PENAJA

Thursday 11 October 2012

SUBARU VX : Produk CKD pertama Subaru



AWAL Julai lalu, pengeluar kenderaan jenama Subaru iaitu Fuji Heavy Industries Ltd. (FHI) di Jepun memeterai satu perjanjian persefahaman bersama Tan Chong Group untuk aktiviti pemasangan komponen unit terurai (CKD) di Malaysia.
Aktiviti pemasangan yang dijadual bermula pada bulan depan itu akan menggunakan fasiliti Tan Chong Motor Assemblies Sdn. Bhd (TCMA) yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur.
Langkah itu menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam pengeluaran produk Subaru.
Produk CKD pertama kilang Segambut ialah Subaru XV dengan kapasiti minimum sebanyak 5,000 unit setahun. Hasil keluaran itu bakal dikongsi bersama oleh tiga pasaran ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Tidak keterlaluan jika saya menyifatkan tindakan menzahirkan aktiviti CKD crossover kompak itu sebagai satu langkah yang cukup berani.
Umum tahu bahawa jenama Subaru cuma meraih perhatian daripada peminat tegarnya sahaja. Pasaran kenderaannya juga boleh dikatakan sebagai agak niche.

KETIBAAN Subaru XV dijangka mengubah landskap segmen SUV di Malaysia.


Rangkaian produk Subaru tidak terhad kepada model sedan atau hatchback sahaja. Malah, kenderaan utiliti sukan (SUV) seperti Forester turut ditawarkan.
Namun, Forester ternyata memerlukan nafas baharu jika anda membandingkan jentera itu dengan pesaing sekelasnya.
Sebabnya mudah. Jika diamati segmen SUV di Malaysia, ia sememangnya mengalami perkembangan yang pesat sejak kebelakangan ini. Kia sudah menempatkan model Sportage dalam liga saingan yang turut dihuni oleh model-model seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Hyundai Santa Fe.
Mazda juga mahukan kek pasaran segmen berkenaan dengan memperkenalkan CX-5. Jangan lupa, Mazda ada mengumumkan program CKD CX-5 yang bakal berlangsung mulai 2013. Inilah antara cabaran yang menanti Subaru XV.
Pelancaran di Indonesia
Baru-baru ini, saya dibawa ke Indonesia untuk menyaksikan pelancaran Subaru XV secara langsung di Indonesia International Motor Show (IIMS). Pameran kali ke-20 itu menyaksikan jentera crossover Subaru XV dilancarkan bersama dua produk lain iaitu Impreza dan BR-Z.
Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan memberitahu, kilang pemasangan CKD berjaya memadankan kualiti Subaru XV sama seperti jentera keluaran Jepun dan menepati standard yang ditetapkan oleh KHI dalam tempoh 18 bulan sahaja.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Motor Image mengakui pelancaran Subaru XV menandakan pencapaian penting pihaknya dalam merangsang pertumbuhan jenama Subaru di rantau ASEAN.

REKABENTUK jentera XV ternyata kelihatan segar dan lebih moden.


Motor Image ialah anak syarikat Tan Chong Group dan merupakan pengedar kenderaan Subaru di sepuluh buah negara termasuk Malaysia.
Saya dan media lain berpeluang memandu uji Subaru XV. Meskipun masa diperuntukkan sangat singkat, sekitar tiga hingga lima minit sahaja, jadi tidak adil untuk membuat tafsiran secara tepat mengenai prestasi sebenarnya.
Ketika melangkah masuk ke dalam ruang kabin, saya mendapati paparan skrinnya cuma satu warna. Ada rakan memberitahu, ia berbeza dengan model diimport sepenuhnya (CBU) yang mana skrinnya berwarna.
Stereng yang dibalut material kulit menjadi perumah kepada butang-butang kawalan. Antaranya, butang kawalan jelajah (cruise control), menjawab panggilan telefon, pembesar suara, kawalan audio dan paddle shifter.
Papan pemuka Subaru XV menggunakan plastik jenis lembut seperti yang terdapat pada model CBU.
Saya mendapati gugusan meternya terdiri daripada gabungan meter analog dan digital. Skirn digital memaparkan maklumat seperti status petrol. Meter analog pula membabitkan meter laju dan RPM.
Satu lagi skrin ditempatkan di bahagian tengah papan pemuka yang menunjukkan suhu, jam dan jarak perjalanan berdasarkan kepada baki bahan api. Konsol tengah pula nampak kemas dengan susunan butang pendingin hawa di bawah skrin unit audio jenis Double DIN.
Memiliki kapasiti lima tempat duduk, jentera itu dilengkapi tiga beg udara SRS untuk penumpang hadapan dan pemandu.
Satu lagi beg udara diletakkan di bahagian bawah untuk melindungi lutut pemandu. Ciri-ciri standard lain ialah ISOFIX, ABS, EBD, Break Assist dan VDS.

SUSUN atur butang dan tombol kawalan pada papan pemuka kelihatan ringkas dan kemas.


Tujahan kuasa dijana daripada enjin petrol Boxer 2.0 liter DOHC. Ia kemudian disalurkan kepada keempat-empat roda bersaiz 17 inci menerusi sistem pacuan empat roda simetri (Symmetrical AWD).
Transmisinya ialah Lineartronic CVT yang menawarkan pilihan manual jika diinginkan pemandunya.
Brosur spesifikasi yang diedarkan kepada kami menunjukkan enjin Boxer itu berupaya menawarkan kuasa maksimum 150PS @ 6,200rpm dan tork setinggi 196Nm @ 4,200rpm.
Harga jualannya belum diputuskan lagi tetapi kami diberitahu anggarannya adalah RM150,000 sebuah. Jika benar itulah harganya (atau lebih rendah), maka segmen SUV saiz sederhana pastinya semakin meriah.-KOSMO
SHINICHIPEDIA: subaru kini semakin mampu milik selepas munculnya subaru CKD

No comments:

Post a Comment