ini. Ini bermakna tugas mengisi kemerdekaan ini
perlu dilakukan sepanjang masa dan terus bergerak ke hadapan. Kegagalan mengisi kemerdekaan bermakna gagal
mensejahterakan kehidupan rakyat. Kemerdekaan tidak membawa sebarang erti jika
keadaannya masyarakat tidak jauh berbeza semasa dijajah seperti kemunduran,
pencapaian ekonomi yang rendah, gejala sosial dan kadar pengangguran yang
tinggi dalam negara.
Musuh bagi memperjuangkan
kemerdekaan adalah jelas di depan mata iaitu negara luar yang menjajah
sedangkan musuh bagi mengisi kemerdekaan
adalah pelbagai dan tidak jelas.
Antaranya ialah perpecahan masyarakat.
Perpecahan menyebabkan masyarakat tidak bersatu padu. Ia mampu
menjerumuskan negara ke kancah pertelingkahan dan akhirnya menyebabkan
berlaku huru-hara. Kesannya pembangunan
dalam bidang ekonomi, sosial dan politik akan terhalang bahkan hancur musnah.
Situasi inilah yang sedang berlaku di beberapa buah negara seperti Syria, Iraq
dan Afghanistan apabila puak-puak dalam negara tersebut saling bersengketa
merebut kuasa. Kehidupan rakyat
menderita akibat persengketaan dan peperangan saudara. Atas sebab inilah Wawasan 2020 telah menggariskan
bahawa cabaran pertama bagi memajukan negara kita ialah mewujudkan sebuah
bangsa yang bersatu padu. Selain itu musuh utama bagi sebuah negara ialah
rasuah. Indeks rasuah yang tinggi dalam
sesebuah negara akan menjejaskan daya saing masyarakat tersebut kerana semuanya
dilakukan dengan menggunakan sogokan wang.
Ini menyebabkan institusi
kerajaan tidak mampu memainkan peranan dengan jujur dan cekap. Badan
penguatkuasaan seperti polis dan imigresen tidak lagi mampu menguatkuasakan
undang-undang . Badan kehakiman tidak lagi mampu memberikan keadilan kepada
rakyat. Pelabur juga akan hilang
keyakinan kepada negara. Akhirnya
sesebuah negara dan tamadun akan runtuh.
Perjuangan menuntut kemerdekaan
lebih mengutamakan kekuatan dari segi fizikal bagi berhadapan dengan
penjajah. Bagi mengisi kemerdekaan pula,
kita memerlukan kekuatan dari segenap segi seperti intelektual, spiritual,
ekonomi, politik dan sebagainya. Semua
kekuatan-kekuatan ini perlu seiring dan digemblengkan dengan bijaksana bagi
mencapai matlamat. Kemajuan kebendaan dan intelektual misalnya tidak memberi
erti jika aspek spiritual masyarakat rendah atau rosak. Kepincangan dalam salah
satu aspek kekuatan tersebut menyebabkan tamadun yang dibina tidak mampu
bertahan lama.
Penjajahan pada hari ini bukan lagi
dalam bentuk penguasaan politik secara langsung
sesebuah negara ke atas negara lain.
Penjajahan hari ini yang disebut sebagai penjajahan bentuk baru adalah lebih halus dan terancang. Pada masa
lalu, penjajahan politik bertujuan untuk menguasai ekonomi. Pada hari ini
matlamatnya masih sama tetapi dilakukan tanpa menjajah negara tersebut. Ini
dilakukan melalui pelbagai instrumen seperti media, perjanjian yang berat
sebelah, kerajaan-kerajaan boneka, hiburan, aliran-aliran pemikiran dan
sebagainya. Walaupun perjuangan menentang
imperialisme Barat secara langsung telah
berakhir, namun perjuangan mengisi kemerdekaan adalah lebih sulit kerana penjajahan secara
tidak langsung masih cuba dilakukan oleh negara-negara maju terhadap
negara-negara membangun termasuklah ke atas Malaysia.
Iktibar
Umum
Iktibar yang saya perolehi
ialah rakyat perlu menghargai dan menghayati jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh
kemerdekaan negara supaya perjuangan mereka menjadi inspirasi kepada rakyat
untuk memajukan negara. Rakyat juga perlu mempertahankan kedaulatan negara dari
semasa ke semasa agar kita dapat terus merasai nikmat kemerdekaan.
Sebagai warganegara, saya
perlu meningkatkan jati diri supaya negara kita tidak mudah dijajah. Semangat
jati diri akan menjadi benteng yang kukuh terhadap pengaruh-pengaruh luar yang
boleh mendatangkan kesan negatif seperti membuang masa, pergaulan bebas, rasuah
dan sebagainya yang akhirnya akan memusnahkan tamadun bangsa. Sebaliknya
nilai-nilai seperti rajin berusaha, amanah dan bertanggungjawab akan berkembang
subur untuk melindungi dan memajukan negara. Saya juga perlu bertanggungjawab memastikan kestabilan
politik terus kekal dengan memilih
pemimpin yang berwibawa untuk memastikan
negara terus aman dan makmur.
Kita perlulah bertindak
tegas demi mempertahankan hak terhadap kebebasan negara daripada penguasaan
asing. Kita hendaklah berusaha
memastikan maruah agama, bangsa dan negara terpelihara agar tidak dicemari oleh
unsur-unsur negatif. Sebagai generasi muda kita perlu berusaha meningkatkan
ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan pembangunan negara. Generasi
muda juga perlu berfikir secara kreatif dan inovatif untuk memastikan negara
terus maju setanding dengan negara maju yang lain. Selain itu, kita perlulah
berfikir secara rasional sebelum membuat sebarang tindakan.
Kemerdekaan negara pada
hari ini tidak memberi sebarang erti jika kita gagal menjadikan Malaysia sebuah
negara yang maju dan bermaruah bagi kehidupan anak bangsanya. Kegemilangan
tamadun sesebuah bangsa sangat berkait rapat dengan pencapaiannya dalam bidang
ekonomi dan ilmu pengetahuan. Tanpa
kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan, kita akan menjadi bangsa yang tidak
dihormati. Dalam dunia yang sentiasa bersaing hari ini, pihak luar akan
sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kita. Jika kita bersikap alpa,
pencapaian bangsa dan negara yang telah
kita bina ini akan runtuh dalam sekelip mata
Iktibar
(Khusus)
Pengorbanan
Berdasarkan
kajian di atas, semangat pengorbanan sangat penting dalam sesebuah perjuangan. Tanpa
pengorbanan, kita tidak akan mencapai sebarang kejayaan. Ini kerana melalui
semangat pengorbanan, seseorang itu akan berusaha bersungguh-sungguh demi
mencapai matlamat yang dinginkan. Semakin tinggi matlamat yang ingin dicapai,
maka semakin besarlah pengorbanan yang perlu diberikan. Pengorbanan bukan
sahaja terhadap masa, tenaga dan harta benda hatta nyawa juga menjadi galang
gantinya. Inilah yang telah berlaku terhadap pejuang-pejuang negara di seluruh
Asia Tenggara semasa menentang imperialisme Barat. Tok Janggut di Tanah Melayu,
Jose Rizal dan Andres Bonifacio di Filipina telah mengorbankan seluruh
kehidupan mereka untuk mendapatkan sebuah kebebasan dari belengu penjajahan.
Pada hari ini kita telah merdeka. Kita menempuh abad 21 ini dengan suasana yang
berbeza dari zaman-zaman sebelumnya. Jika dahulu perjuangan nenek-moyang kita
ialah menentang imperialisme, tetapi hari
ini kita menghadapi musuh dari dalam antaranya perpecahan kaum, rasuah, malas
berusaha dan sebagainya. Kita perlu mempunyai sikap sedia berkorban bagi
menghadapi musuh yang tidak nyata ini. Jika diperhatikan, kemajuan sesebuah
negara degan negara yang lain adalah tidak sama. Pastinya perbezaan ini adalah
kerana terdapatnya perbezaan dari segi sikap tersebut dan cara mengurus negara.
Ilmu sangat diperlukan bagi memajukan negara. Sebagai generasi muda
pewaris negara, kita perlu berkorban masa untuk menuntut ilmu. Ilmu yang
diperoleh kemudiannya akan digunakan untuk membangunkan negara. Di sini, kita
perlu berkorban dari segi usaha, idea dan tenaga. Disebabkan perjuangan selepas
era penjajahan ini tidak mempunyai garis masa yang tertentu, maka perjuangannya jauh lebih berliku dan menagih pengorbanan dari seluruh anak
bangsa. Jika kita gagal melakukannya, kita juga akan gagal membangunkan sebuah
negara. Negara dan anak bangsanya akan ketinggalan serta dipandang rendah oleh
masyarakat antarabangsa.
Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menanam semangat
pengorbanan dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini ialah memupuk sikap tidak
mementingkan diri sendiri sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan agama,
bangsa dan negara. Hal ini dapat
dilakukan jika kita ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Budaya hedonisme
yang keterlaluan perlu diawasi kerana ia
mengurangkan semangat berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Sebagaimana
yang dinyatakan dalam hadis, umat hari
ini lemah kerana takutkan mati dan terlalu cintakan dunia. Maka dengan itu, kita
perlu menerapkan nilai-nilai agama dan moral dalam kalangan generasi pewaris
negara hari ini.
Selain itu juga, pemimpin masyarakat dan negara perlu
menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh generasi muda. Pemimpin yang
rasuah akan melahirkan pengikut yang rasuah. Pemimpin yang tidak amanah akan
melahirkan pengikut yang tidak amanah. Oleh itu, jika kita mahu melahirkan
masyarakat yang sanggup berkorban, pemimpin hari ini juga perlu sanggup
berkorban.
Kewibawaan pemimpin
Seseorang
pemimpin perlulah seorang yang berwibawa bagi memimpin pengikut-pengikutnya
dalam sesebuah organisasi perjuangan. Antara ciri-ciri pemimpin yang berwibawa
ialah bertanggungjawab, sanggup berkorban, berilmu pengetahuan dan berwawasan. Disebabkan
kewibawaan pemimpin inilah negara-negara di Asia Tenggara berjaya memerdekakan
negara mereka dari penjajahan seperti Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu,
Soekarno di Indonesia, Aung San di Burma, Raja Mongkut dan Chulalongkorn di
Thailand.
Pemimpin
yang berwibawa akan berusaha memastikan rakyat hidup bersatu-padu. Ini kerana
perpaduan adalah asas bagi kekuatan sesebuah negara. Perpaduan yang ditunjukkan
oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina,
India, Iban, Kadazan dan sebagainya membolehkan negara mencapai kemajuan dan
pembangunan yang pesat pada hari ini. Sebaliknya rakyat yang hidup
berpecah-belah akan menyebabkan ekonomi dan politik menjadi tidak stabil.
Negara sukar untuk dimajukan kerana tidak wujud persefahaman.
Seorang
pemimpin yang berwibawa mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap tugas yang
diberikan. Meraka akan melaksanakan tugas untuk mencapai matlamat yang
dinginkan. Sebarang halangan dan rintangan tidak akan mematahkan semangat.
Sebaliknya mereka akan terus berusaha sehingga berjaya. Kewibawaan Soekarno dalam menerajui
Parti Nasionalis Indonesia akhirnya
telah memerdekakan Indonesia dari penjajah Belanda.
Pemimpin
yang berwibawa juga sanggup berkorban demi kepentingan bangsa dan negara. Atas
faktor inilah ada di antara antara mereka yang telah terkorban kerana kerana
mempertahankan kedaulatan negara seperti Tok Janggut di Tanah Melayu dan Jose Rizal di Filipina.
Pemimpin
juga perlulah seorang yang berilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini
membolehkan mereka menjalankan pentadbiran dengan sistematik. Di
Thailand misalnya, Raja Mongkut dan Chulalongkorn berusaha memodenkan
pentadbiran negara mengikut acuan Barat. Hasilnya kedaulatan negara dapat
dipertahankan dari diceroboh oleh kuasa-kuasa asing. Pemimpin negara kita pula
misalnya telah menggariskan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi untuk menjadi
sebuah negara maju melalui Wawasan 2020 dan Tranformasi Nasional 2050.
Seorang pemimpin
yang berwibawa mempunyai sikap prihatin terhadap permasalahan rakyat yang
dipimpin. Mereka akan berusaha menambah baik kehidupan rakyat. Kebajikan rakyat
akan cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui kemudahan-kemudahan
infrastruktur yang disediakan seperti jalan pengangkutan, kemudahan air,
elektrik, pendidikan dan sebagainya. Peluang-peluang pekerjaan diwujudkan
melalui pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan, pertanian dan
lain-lain.
Jelaslah
bahawa pemimpin yang berwibawa akan
menentukan hala tuju sesebuah negara.
Rumusan
Pengetahuan yang
saya peroleh daripada topik di atas ialah imperialisme Barat di Asia Tenggara
telah mencetuskan gerakan nasionalisme dalam kalangan rakyat tempatan yang
menuntut pembaikan terhadap taraf hidup dan seterusnya menuntut kemerdekaan
daripada kuasa penjajah.
Unsur patriotisme
yang diperoleh daripada dasar imperialisme Barat ialah setiap rakyat perlu bertanggungjawab
menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara. Kita harus berusaha mempertahankan
dan mengekalkan kemerdekaan negara serta mengisi kemerdekaan tersebut dengan
kemajuan.
Nilai-nilai
murni daripada topik di atas ialah semangat bertoleransi akan dapat memupuk
kerjasama yang erat antara kaum. Persefahaman rakyat akan mewujudkan keharmonian
dalam kehidupan.
Harapan saya agar semua rakyat
Malaysia memiliki semangat cinta akan negara
yang tinggi dan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara. Saya juga berharap
agar rakyat Malaysia terus berusaha memajukan negara dan mewariskan suasana
kehidupan yang aman dan bahagia kepada
generasi berikutnya.
No comments:
Post a Comment