PENAJA

Monday, 30 October 2017

PART 2 : sejarah spm 2017 kertas 3 : nasionalisme di asia tenggara

Soalan berkaitan

Bagaimanakah Barat mengekang / menghalang kebangkitan nasionalisme di Asia
Tenggara.

Pada tahap pertama, cara yang digunakan oleh kuasa imperialis Barat untuk menghalang / mengekang penentangan mereka ialah  dengan bertindak menangkap pemimpin-pemimpin yang menentang mereka. Contohnya Jose Rizal yang menentang Sepanyol di Filipina dibuang negeri ke Dapitan Mindanao, manakala Haji Abdul Rahman Limbong dibuang ke Mekah. Selain itu, mereka juga telah dihukum mati seperti Tok Janggut di Tanah Melayu, Jose Rizal dan Andres Bonifacio di Filipina.  Tindakan imperialis Barat ini berjaya mengekang kebangkitan penentangan buat seketika.
Imperialis Barat juga menggunakan pengaruh sultan. British misalnya telah menggunakan nama Sultan Terengganu untuk menghadapi penentangan Haji Abdul Rahman Limbong  dan Sultan  Pahang untuk menghadapi penentangan Dato’ Bahaman. Ini kerana British memahami psikologi penduduk tempatan yang tidak akan menderhaka kepada sultan mereka. Ini menunjukkan bahawa imperialis Barat telah mengkaji kekuatan dan kelemahan penduduk yang dijajah oleh mereka.
Pada tahap kedua, imperialis menggunakan cara yang lebih halus. British memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris di Burma dan Tanah Melayu. Sepanyol pula  menyebarkan agama Kristian  kepada penduduk tanah jajahan. Ini bertujuan untuk mendidik anak tempatan menjadi ‘pensubahat’ dengan penerapan idealisme dan dakyah penjajah. Kesannya, muncullah golongan-golongan yang mendokong sistem penjajah di seluruh Asia Tenggara atas alasan pemodenan.
Bagi mewujudkan keragaman penduduk,  imperialis telah membawa masuk buruh-buruh asing ke negara-negara yang dijajah. British misalnya telah membawa masuk buruh India ke Burma dan buruh Cina dan India ke Tanah Melayu. Keragaman penduduk dari segi ethnik, bahasa, cara hidup dan kegiatan ekonomi menyebabkan tidak wujud perpaduan dalam kalangan mereka. Dasar yang dikenali sebagai ‘pecah dan perintah’ ini memudahkan imperialis menguasai negara yang dijajah.
Pendidikan yang diberikan kepada penduduk yang dijajah pada awalnya hanyalah pendidikan peringkat rendah sahaja. Ini bertujuan supaya tidak lahir golongan intelektual yang mampu memikirkan bangsa mereka dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan negara. Hal ini terbukti apabila penentangan terhadap imperialis pada tahap kemuncak kemudiannya adalah merupakan pemimpin-pemimpin tempatan yang berpendidikan tinggi sama ada dari Barat atau dalam bidang agama dari Asia Barat.
Apabila penduduk tempatan menjalankan gerakan yang lebih tersusun melalui penubuhan parti-parti politik untuk menentang secara radikal, imperialis telah bertindak menangkap pemimpin-pemimpin seperti Phan Boi Chau dan  Soekarno. Parti-parti pimpinan mereka iaitu Viet Nam Quang Phu Hoi dan Parti Nasional Indonesia diharamkan. Imperialis hanya membenarkan parti-parti politik yang bersifat sederhana dalam perjuangan mereka seperti Parti Nasional Filipina untuk melewatkan kebangkitan penentangan. Perubahan sistem politik dunia akhirnya menyebabkan imperialis terpaksa juga menerima tuntutan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sederhana tersebut seperti Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu dan Sergio Osmena di Filipina.

Soalan-soalan berkaitan
Sejauhmanakah imperlisme/neokolonisme masih berlaku pada hari ini?
Apakah bentuk penjajahan pada alaf baru?
Bagaimanakah imperialisme moden berlaku pada masa kini?

Imperialisme terbahagi kepada dua bentuk, iaitu secara langsung dan secara tidak langsung.  Imperialisme secara langsung merupakan  perluasan wilayah melalui ketenteraan atau peperangan. Pada abad ke-21 ini, penjajahan secara langsung  disebabkan oleh faktor politik untuk meluaskan wilayah dan juga menjatuhkan kerajaan sedia ada untuk digantikan dengan kerajaan yang boleh mengikut telunjuk negara yang menguasainya. Contohnya Israel telah meluaskan sempadan negara dengan mengambil wilayah-wilayah Palestin. Amerika telah menyerang Afghannistan dan Iraq bagi menubuhkan kerajaan boneka yang boleh bekerjasama dengan mereka.   Walau bagaimanapun imperialisme secara langsung melalui tindakan ketenteraan  tidak banyak berlaku pada hari ini kerana mendapat kecamanan masyarakat antarabangsa.
Imperialisme secara tidak langsung pula berlaku melalui perluasan pengaruh. Negara maju telah mengenakan syarat-syarat perdagangan yang berat sebelah. Contohnya membeli hasil pertanian dan perlombongan negara membangun pada harga yang rendah. Hutang negara membangun terhadap negara maju pula dikenakan kadar faedah yang tinggi. Hutang yang tidak mampu dibayar akhirnya menjadikan negara peminjam sebagai tawanan kepada negara pemberi pinjaman seperti yang berlaku terhadap Greece. Dasar-dasar kewangan dan ekonomi Greece tidak lagi ditentukan oleh kerajaan tetapi oleh negara pemberi hutang. Bagi menyelesaikan hutang, banyak aset-aset dalam negara seperti tanah, lapangan terbang dan lain-lain telah digadaikan melalui penswastaan kepada syarikat-syarikat asing yang berkepentingan. Hal yang sama juga sedang berlaku ke atas negara-negara lain seperti Indonesia, negara-negara Afrika dan negara-negara Latin.  Imperialisme dalam bentuk perluasan pengaruh melalui perdagangan merupakan kaedah yang meluas dijalankan pada hari ini.
Imperialisme pada hari ini juga dijalankan melalui pemikiran dan hiburan. Pemikiran daripada negara-negara maju telah di bawa masuk dan diagung-agung oleh negara-negara membangun. Ideologi liberalisme, sekulerisme, demokrasi, hedonisme telah menggantikan nilai-nilai agama dan ideologi tempatan.  Hiburan, muzik dan filem-filem negara maju banyak mencorakkan pemikiran masyarakat negara membangun. Muzik seperti ‘Rock, k-pop dan filem-filem seperti ‘Titanic’ dan ‘Harry Porter’ merupakan contoh pengaruh luar yang telah menjajah pemikiran golongan muda hari ini. Dalam dunia globalisasi yang berasaskan kepada kepantasan teknologi maklumat, masyarakat luar telah dipengaruhi dengan maklumat yang tidak tepat dan tafsiran yang bertujuan menjaga kepentingan negara-negara maju seperti berita yang disampaikan oleh CNN.
Selain itu, kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Russia juga campur tangan dalam hal ehwal politik negara lain. Amerika Syarikat sebagai salah sebuah negara pemegang kuasa veto PBB telah merestui tindakan pemimpin tentera Mesir menggulingkan Presiden Morsi yang merupakan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Amerika Syarikat dan Russia juga campurtangan di Syria apabila cuba menegakkan kerajaan yang dapat memihak kepada mereka. Campurtangan beberapa buah kuasa besar dalam sebuah negara menyebabkan peperangan yang tidak berkesudahan di Syria.

Jelaslah bahawa imperialisme pada hari ini direncanakan dengan cara yang lebih halus dan terancang tetapi menimbulkan kesan yang sangat mendalam.

Soalan-soalan berkaitan

Jelaskan kesan imperialisme Barat terhadap rantau Asia Tenggara hari ini.
Huraikan Implikasi / pengaruh / impak imperialisme Barat terhadap rantau Asia Tenggara masa kini.

Kesan ekonomi

Struktur ekonomi negara yang dijajah telah dicorakkan bagi memenuhi keperluan setiap negara imperialis. Selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia merupakan negara pengeluar utama getah dan bijih timah dan Indonesia merupakan negara pengeluar kopi. Ekonomi negara-negara di Asia Tenggara terpaksa bergantung kepada bekas  negara penjajah sebagai pembeli utama hasil keluaran selain sumber mendapatkan pinjaman modal. Contohnya Britain merupakan pembeli utama getah dan bijih timah Tanah Melayu.  Ini menunjukkan imperialisme masih wujud selepas era kemerdekaan.
Kebanyakan bandar-bandar di Asia Tenggara hari ini mempunyai kaitan dengan kegiatan ekonomi semasa era penjajahan. Tumpuan imperialis terhadap sektor ekonomi komersil seperti perusahaan getah dan bijih timah di Malaysia, tanaman kopi di Indonesia dan tebu di Filipina telah membawa kemunculan dan perkembangan bandar yang berperanan sebagai pusat pengumpulan.  Contohnya Ipoh, Kuching, Saigon, Surabaya dan Manila. Bandar-bandar ini kemudiannya telah berkembang sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan di negara berkenaan.
Kepentingan imperialis terhadap ekonomi moden  menyebabkan ekonomi tradisional terpinggir dan diabaikan. Selepas kemerdekaan negara-negara Asia Tenggara terpaksa menyusun semula ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi di luar bandar di samping mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara.

Kesan politik

Rantau Nusantara yang merupakan Kepulauan Melayu telah dipecahkan mengikut pengaruh negara yang menjajah. Kerajaan-kerajaan tradisional yang wujud sebagai empayar di Asia Tenggara telah musnah seperti Kerajaan Demak, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Melaka dan Kerajaan Mindanao. Negara-negara yang terbentuk hari ini ialah negara yang mencapai kemerdekaan daripada bekas penjajah. Pembentukan Malaysia adalah  hasil kemerdekaan daripada British. Pembentukan Indonesia adalah hasil kemerdekaan daripada Belanda. Pembentukan Filipina adalah hasil kemerdekaan daripada Amerika Syarikat.
Pembentukan negara yang tidak berasaskan negara dan bangsa tetapi berasaskan negara bekas tanah jajahan telah  membawa kepada konflik yang masih berterusan hingga hari ini. Contoh konflik di Selatan Thailand dan Selatan  Filipina. Perebutan wilayah dan penetapan sempadan negara yang kurang jelas telah mewujudkan pertikaian antara negara. Contohnya perebutan Pulau Sipadan antara Malaysia dan Indonesia. Pertikaian yang terbaru pula ialah perebutan gugusan pulau Natuna di Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam dan China.

Kesan sosial

Wujud kepelbagaian kaum di negara-negara  Asia Tenggara  kesan  dariapada  dasar penjajah yang membawa masuk golongan imigran. Kepelbagaian kaum telah menyebabkan wujud konflik perkauman dan kesukaran bagi mewujudkan perpaduan sehingga kini. Masyarakat juga terpengaruh dengan agama, cara berfikir, bahasa dan budaya penjajah.  Pengaruh kebudayaan negara penjajah ini jelas dapat dilihat di Filipina apabila hampir 80 peratus penduduknya hari ini menganuti agama Kristian. Selain itu pengaruh bahasa Sepanyol telah menyerap masuk ke dalam bahasa moden Filipina  hari ini.


Soalan-soalan berkaitan

Setujukah anda imperisme Barat bertujuan menyebarkan tamadun?
Saya bersetuju bahawa imperialisme Barat telah menyebarkan tamdun mereka di Asia Tenggara. Sistem birokrasi Barat yang diperkenalkan telah mewujudkan pentadbiran yang lebih sistematik dan seragam melalui penyatuan wilayah-wilayah. Di Filipina, Sepanyol menyatukan barangay.  Di Indonesia, Belanda menyatukan kerajaan-kerajaan tradisional seperti Mataram, Acheh dan Bantam. Di Tanah Melayu, British mewujudkan Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Hasil daripada penyatuan inilah kemudiannya muncul negara bangsa yang moden seperti Indonesia, Malaysia, Burma dan Filipina selepas mencapai kemerdekaan daripada penjajahan.
Birokrasi Barat juga dilaksanakan melalui pengenalan sistem perundangan mereka  bagi menggantikan sistem perundangan tradisional. Sistem perundangan Barat adalah lebih lengkap dan meliputi pelbagai bidang seperti undang-undang tanah, sivil dan jenayah. Pengenalan undang-undang tanah misalnya membawa kepada pengenalan sistem rekod hak milik. Ini memudahkan pengurusan dan pentadbiran tanah dan sistem ini masih digunapakai sehingga hari ini. Pengenalan Akta Tanah Simpanan Melayu 1913 pula misalnya telah berjaya mengelakkan pemindahan tanah orang Melayu kepada  orang bukan Melayu.
Pada peringkat awal kedatangan imperialis Barat, berlaku keadaan huru-hara akibat peperangan antara kerajaan-kerajaan tradisional dan pertelingkahan antara pembesar-pembesar tempatan.  Di Tanah Melayu, berlaku perebutan kuasa antara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta pergaduhan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San.  Pengenalan dan seterusnya penguatkuasaan undang-undang British  telah mewujudkan suasana yang aman.   Ini membolehkan kegiatan ekonomi terutama pengeluaran bahan mentah dan perdagangan berjalan dengan lancar.
Imperialis Barat juga telah memperkenalkan tanaman komersil di negara-negara Asia Tenggara. Briitish memperkenalkan tanaman getah di Tanah Melayu, Amerika mengkomersilkan tanaman tebu, tembakau dan abaka di Filipina manakala Belanda mengkomersilkan tanaman kopi dan  tembakau di Indonesia. Selain menyediakan peluang-peluang pekerjaan, tanaman komersil ini juga telah menyumbang kepada pendapatan negara dan sebagai komoditi eksport yang utama semasa dan selepas tercapainya kemerdekaan di negara-negara berkenaan.
Sistem pendidikan Inggeris diperkenalkan di Tanah Melayu dan Burma, pendidikan Belanda di Indonesia, pendidikan Sepanyol dan Amerika di Filipina dan pendidikan Perancis di Vietnam. Sistem pendidikan Barat adalah lebih lengkap dan tersusun sehingga berjaya melahirkan golongan intelektual yang dapat memikirkan nasib anak bangsa mereka seperti Jose Rizal di Filipina, Soekarno di Indonesia, Ho Chi Minh di Vietnam dan Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu. Tokoh-tokoh inilah kemudiannya muncul sebagai nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan  negara masing-masing.
Pembinaan jalan pengangkutan yang lebih moden dijalankan semasa era penjajahan Barat. Jalan keretapi dibina untuk menghubungkan kawasan pengeluaran bahan mentah dengan pusat pengumpulan dan pelabuhan. Jalan keretapi terawal di Tanah Melayu misalnya menghubungkan Taiping dengan Port Weld, Seremban dengan Port Dickson dan  Ipoh dengan  Teluk Anson. Jalan keretapi terawal ini telah menjadi asas perkembangan jalan keretapi di seluruh negara sehingga hari kini.  Pembinaan jalan raya di kawasan bandar telah meningkatkan fungsi bandar sebagai pusat kegiatan ekonomi dan pentadbiran seperti Kuala Lumpur, Ranggon, Jakarta dan Manila. Pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar pula telah menggalakkan pembukaan ladang-ladang pertanian yang baru.


Soalan-soalan berkaitan

Jelaskan kepentingan semangat nasionalisme.
Bincangkan manfaat/faedah/impak/kesan/kejayaan semangat nasionalisme kepada sesebuah negara

Semangat nasionalisme dapat mewujudkan rakyat yang saling bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain. Dengan mengamalkan semangat nasionalisme ini, semua kaum dapat mengamalkan kebudayaan, adat resam, agama dan bahasa masing-masing yang mempunyai keperibadian budaya dan identiti tersendiri. Kesannya, perpaduan antara kaum dapat disemai. Sehingga sekarang, masyarakat Malaysia masih hidup dalam keadaan harmoni tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
Individu yang mengamalkan semangat nasionlisme yang tinggi akan membentuk jati diri yang kukuh di samping meningkatkan potensi kecemerlangan diri demi negara. Jati diri yang kukuh, membolehkan masa diuruskan dengan aktiviti yang berfaedah seperti bersukan. Contohnya Dato Nicole Ann David muncul sebagai pemain squash nombor satu dunia sekaligus menaikkan nama negara di persada dunia. Ternyata, jati diri yang teguh dapat mengharumkan negara.
Semangat nasionalisme yang tinggi juga dapat menjamin keselamatan negara. Kuasa-kuasa asing takut untuk menceroboh negara sekiranya barisan tentera kita kuat dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Kedaulatan negara akan terus terjamin. Buktinya, semasa pencerobohan di Lahad Datu, pasukan pertahanan negara tidak gentar melawan musuh negara. Mereka yang terkorban diangkat sebagai perwira atas keberanian mereka mempertahankan negara. Dengan semangat nasionalisme yang mantap, kedaulatan negara dapat dipertahankan.
Semangat nasionalisme juga dapat memupuk perasaan taat setia terhadap pemimpin dan negara. Ini dapat mengelakkan demontrasi jalanan. Segala ketidakpuasan hati disuarakan mengikut saluran yang betul. Rakyat dapat hidup dengan penuh harmoni tanpa memikirkan sentimen perkauman. Keamanan negara akan terus terjamin.
Kestabilan politik juga dapat dikekalkan apabila  pemimpin mentadbir negara dengan penuh bertanggungjawab. Program pembangunan negara dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sempurna untuk kepentingan rakyat. Contohnya program usahawan muda. Kepimpinan yang bertanggungjawab ini akan melahirkan hubungan erat antara pemimpin dengan rakyat. Keadaan ini sudah pasti membolehkan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Sebagai contohnya kepimpinan yang berwibawa Perdana Menteri Dato Seri Najib berupaya menggerakkan jemaah menteri mentadbir negara Malaysia dengan mantap.
Manfaat seterusnya ialah memacu kemajuan ekonomi setanding dengan negara maju yang lain. Semangat nasionalisme yang kuat mampu meningkatkan produktiviti dan seterusnya mendorong rakyat untuk bersaing dari segi ekonomi. Rakyat berupaya menjadi tenaga kerja yang mahir untuk membangunkan negara. Kadar kemiskinan akan dapat dikurangkan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup.  Oleh itu, kemakmuran negara akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.





Soalan-soalan berkaitan

Huraikan cara / langkah / usaha /persiapan mengekalkan kedaulatan.
Bagaimanalah kedulatan negara dapat dipertahankan.
Terangkan langkah yang perlu dilakukan bagi menghadapi imperialisme bentuk baru.

Pemimpin negara perlu memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi dalam tadbir urus negara di samping bersikap amanah dalam menjalankan tanggungjawab.  Pemimpin yang berilmu dapat memahami perkembangan dunia luar,  bersaing serta melaksanakan dasar-dasar luar yang mampu mengekalkan kedaulatan negara.  Ini bermakna rakyat perlu menggunakan hak-hak demokrasi dengan bijak dalam memilih pemimpin berpengetahuan dan berketrampilan.  Kerajaan pula perlu memberikan pendidikan yang sempurna kepada rakyat. Rakyat yang berpendidikan tinggi akan menjadi modal insan bagi menjana kemajuan negara dalam pelbagai bidang seperti doktor, jurutera, ahli ekonomi dan sebagainya.  Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh pemimpin dan rakyat merupakan faktor utama bagi menghadapi persaingan dunia yang semakin mencabar dalam era globalisasi masa kini.
Sikap toleransi antara  kaum perlu dipupuk dan dipelihara. Ini akan membawa kepada lahirnya  persefahaman dan perpaduan kaum dalam negara.  Perpaduan akan mewujudkan kestabilan dan keamanan. Faktor ini akan menghalang mana-mana kuasa luar untuk mengambil kesempatan dan campurtangan dalam urusan dalaman negara. Jika berlaku sebarang ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara, negara mampu menanganinya dengan berkesan kerana mendapat sokongan rakyat.
Kestabilan dan keamanan membolehkan ekonomi dan pembangunan negara dapat direncanakan dengan lebih berkesan. Ekonomi dan pembangunan yang berkembang dalam pelbagai bidang seperti perindustrian, perdagangan, dan perkhidmatan dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini seterusnya akan meningkatkan taraf hidup. Peningkatan taraf hidup dapat mengelakkan berlakunya perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan. Di samping itu, perkembangan ekonomi juga akan meningkatkan pendapatan negara. Kewangan negara yang kukuh mampu menampung perbelanjaan bagi memodenkan sistem pertahanan negara seperti pembelian jet-jet pejuang, kapal, radar dan sebagainya.  Sistem pertahanan yang kukuh dapat mempertahankan negara daripada sebarang ancaman musuh.
Negara kita perlu menjalinkan hubungan yang erat dengan negara luar terutamanya kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia, China dan Britain. Hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan yang erat akan mewujudkan kerjasama dan persefahaman. Sebarang permasalahan yang timbul akan diselesaikan melalui saluran diplomatik. Bahkan negara-negara kuasa besar juga mampu memberi bantuan kepada negara dalam situasi yang genting kerana ingin menjaga kepentingan perdagangan mereka. Contohnya British telah membantu Malaysia menghadapi serangan Indonesia pada tahun 1963.
Malaysia perlu mengurangkan pergantungan kepada negara luar terutama dari segi teknologi dan modal. Pengurangan pergantungan akan memberikan kebebasan kepada negara untuk membuat keputusan. Ini bermakna negara luar tidak dapat mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh negara kita. Sebaliknya kita akan kehilangan kedaulatan jika terlalu bergantung kepada institusi atau negara luar untuk mendapatkan pinjaman seperti yang berlaku ke atas Greece.
Jati diri rakyat Malaysia perlu diperkukuh agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya dan pemikiran dari luar yang boleh mendatangkan kesan negatif seperti  kebebasan hak yang tiada sempadan, extremisme, liberalisme dan sebagainya. Pengukuhan budaya dan pemikiran ini dapat dilakukan melalui pegangan yang kukuh terhadap ajaran agama dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Rasuah dalam negara perlu dibanteras sehingga ke akar umbi kerana rasuah yang berleluasa akan mengurangkan kecekapan mutu kerja, mengurangkan daya saing, menghakis keyakinan pelabur dan sebagainya sehingga akhirnya menghancurkan kedaulatan sebuah negara. Pihak luar akan mudah menggugat kedaulatan negara kerana semuanya diurus melalui wang rasuah. Kemasukan buruh asing ke dalam negara kita misalnya, jika ia diuruskan melalui rasuah akhirnya akan menimbulkan lambakan orang luar sehingga mampu menggugat keselamatan dalam negara baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Oleh itu peranan Badan Pencegah Rasuah perlu diperkasa bagi menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan.
Soalan berkaitan

Huraikan cabaran / rintangan / halangan / kekangan / mengekalkan semangat nasionalisme.

Cabaran utama bagi mengekalkan semangat nasionalisme dalam generasi masa kini ialah memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan serta kaum-kaum yang lain. Kepelbagaian kaum menyebabkan wujud sensitiviti  agama, budaya dan bahasa. Terdapat pihak-pihak tertentu yang berusaha memecahbelahkan perpaduan kaum dengan menimbulkan isu-isu sensitif tersebut.  Kita perlu mengelakkan berulangnya peristiwa rusuhan kaum terbesar di negara kita pada 13 Mei 1969.
Cabaran seterusnya ialah menjadikan negara dan masyarakat Malaysia bebas daripada gejala rasuah. Ini kerana rasuah merupakan musuh negara yang bergerak secara senyap. Rasuah yang berleluasa akhirnya akan menghancurkan tamadun sesebuah bangsa. Oleh itu masalah rasuah perlu ditangani dengan sebaik yang mungkin bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti dan berdaya saing seiring dengan negara-negara maju lain seperti Jepun, Korea dan Singapura.
Memajukan ekonomi negara untuk memakmurkan kehidupan rakyat juga merupakan cabaran yang perlu dihadapi.  Kemajuan ekonomi yang pesat akan melahirkan perasaan bangga rakyat terhadap pencapaian negara kerana kemakmuran hidup dapat dinikmati. Sebaliknya kemunduran ekonomi mampu menurunkan semangat nasionalisme rakyat sehingga ada yang mengambil langkah berhijrah ke negara-negara maju yang lain seperti Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan lain-lain demi mendapatkan peluang-peluang ekonomi yang lebih baik.

Meningkatkan pegangan agama dan nilai-nilai moral juga merupakan cabaran kepada negara dan rakyat Malaysia. Data-data yang ada menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Kes-kes pembuangan bayi yang berpunca daripada pergaulangan bebas semakin meningkat. Ragut, pecah rumah, rompakan semakin bertambah. Peningkatan kes-kes tersebut menunjukkan semakin kurang semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.

Selain itu, menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang berilmu pengetahuan dan mempunyai daya kreativiti yang tinggi  juga menjadi satu cabaran utama. Rakyat yang berilmu pengetahuan dan kreatif akan menjadi aset yang penting kepada negara bagi menghadapi persaingan dalam era globalisasi yang semakin sengit. Kegagalan melakukan tugas ini akan menjadikan kita bangsa yang ketinggalan. Oleh itu, prasarana bagi menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan perlu ditingkatkan seperti penubuhan institusi-institusi penyelidikan, universiti, perpustakaan, kemudahan terhadap akses internet dan sebagainya. Kesemua ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi di samping perubahan dari segi sikap dan cara berfikir masyarakat.





Soalan-soalan berkaitan

Huraikan cara / langkah  bagi mengekalkan  semangat nasionalisme.
Berikan cadangan anda untuk memperkasakan semangat nasionalisme.
Terangkan usaha untuk memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan remaja hari ini.

            Antara usaha untuk meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan warga Malaysia ialah dengan memperkenalkan konsep 1 Malaysia untuk memupuk perpaduan kaum.  Melalui konsep ini kerajaan telah memperkenalkan Kedai Rakyat 1M, Klinik 1M dan Perumahan 1M.  Selain kemakmuran negara dapat dikongsi bersama prasangka antara kaum juga dapat diatasi. Secara tidak langsung ini akan menimbulkan  perasaan sayang akan negara dan seterusnya dapat  menjamin kedaulatan negara.
            Cadangan seterusnya ialah merealisasikan ‘Sekolah Wawasan’ iaitu sekolah yang menempatkan pelbagai kaum.  Walaupun konsep dan pelaksanaannya telah dimulakan, namun ia kurang mendapat sambutan.  Masyarakat berbilang kaum di negara kita perlu mengutamakan kepentingan nasional berbanding kepentingan bangsa. Kempen bagi meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia tentang hal ini hendaklah terus ditingkatkan agar matlamat menyatupadukan kaum melalui sistem pendidikan dapat dicapai.
            Kerajaan perlu sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan membina kemudahan infrastruktur, mengawal harga barang, subsidi dan sebagainya. Pemimpin yang gagal melaksanakan tugas ini akan dilihat oleh rakyat sebagai gagal mentadbir negara. Rakyat akan mengkritik, bangun memberontak, membuat protes dan sebagainya. Jika perkara ini terus berlanjutan, ia akhirnya mampu mengurangkan semangat nasionalisme rakyat terhadap negara dan pemimpin negara.
            Selain itu, kita perlulah menyemai semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dari usia awal iaitu  di peringkat kanak-kanak. Program-program yang menjurus kepada perpaduan, menyayangi negara dan sebagainya hendaklah diutamakan.
Pada peringkat menegah, Kementerian Pendidikan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat lulus peperiksaan SPM. Melalui subjek ini pelajar didedahkan dengan sejarah negara Malaysia untuk memupuk semangat cinta akan negara. Semua pelajar akan belajar bersungguh sungguh untuk memastikan mereka lulus. Secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat sanggup berjuang demi negara. Dengan ini, pengaruh luar sukar untuk mengugat kedaulatan negara.
Selain itu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diperluaskan dengan melibatkan lebih ramai pelajar lepasan SPM. Selain untuk membina sahsiah diri ia dapat mengukuhkan semangat patriotisme  serta memupuk perpaduan nasional.  Program ini terbukti dapat  memperkukuh jati diri dan menyemai semangat nasionalisme pelajar untuk mempertahankan kedaulatan negara. Secara tidak langsung, semangat cinta akan negara dapat dipupuk dan warganegara yang bertanggungjawab dapat dilahirkan.


No comments:

Post a Comment