PENAJA

Thursday, 9 August 2012

episod 17 - 22 : kes Mona Fandey


AKU sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin ketika membela diri pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Dalam keterangannya, tertuduh pertama ini memberitahu dia tidak berniat membunuh Datuk Mazlan Idris. Tapi kenapa dia bunuh juga. Adakah dia kesal dengan perbuatannya. Aku tak mahu ceritakan, tapi baca cerita ini sampai habis.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bahl ketika menyoal Juraimi ingin tahu apa yang berlaku seminggu selepas pembunuhaan Datuk Mazlan.

JURAIMI: Sepupu Datuk Mazlan datang ke rumah itu (tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub)?

Episode XVIII "Penyesalan Juraimi"

AKU sambung lagi keterangan membela diri Mohd Juraimi Husin di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Dia disoal peguambelanya Karam Singh Bahl dalam perbicaraan kes membunuh Datuk Mazlan Idris. Salam keterangan kali ini dia menceritakan perasaannya ketika melakukan pembunuhan terhadap Mazlan Pendekkan cerita kau orang bacalah keterangannya.

KARAM: Sepanjang tinggal dengan Mona selama satu tahun lapan bulan, adakah Juraimi tidak teringat untuk pulang ke kampung?

JURAIMI: Tidak.

KARAM: Tolong cerita dengan mahkamah, mengapa tak balik?

JURAIMI: Ikut hati nak balik, tapi tak berdaya hendak balik kerana Affandi control (kawal) semua. Dia tak kasi (beri) saya balik, saya nak telefon kampung pun tak kasi. Saya ikut arahan dia, dia tak kasi balik, saya tak baliklah.

KARAM: Apakah hubungan Datuk Mazlan dengan Mona dan Affandi. Apa istimewanya mereka hingga Datuk Mazlan sanggup berjumpa mereka?

JURAIMI: Datuk jumpa Affandi supaya dia (Mazlan) dijadikan Menteri.

KARAM: Mengapa hendak jumpa Affandi jadi Menteri, dia bukan orang politik?

JURAIMI: Affandi dan Mona memang bukan orang politik, tapi dia seorang bomoh.

KARAM: Bagaimana Juraimi tahu?

JURAIMI: Saya tahu, Affandi ada satu bilik. Dalam bilik itu ada banyak barang pemujaan.

KARAM: Di mana bilik itu?

JURAIMI: Di setiap rumah yang Affandi dan Mona tinggal, ada bilik pemujaan.

KARAM: Bagaimana, Juraimi tahu?

JURAIMI: Masa itu di Kijal, Terengganu, dia ada ubatkan orang sakit.

KARAM: Adakah Juraimi seorang bomoh.

JURAIMI: Saya tidak.

KARAM: Ada belajar jadi bomoh?

JURAIMI: Ada juga dia ajar sikit-sikit jadi bomoh.

KARAM: Cara macam mana?

JURAIMI: Macam pemujaan. Ada ayat yang mesti dihafal.

KARAM: Ada Juraimi tahu cara mandi bunga?

JURAIMI: Cara mandi bunga dan bacaannya saya tak tahu.

KARAM: Cara mandi ubat?

JURAIMI: Itu pun saya tak tahu.

KARAM: Ada Mona dan Affandi berbincang dengan Juraimi apa yang hendak dibuat terhadap Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bincang atau beritahu?

JURAIMI: Beritahu.

KARAM: Apa niat mereka terhadap Datuk Mazlan?

JURAIMI: Mereka beritahu: Tunggu Datuk datang bawa duit, baru kita bunuh.

KARAM: Ada niat untuk tarik daripada terbabit dengan rancangan itu?

JURAIMI: Ada, tapi tak berdaya.

(Mona yang duduk bersebelahan Affandi di kandang tertuduh ketawa dan berbisik sesuatu kepada suaminya).

KARAM: Ada niat nak bunuh Datuk Mazlan?

JURAIMI: Saya memang tiada niat nak bunuh Datuk kerana saya dengan Datuk biasa saja.

KARAM: Jika pada hari kejadian, kamu seorang diri tanpa Mona dan Affandi ada di situ, adakah kamu akan bunuh Datuk Mazlan?

JURAIMI: Kemungkinan besar tidak.

KARAM: Apa yang menyebabkan Juraimi lakukan pembunuhan itu?

JURAIMI: Saya kira, tidak ada perasaan, hilang akal.

(Mona dan Affandi sekali lagi tersenyum mendengar ayat yang terkeluar dari mulut Juraimi itu. Ikmal Hisham (seorang lagi peguambela Juraimi) kemudian bangun dan menyoal Juraimi).

IKMAL: Kamu kata tadi, sejak ikut Mona dan Affandi ada niat untuk melarikan diri, tapi tak berdaya. Mengapa?

JURAIMI: Ada terfikir untuk balik ke kampung, tapi tak terdaya. Affandi halang saya.

IKMAL: Halang macam mana?

JURAIMI: Affandi bagi tahu, tak boleh balik, sebab takut semua rahsia terbongkar. Semua rahsia ada dalam tangan saya.

IKMAL: Ada peluang untuk lari?

JURAIMI: Memang ada.

IKMAL: Mengapa tak lari?

JURAIMI: Apabila nak lari, nak melangkah, macam ada orang halang.

(Mona dan Affandi yang berdiam diri kelihatan berbisik-bisik dan kemudian kedua-duanya ketawa).

IKMAL: Ketika ditahan di Balai Polis Raub, Juraimi ada disoal-siasat.

JURAIMI: Memang saya tak tahu apa yang berlaku. Mereka (polis) pukul macam mana pun saya tak tahu.

IKMAL: Adakah Juraimi mahu melindungi Mona dan Affandi atau tak tahu?

JURAIMI: Memang benar saya tak tahu, bukan untuk melindungi mereka.

IKMAL: Juraimi ada kata pada malam menjelang 22 Julai 1993 selepas Affandi memegang bahu baru teringat semua. Mengapa?

JURAIMI: Selepas malam menjelang 22 Julai 1993 dan selepas Affandi pegang bahu, baru saya boleh ceritakan segalanya. Baru saya tersedar dan boleh ceritakan. Perasaan saya dah seperti biasa, dah normal seperti apa yang saya ceritakan di mahkamah sekarang.

IKMAL: Juraimi tak menyesal dengan perbuatan itu (pembunuhan)?

JURAIMI: Menyesal memang ada.

IKMAL: Menyesal macam mana?

JURAIMI: Menyesal bunuh orang.

Dalam siri ke-19 aku akan ceritakan kehandalan pasangan bomoh ini buat tangkal, azimat dan tongkat sakti. Apa yang aku hairan ada orang percaya dan beli dengan harga mahal.

Ish ish ish....
susah nak percaya. 

Episode XIX "Madziana"

NAMPAKNYA cerita aku ni tak boleh ditutup pada siri ke-20. Ada banyak lagi yang engkau orang nak tahu. Yahlah, tu baru cerita Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes oembunuhan Datuk Mazlan Idris. Engkau orang nak tahu juga cerita Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey - tertuduh kedua dan ketiga. Mesti mereka ada cerita sendiri untuk membela diri. Aku tak boleh ceritakan panjang lebar. Hanya yang relevan - kata orang Melayu.

Paling penting cerita pada malam pembunuhan itu. Inilah keterangan Affandi. Katanya, sebanyak 21 lilin menerangi Datuk Mazlan Idris ketika dibunuh sewaktu upacara mandi bunga di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993.

Lilin itu dipasang oleh Mona Fandey di bilik air, tempat bekas Adun Batu Talam itu mati ditetak dengan kapak oleh Juraimi.

Affandi berkata lilin itu dipasang sebelum dia memadamkan lampu di bilik itu.

"Pemasangan lilin itu adalah amalan biasa dalam upacara mandi bunga yang saya amalkan," katanya di perbicaraan kes bunuh Mazlan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Kes ini berlarutan hingga awal 1995.

Menurutnya, dia nampak Juraimi dengan jelas menetak leher Mazlan dengan kapak sebanyak dua kali dalam sinaran cahaya lilin.

Bagaimanpun, katanya, dia dan Mona tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan kerana tergamam. Affandi berkata, dia hanya nampak kapak pada halkum Mazlan ketika itu dan tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya tiba-tiba mendengar bunyi `rupp' dan kapak sudah berada pada halkum Datuk Mazlan.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu itu bunyi apa dan tidak pasti dari mana ia datang," katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal.

Menjawab soalan Karam, Affandi berkata, dia tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan pada kali kedua kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia melihat Juraimi dalam keadaan seperti orang hilang pedoman.

Tertuduh kedua juga mengaku tidak memeriksa sama ada Mazlan hidup atau mati selepas Juraimi menetak leher bekas Adun Batu Talam itu.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia, Mona dan anaknya, Mazdiana, meninggalkan rumah itu selepas diarahkan oleh Juraimi supaya berbuat demikian.

Bagaimana keadaan Mazlan ketika ditetak. Nak tahu kena tunggu lagi. Aku sambung ceritanya. 

KARAM: Apa dia buat?

JURAIMI: Dia (sepupu Mazlan) ada cakap dengan saya dan bertanya adakah Datuk datang ke situ?

KARAM: Tahu siapa nama sepupu Datuk Mazlan itu?

JURAIMI: Namanya tidak tahu.

KARAM: Bagaimana Juraimi tahu dia sepupu Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dia yang perkenalkan dirinya.

KARAM: Apa Juraimi cakap pada dia?

JURAIMI: Saya jawab: Biasanya Datuk datang seminggu sekali, tapi dah dua minggu dia tak datang.

KARAM: Dia datang sebelah pagi atau petang?

JURAIMI: Pagi.

KARAM: Sebelah petang apa jadi?

JURAIMI: Petang itu, selepas sepupu Datuk balik, saya terus ambil kapak dan parang dan tanam.

KARAM: Masa itu Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan Mona (Maznah Ismail atau Mona Fandey) ada?

JURAIMI: Tiada, mereka ke Kuala Lumpur.

KARAM: Ada Affandi dan Mona balik ke rumah di Kampung Peruas?

JURAIMI: Ada pada 7 atau 8 hari bulan (Julai 1993).

KARAM: Adakah itu kali pertama mereka pulang ke rumah selepas kejadian itu?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Mereka datang seorang atau ada orang lain?

JURAIMI: Seorang itu Tengku Yahya (Abdullah, abang tiri Mona), seorang Cina (pemandu limosin, Tan Teck Seng) dan anak mereka (Mazdiana Affendy). Mereka kemudian masuk dalam rumah.

KARAM: Apa berlaku dalam rumah?

JURAIMI: Affandi terus masuk dalam bilik dia. Mona kemudian panggil saya dan kenalkan dengan Tengku Yahya. Selepas itu, Mona panggil saya ke belakang dan bagi duit. Mula-mula dia beri RM1,000. Kemudian Mona tanya:

"Ada orang datang ke?" Saya jawab: "Ada sepupu Datuk Mazlan." Selepas itu, Mona tanya: "Kau jawab apa?" Saya jawab: "Saya tak tahu dan kata mereka pergi KL." Selepas itu Mona tanya: "Mana kapak, parang dan pistol." Saya jawab: "Saya dah tanam." Kemudian Affandi keluar dari bilik dia dan bertanya kepada saya: "Berapa ibu (Mona) kasi (beri) duit berapa?" Selepas itu Affandi berkata kepada Mona: "Yang (Sayang, panggilan mesra Mona) beri lagi RM500." Selepas itu Mona kata: "RM500 untuk makan dan RM1,000 untuk beri makan itik."

KARAM: Adakah mereka tinggal di rumah itu pada hari itu?

JURAIMI: Mereka terus balik pada tengah hari itu.

KARAM: Kesemua lima orang?

JURAIMI: Semua lima orang.

KARAM: Juraimi tinggal seorang?

JURAIMI: Betul. Sebelum pergi Affandi ada kata pada saya. Dia kata: "Bapak nak ke KL. Bapak nak uruskan hand phone. Seminggu lagi bapak balik."

KARAM: Juraimi ada keluar rumah ketika tinggal seorang diri?

JURAIMI: Pada 12 hari bulan (12 Julai 1993), ketika saya keluar untuk beli makanan burung, saya bertemu sepupu Datuk Mazlan.

Dia tanya: "Affandi dah balik?" Saya jawab: "Belum." Sepupu Datuk Mazlan kemudian berkata lagi: "Saya ada jumpa bomoh di Kuantan. Dia (bomoh) kata Datuk ada bersama Affandi.

"Saya hendak jumpa Affandi untuk tengok di mana Datuk berada."

"Saya nak report (buat laporan) polis, nanti buat awak susah saja."

Selepas itu saya jawab: "Nak report, reportlah, saya tak kisah." Kemudian sepupu Datuk Mazlan kata: "Saya bagi tempoh, kalau Khamis atau Jumaat, Datuk tak balik, saya terpaksa report."

Saya terus ke kedai itu. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur pada hari itu juga.

KARAM: Ada Juraimi ke Kuala Lumpur?

JURAIMI: Ada, saya hendak cari Affandi di KL (Kuala Lumpur). Saya ke KL lebih kurang jam 3 petang pada 12 Julai 1993. Saya cari Affandi sampai jam 11 malam, tapi tak jumpa.

KARAM: Di mana cari Affandi?

JURAIMI: Di kawasan KL. Selepas 11 malam saya ke hotel...hotel apa. (berfikir) Tin Mine Hotel Hilton. Saya ke situ sebab kalau sebelah malam, Affandi biasanya ke situ. Pada 11 malam tak ada, saya ke Klang dan tidur di rumah kawan.

KARAM: Pada esoknya (13 Julai 1993), apa jadi?

JURAIMI: Pada esoknya, saya balik ke Raub direct (terus ke Raub).

Apabila saya balik ke rumah, saya tengok ada orang di rumah dalam satu kereta.

KARAM: Ada berapa orang dalam kereta itu?

JURAIMI: Tiga orang. Saya masuk saja, sepupu Datuk Mazlan pun bertanya: "Mana Datuk?" Saya jawab: "Tak tahu, saya baru balik cari Affandi di KL."

Baru saya hendak releks, sepupu Datuk Mazlan cakap: "Ini adik dia (Mazlan) baru sampai dari KL." Saya cakap: "Saya tak tahulah." Kemudian, ada satu land rover polis datang, tiga anggota polis terus masuk dalam kawasan halaman rumah. Anggota polis itu bertanya: "Mana Datuk pergi?" Saya jawab:

"Saya tak tahu." Anggota polis itu kemudian meminta IC (kad pengenalan) saya, dan saya pun beri IC.

Kemudian anggota polis itu berkata, tak apalah kita cerita dekat balai. Kami pun pergi ke Balai Polis Dong. Di balai, polis tanya lagi, mana Datuk? Saya cakap, tak tahu. Apabila sudah cerita, dia suruh balik kerana pegawai tak ada dan minta saya datang jam 7 malam. Saya balik lebih kurang 3.30 petang. Saya balik ke rumah dan beri makan itik dan pada masa itu sudah jam 7 malam lebih.

Saya kemudian mencari pondok telefon awam dan menelefon Balai Polis Dong memberitahu terlewat tapi anggota di situ memberitahu supaya saya datang juga.

Di Balai Polis Dong, ada seorang datuk Sarjan, namanya saya tak tahu.

(Karam kemudian memanggil Ketua Balai Polis Dong, Sarjan Masara Yuasap dan Juraimi mengecamnya). Dia (Masara) tanya mana Datuk, saya kata saya tak tahu. Kemudian dia menelefon Balai Polis Raub. Kemudian ada dua anggota polis datang dan bawa saya ke Balai Polis Raub. Dalam perjalanan ada seorang Sarjan berkata: "Tak apalah, kita buat kes dadah. "Saya tahu awak tak hisap dadah. Dari muka, saya tahu awak tak hisap dadah." Di Balai Polis Raub, saya masuk lokap. Di lokap, air kencing saya pun tak ambil.

KARAM: Masa di lokap Balai Polis Raub, ada Juraimi disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab: "Tak tahu. Saya main tak tahu aje."

KARAM: Berapa lama ditahan di Balai Polis Raub?

JURAIMI: Dari 13 hingga 23 Julai 1993. Mengenai kes dadah.

KARAM: Ketika ditahan di Balai Polis Raub, ada jumpa Affandi.

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bila jumpa?

JURAIMI: Di Balai Polis Raub, pada malam 21 Julai menjelang 22 Julai 1993, ada jumpa Affandi.

KARAM: Ada disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dalam lokap, saya bangun tidur dan Din Mamak (Detektif Lans Koperal Nordin Sadakathullah) ambil saya berjumpa Tuan Mahpop (Penolong Penguasa Mahpop Jaafar).

KARAM: Ada dia soal-siasat kamu?

JURAIMI: Mahpop tanya: "Mana kamu tahan Datuk Mazlan?"

KARAM: Apa jawabnya?

JURAIMI: Mahpop kata: "Saya tahu, semuanya. Affandi pun dah kena tangkap, Mona pun dah kena tangkap. Affandi pun dah ada kereta, Mona dah pakai barang kemas. Mereka mahu menganiaya awak. Baik awak cerita."

(Selepas memberi keterangan ini dan sementara menunggu soalan lanjut Karam, Juraimi memandang jam di dinding mahkamah berhampiran kandang saksi. Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 10.43 pagi. Juraimi tersenyum memberi sesuatu isyarat kepada Karam.)

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab tak tahu. Kemudian (bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah) Datuk Zaman Khan dan Takbir (Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd) masuk ke bilik.

Datuk Zaman Khan pun tanya: "Mana kau tahan Datuk Mazlan?" Saya jawab: "Saya pun tak tahu." Takbir kemudian terus menampar saya dan keluar dari bilik itu. Lima minit kemudian Takbir masuk balik bersama Affandi. Apabila berjumpa, Affandi berdiri di belakang saya dan memegang bahu dan
berkata: "Rong (Gondrong) ini bapak (Affandi). Kau ceritalah, bapak dah cerita segala-galanya.

"Ibu (Mona) pun, dah kena tangkap, adik pun dah kena tangkap. "Saya pun berdiam diri. Apabila Affandi keluar, baru saya teringat apa yang berlaku semuanya. Selepas itu, saya dan Affandi dibawa ke rumah di Ulu Dong pada malam itu juga (menjelang 22 Julai 1993).

(Ketika di rumah itu, polis ditunjukkan lubang, tempat jasad Mazlan serta pistol, kapak dan parang ditanam. Juraimi juga menunjukkan peluru yang dibuang dalam lubang tangki najis)

...kemudian..
...sambung lagi...

Episode XX "Bela Diri"

CERITA pasal Mona Fandey sepatutnya ditamatkan riwayatnya pada episod ini - 20. Tapi, atas permintaan engkau orang aku sambung lagi. Macam sinetron dan telenovela pulak Kali ini aku sambung lagi keterangan membela diri Mohd Affandi Abdul Rahman, tertuduh kedua perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris.

Dalam keterangannya, Affandi memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa darah terpancut ke atas dan percikannya kemudian membuak-buak dengan banyak ke kiri dan kanan ketika leher Datuk Mazlan Idris ditetak dua kali oleh Juraimi Husin pada malam 2 Julai 1993.

Affandi yang duduk di bahagian atas kepala Mazlan sambil meratakan air ke muka bekas Adun Batu Talam itu. Katanya, pada masa itu kepala Mazlan terkulai dalam besen air bunga pada tetakan kali kedua dan darah keluar dengan banyak.

Menurutnya, pada ketika itu dia tergamam dan tidak dapat menahan Juraimi daripada melakukan pembunuhan di bilik air rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub itu.

"Juraimi menetak dengan pantas, sekali tetak, terlekat pada halkum dan tetak sekali lagi.

"Saya tidak nampak Juraimi datang dan hanya nampak kapak sudah berada di halkum Datuk Mazlan," katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi Husin, Ikmal Hisam Idris.

Affandi berkata sebagai bomoh dan guru silat, dia tidak mampu menahan Juraimi daripada melakukan perkara itu kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia tidak nampak Juraimi datang ke bilik itu pada masa kejadian.

Tertuduh kedua juga berkata, dia nampak kapak yang digunakan Juraimi kena pada halkum Mazlan dan bukan tempat lain, walaupun gambar jasad Mazlan yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan bekas tetakan di bawah dagu mangsa.

Affandi masih mahu menggunakan perkataan halkum dan tidak bersetuju dengan Ikmal bahawa bahagian yang putus itu adalah leher.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian terpaksa menerangkan makna halkum dan leher dengan menunjukkan lehernya sendiri untuk memastikan bahagian mana yang dimaksudkan oleh tertuduh kedua.

Bagaimanapun, Affandi tetap mengatakan halkum walaupun dua keping gambar yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan tetakan itu di bawah dagu. Bagaimana keadaan Datuk Mazlan ketika mandi bunga. Affandi menerangkan badan melentang dengan tengkuk dialas dengan batu dan di bawah kepala pula diletakkan besen berisi air serta senjata seperti keris dan kapak kecil. Ini adalah antara peramalan mandi bunga bomoh Affandi dan cara itu juga dibuat ketika dia menjalankan upacara mandi bunga ke atas Datuk Mazlan.

Affandi berkata, mengikut amalannya dia tidak menjalankan upacara mandi bunga dengan orang yang akan dimandikan duduk di atas bangku atau lantai.

Katanya, dia tidak tahu cara orang lain mandi bunga, tetapi mengikut caranya orang yang hendak dimandikan perlu berkedudukan badan melentang dengan tengkok dialas dengan batu.

Affandi berkata demikian ketika menjawab soalan balas Ikmal Hisam.

Ikmal: Encik Affandi, bolehkah mandi bunga dilakukan secara duduk?

Affandi: Cara orang lain, saya tak tahu, cara saya macam itu.

Ikmal: Seseorang yang hendak mandi bunga, boleh duduk atas kerusi atau lantai dan dijirus ke atasnya.

Affandi: Itu bukan cara saya.

Mengikut Ikmal, cara yang diamalkan oleh Affandi dengan kedudukan Mazlan seperti itu pada malam itu bagi memudahkan leher Mazlan dipancung. Bagaimanapun, Affandi menafikannya dengan berkata dengan kedudukan begitu akan memudahkannya mandikan Mazlan.

Bomoh itu dalam keterangan sebelum ini juga berkata Juraimi mematuhi arahannya supaya mengangkat besen dan membuang air di dalamnya pada malam itu.

Katanya, Juraimi juga berkeadaan normal pada ketika itu. Affandi juga tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak nampak Juraimi datang menetak leher Mazlan pada malam itu ketika ditanya sekali lagi oleh Ikmal.

Episode XXI "Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat"

CERITA perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 aku teruskan lagi. Kali ini aku nak bawakan keterangan mengenai tongkat sakti dan songkok hikmat.

Ada bertanya apa pentingnya kedua-dua benda itu dalam kes ini. Tentulah penting. Jika tidak, takkan dibawa ke mahkamah. Aku malas nak cerita panjang lebar pasal benda itu. Kalau dah cerita tak syok nak baca nanti.

Tongkat sakti dan songkok hikmat yang diambil dari rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, tempat jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris ditemui pada Julai 1994, tidak boleh dipisahkan. Tongkat dan songkok yang ditemui di rumah pasangan bomoh, Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey, yang dikatakan bernilai lebih RM2.5 juta itu mesti dipakai bersama. Perkara itu diberitahu oleh peguambela, Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, ketika memeriksa balas saksi pendakwa ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar. Ghulam Mustaffa juga berkata, tongkat yang kononnya milik Presiden Sukarno itu dibawa dari Indonesia. Tongkat hitam yang panjangnya kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak serta songkok hitam lipat itu kemudian dikemukakan di mahkamah dan diterima sebagai barang kes. Mahpop dalam keterangannya berkata, tongkat dan songkok itu diambil oleh Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Ahmad di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua-dua barang itu ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan pada 19 Julai 1993. "Saya mendengar cerita tongkat dan songkok itu telah dijual kepada Allahyarham Datuk Mazlan dan saya tidak tahu nilainya," katanya. Ghulam Mustaffa ketika memeriksa balas Mahpop mengenai tongkat dan songkok itu antara lain bertanyakan soalan berikut:

Ghulam: Pada 19 Julai 1993, ketika memeriksa rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, adakah Encik Mahpop menjumpai satu tongkat. (Ghulam kemudian meminta izin Hakim Mokhtar Sidin untuk bertanya sesuatu kepada Affandi). Tongkat itu panjangnya kira-kira satu meter, kedua-dua hujungnya disalut perak.

Mahpop: Saya ada nampak.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, bahawa tongkat itu...
(Ghulam terhenti seketika untuk memikirkan perkataan sesuaiuntuk menunjukkan kepentingan tongkat itu. Pada ketika ini, hakim mencelah).

Hakim: Tongkat hikmat...

Ghulam: Satu tongkat sakti yang tidak dapat dimiliki dengan wang ringgit. Bilakah Takbir ambil tongkat itu? Mahpop: Pada 22 Julai 1993.

Ghulam: Tongkat sakti... (belum sempat Ghulam meneruskan ayat itu hakim sekali lagi mencelah).

Hakim: Saya catatkan tongkat saja, saktinya sudah hilang.

Ghulam: Ada satu lagi barang berharga. Adakah Encik Mahpop nampak satu songkok?

Mahpop: Ada.

Ghulam: Apa warnanya.

Mahpop: Hitam.

Ghulam: Songkok itu berlipat?

Mahpop: Jenis lipat.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, itu adalah songkok hikmat dan songkok sakti seperti yang dikatakan oleh hakim?

Hakim: Saya tak kata.

Mahpop: Bagi saya, ia adalah songkok biasa. Sehingga hari ini, saya tidak tahu hikmatnya. Begitu juga dengan tongkat itu.

Ghulam: Tadi kata tahu.

Mahpop: Saya hanya dengar cerita.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, tongkat dan songkok itu tidak boleh dipisahkan. Mesti pakai bersama-sama.

Mahpop: Ya.

Ghulam: Adakah Encik Mahpop pegang dan belek tongkat itu?

Mahpop: Ada, tapi biasa saja. Tongkat sakti itu juga dikatakan mengandungi dua besi hikmat. Besi kuning dan aji dalam tongkat hitam sepanjang kira-kira
satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak itu juga dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Ghulam Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua besi hikmat itu yang disimpan di hulu tongkat itu sudah hilang.

"Tongkat ini sudah dibuka," katanya sambil membuka dan menunjukkan hulu tongkat itu.

Peguambela itu memberitahu demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Takbir juga menafikan kenyataan Ghulam bahawa dia telah berbuat sesuatu kepada tongkat itu, termasuk membuka hulu dan melihat isi kandungannya.

Bagaimanapun, pegawai polis itu mengaku ada membelek-belek songkok hikmat hitam yang ditemui di tempat yang sama, tetapi tidak nampak ayat-ayat ikal seperti yang dinyatakan oleh Ghulam Mustaffa.

Ditanya oleh Ghulam Mustaffa sama ada dia mengetahui keistimewaan tongkat dan songkok itu katanya: "Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan pada tongkat dan songkok itu."

Takbir juga berkata, dia diberitahu oleh Penolong Penguasa Mahpop Jaafar, bahawa tongkat itu milik Mazlan.

Pegawai polis itu mengambil tongkat dan songkok berkenaan pada 22 Julai 1993 selepas diberitahu mengenainya oleh tertuduh kedua.

Kedua-dua barang itu kemudian disimpan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga diserahkan kepada Mahpop pada 11 Ogos 1993. Cerita ini tak habis lagi. dalam siri seterusnya akan dipaparkan
gambar Datuk Mazlan

Episode XXII "Allahyarham Datuk Mazlan"

RAMAI yang ingin menetap wajah Datuk Mazlan Idris (gambar bawah). Puas mencarinya. Dalam internet tak jumpa. Nasib baik dalam keratan akhbar lama ada satu saja gambarnya. Itu pun hitam putih. Teringat album Hitam Putih Kehidupan yang dirip dan sudah diupkan dalam laman sezali.



Oklah aku sambung lagi cerita pasal tongkat dan songkok yang dikatakan mempunyai sakti. Pasti ada bertanya mengapa kedua-dua benda itu dikatakan begitu berharga. Tertuduh kedua kes pembunuhan Datuk Mazlan, Mohd Affandi Abdul Rahman memperolehi tongkat dan songkok yang dikatakan peninggalan Presiden Sukarno, Indonesia kerana rapat dengan ahli pondok dan kiai di Jawa Barat, Indonesia. Menurutnya, dia juga pemegang amanah Dana Aliran Wang Bantuan di tiga pesantren (pondok) di kawasan itu.

"Saya selalu membantu pesantren. Dari situlah saya mencari wang membantu pesantren seperti membina atau membesarkan musolah (masjid) serta untuk kegunaan pasentren. "Saya juga murid kiai di tiga-tiga pesantren," katanya.

Affandi berkata, dia memberitahu demikian ketika Datuk Mazlan ke rumahnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada 1993 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan songkok dan tongkat itu.

Menurutnya, dia juga memberitahu Mazlan, harga songkok dan tongkat serta azimat itu ialah RM2.5 juta. Katanya, barang-barang itu pernah ditawarkan kepada seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Hishamuddin Tengku Laksaman Nasir tetapi tiada jawapan mengenainya.

"Saya juga memberitahu Datuk Mazlan, dia perlu membayar cengkeram RM500,000 jika mahu barang-barang itu," katanya.

Affandi berkata, Mazlan hendak sangat barang-barang itu kerana telah lama mendengar mengenai keberkesanannya.

Katanya, Mazlan mempercayai akan keistimewaan azimat, tongkat dan songkok itu selepas mencubanya sendiri. itu cerita songkok dan tongkat berharga RM2.5 juta. Orang banyak duit aje yang mampu membeli benda itu.
Kalau tongkat dan songkok - kena beli kedua-duanya - beli satu, ilmu tak jadi - mahal, pasangan bomoh Affandi dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey ada jual azimat. Yang ini taklah sampai juta-juta ringgit tapi, hampir RM10,000 juga.

Dalam keteranganny, Affandi memberitahu mahkamah harganya RM7,000 saja. Itulah harga yang diletakkan oleh mereka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan satu azimat. Harga itu juga dikenakan oleh mereka untuk memasukkan susuk emas kepada sesiapa yang menghendakinya. Affandi berkata, lebih 700 orang kebanyakannya orang politik `membeli' azimat itu daripadanya ketika mereka tinggal di Teluk Gong, Klang pada 1991.

Menurutnya, azimat itu antara lain boleh menjadikan orang yang memilikinya kebal dan tidak lut dengan senjata tajam. Selain itu, tertuduh kedua mengenakan bayaran mengikut umur kepada mereka yang ingin belajar silat.

"Jika seseorang itu berusia 17 tahun bayarannya ialah RM17, begitulah jika berusia 30 tahun, bayarannya adalah RM30. "Saya mempunyai lebih 5,000 ahli silat sejak tinggal di Kampung Perajurit hingga Kampung Nelayan, Teluk
Gong," katanya.

Affandi juga berkata, ketika di Teluk Gong dia membuka tiga gelanggang silat iaitu di Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Nelayan.

Menurutnya, tertuduh pertama, Juraimi Husin akan mengajar silat ketika ketiadaannya.

Affandi mengakui dia dan isteri seorang bomoh ketika tinggal di Teluk Gong.

Katanya, ketika tinggal di Kampung Nelayan, dia mengajar Juraimi membuat minyak burung serta mengenali bahan membuat ubat.

Affandi berkata, dia juga ada membeli rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menamatkan ilmu `kullhu' yang dituntut oleh Juraimi.

Affandi memberitahu mahkamah dengan mengamalkan lmu `kullhu', Juraimi menjadi kebal hingga boleh makan kaca, kalis asid, kalis senjata dan boleh menidurkan benda bernyawa. Datuk Mazlan dikatakan memiliki tongkat sakti dan songkok hikmat, tetapi mengapa boleh cedera dan mati dengan kapak?

No comments:

Post a Comment