PENAJA

Thursday 27 September 2012

cuci kereta hindari cat luntur


KESAN air hujan, embun, pancaran matahari dan pencemaran alam sekitar antara faktor semula jadi yang menyebabkan kereta kotor serta tidak berseri.
Ia kadang kala menjadi rutin biasa bagi penduduk di ibu kota kerana kekurangan tempat letak kereta sekali gus membiarkan kenderaan terdedah kepada faktor berkenaan. 
Mereka yang mengambil berat terhadap kereta dan rajin membasuh sendiri, warna kereta sentiasa menawan, walaupun berusia lima hingga 10 tahun.

Malah, usaha itu pasti tidak sia-sia kerana kereta yang sentiasa bersih dan berkilat mempunyai nilai pasaran tinggi untuk dijual semula.

Sesetengah pemilik kereta memang malas atau tidak ada masa untuk membasuh kereta sehingga sanggup mengeluarkan wang antara RM5 hingga RM10 sebagai upah mencuci keretanya.

Sebenarnya, tiada rahsia atau alat tertentu yang boleh menghindari cat kereta daripada cepat pudar dan luntur, tetapi ia berkaitan dengan kepekaan seperti menjaga kesihatan tubuh badan.

Paling penting adalah mencuci kereta dengan kerap kerana ia boleh menghindarkan kesan pencemaran, sekali gus mengelakkan badan kereta daripada terlekat habuk yang mengundang kepada punca berkarat.

Pada dasarnya, kereta hendaklah dicuci sekali dalam masa dua atau tiga minggu.
Apabila mencuci kereta, bahan cucian yang digunakan juga perlu dipilih dengan berhati-hati.

Pemilihan bahan pencuci yang tidak tepat boleh menyebabkan risiko karat kepada kereta.

Dinasihatkan supaya jangan menggunakan sabun atau serbuk pencuci pakaian untuk mencuci kereta kerana bahan itu mengandungi garam yang boleh menyebabkan karat.

Bagi memudahkan cucian, gunakanlah kain lembut atau span dan siram kenderaan dengan air yang banyak untuk menghilangkan buih sebelum dikeringkan menggunakan kain bersih.

Selain menggunakan sabun, ada pemilik kereta yang menggunakan bahan pengilat selepas mencuci untuk menjadikan ia lebih berkilat.

Bahan pengilat itu mampu menghapuskan kekotoran melekat pada badan kereta dengan menggunakan produk yang bersesuaian.

Pastikan bahan pengilat diletakkan pada kain bersih dan selepas itu gosokkan secara sama rata pada permukaan kereta dengan gerakan bulatan.

Anda perlu menunggu beberapa minit hingga bahan pengilat yang melekat pada bahagian disapukan itu bertukar warna keputihan sebelum ia digosok untuk kali kedua.

Panduan paling penting adalah jangan menggunakan bahan pengilat di bawah pancaran matahari terik kerana ia menimbulkan hasil yang kurang memuaskan.

Selain itu, tidak dapat dinafikan ramai pengguna tertipu membeli bahan pengilat dan syampu pencuci yang berkualiti rendah.

Bahan yang bermutu rendah mempunyai kesan sampingan seperti merosakkan warna dan menyebabkan permukaan bercalar.

Beberapa bahagian dalam terutama besi atau bingkai tingkap, tepi lantai dan rangka pintu, turut mempunyai bahagian yang bercat.

Bahagian itu juga perlu dibersihkan kerana sesiku pada tetingkat dan tepi pintu selalunya menjadi perangkap air atau habuk dan jika dibiarkan ia boleh meninggalkan kesan karat yang teruk.

Pembersihan optimum pastinya merangkumi seluruh komponen dalaman dan luaran kereta, termasuk enjin.

Bagaimanapun, dinasihatkan supaya sentiasa berhatihati jika mahu membersihkan bahagian enjin kerana cukup sensitif dengan air terutama akibat pancutan air yang kuat.
-metro

No comments:

Post a Comment