PENAJA

Thursday, 9 August 2012

mona fandey episod 1 hingga 3




"Mona Fandey"Episode I
AKU pernah melihat wajahnya di kaca tv pada sekitar awal 1990-an. Apa yang aku tahu dia seorang penyanyi pada masa itu.

Tapi yang aku pelik mengapa orang yang tak boleh menyanyi boleh bikin album. Bukan itu saja lagunya yang hingga kini aku sendiri tak boleh ingat masuk dalam Muzik Muzik Muzik terbitan TV3. Minggu pertama masuk dah terkeluar. Iras dan raut wajahnya macam 'jantan' memang aku tak boleh lupakan. Mungkin ramai lagi yang tak perasan dia sebagai penyanyi.

Tiba-tiba pada 1993 - namanya meletup dan menjadi sebutan ramai. Bukan kerana lagunya menduduki carta lagu atau menang pertandingan menyanyi - tetapi dikaitkan dengan pembunuhan ngeri. Kalau sebut kes Mona Fandey dah ramai yang tahu siapa wanita ini. Nama asalnya Maznah Ismail. Dia bersama suaminya dan pembantu mereka ditahan kerana dituduh membunuh Datuk Mazlan Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang antara pukul 10 malam - tengah malam 13 Julai 1993 di sebuah rumah di Kampung Peruas Ulu Dong, Raub, Pahang.

Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman, dan pembantu mereka Juraimi Hussin telah dibicara dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Rayuan mereka kepada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang telah ditolak.

Mereka dihukum gantung hingga mati pada 6 hingga 6:30 pagi Jumaat 2 November 2001. Aku sebut pasal Mona Fandey kerana pernah 'bersama' mereka hampir setahun. Hari-hari tengok muka mereka.

Episode II "Mona's Background"


NAMA sebenarnya Maznah binti Ismail. Asalnya dari Perlis. Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang ketika kesnya dibicarakan pada 1994, dia turut memperkenalkan dirinya sebagai Mona Fandey.

Mona juga memberitahu mahkamah bahawa dia seorang artis, ahli perniagaan dan bomoh serta bekas ketua cawangan sebuah parti politik. Gaya dia memberi keterangan memang cukup dramatik - ada kala serius,menangis dan ketawa. Aku masih ingat bagaimana Mona Fandey menyanyi dalam mahkamah ketika memberitahu hakim bahawa dia seorang artis. Lagunya Menangis Tak Berair Mata yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah. Nasib baik intronya saja. Kalau tidak...

Tapi aku hanya mampu tersenyum dan tiada siapa yang berani ketawa. Bukan kerana takut ditegur hakim, tetapi bimbang Mona melenting. Aku masih ingat ketika diberi tugasan membuat liputan kes Mona. Perasaan bercampur baur. Suka pun ada, takut pun ada. Apa tidaknya, pasangan bomoh suami isteri ini dikatakan handal. Boleh 'buat' orang dengan merenung saja.

Sebab tu, masa buat liputan kes ini, aku banyak berzikir dan membca ayat suci al-Quran sebagai pendinding. Kata orang berjaga-jaga, akukan bakal menghadap mereka setiap hari. Satu lagi pesanan jangan tenung muka mereka. Kalau mereka tenung, jangan pandang balik. Tapi kadang kala kena tengok juga mereka sebab kandang orang kena tuduh dan tempat duduk media bertentangan. Bukan jauh pun, Adalah dalam lima kaki.

Aku kena tengok juga apa dia buat dalam kandang. Kena tulis tu sebab dalam mahkamah tak dibenarkan rakam gambar. Lama kelamaan sudah biasa. Aku dan rakan lain tak 'takut' dengan Mona. Alhamdullillah, tiada perkara buruk berlaku. Malah, kami 'berkawan' baik pula dengan mereka.

Tapi dalam percaya tak percaya - banyak peristiwa aneh berlaku ketika kes ini. Yang ini tak dilaporkan media. Ada yang sakit perut, kemalangan jalan raya, kereta rosak ketika hendak pergi ke tempat kejadian hingga peguambela dimasukkan ke hospital. Berbalik pasal Mona Fandey, aku pun tak tahu macam mana dia dapat nama glamour ni. Kalau ada kebenaran masa tu, hendak juga aku temu ramah dia.

Aku ingat Mona tu nama mesra dia. Fandey tu kemungkinan panggilan pendek suami dia, Mohd Affendy Abdul Rahman. Gabungan itu, maka jadilah nama komersial - Mona Fandey.

Nama Mona Fandey sebenarnya berada di persada seni pada 1987 dengan kemunculan album - Diana I. Aku sendiri pun tak pernah tengok album tu.
Album sembilan lagu ini terbitan syarikatnya MFJ Productions Sdn Bhd dan pengedarnya Warnada Music. Mona mempunyai strategi sendiri untuk melariskan album ini dengan mengadakan kuiz yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000. Aku rasa artis sekarang masih boleh pakai strategi ini. Tapi kalau tawar duit pun, kalau lagu tak menyengat orang tak akan beli. Buktinya album Mona ni.

Nak tahu soalan kuiz tu. Berapakah usia Mona ketika itu. Jawapan pilihan 27, 29 dan 31.

Soalan lain, tahun berapakah Mona mendapat gelaran Ratu Trengkas Melayu Malaysia - A. 60-an, B. 70-an dan C. 80-an. Di negeri manakah Mona dilahirkan - A. Kelantan, B. Perak dan C. Perlis.

Soalan lain - Berapa hari bulankah album pertama Mona dikeluarkan. A. 15.6.1987, B. 13.6.1987 dan C. 20.6.1987.

Soalan paling lawak. Siapakah nama suami Mona. A. Mohd Affandi Ab Rahman, B. Afandi Rahman dan C. Afendi Rahman. Kalau zaman ini aku rasa sesuai untuk kuiz album Anita Sarawak. Soalannya siapakah nama suami Kak Nita.

Album ini hanya meletup selepas kes Mona mendapat perhatian ramai. Bukan apa - orang nak dengar juga macam mana suara Mona ni. Pada 1991, Mona menggemparkan dunia seni tanah air apabila keluar berita dengan tajuk - Artis miliki pulau persendirian. Dalam laporan itu Mona mendakwa membeli sebuah pulau di selatan thailand. Fuh kayanya dia. Laporan itu menyebut Mona Fandey dan suaminya, Affendy Abdul Rahman, menjadi artis pertama Malaysia yang memiliki sebuah pulau persendirian seluas 4,800 hektar yang hendak dimajukan sebagai pusat peranginan terbesar di rantau ini.

Mona dilaporkan membeli Pulau Oaks berhampiran Pulau Langkawi, Phuket dan Pattaya, dengan harga RM5.8 juta pada 1990.

Mona juga mendakwa gemar mengumpul kereta sehingga beliau dan suaminya memiliki lima BMW dari siri 3 hingga 7, Honda Prelude, Mercedes Benz, Jaguar, Trooper dan beberapa wagon.

Episode III "fakta kes"

TARIKH 12 September 1994 - tidak mungkin dapat aku dilupakan dalam hidup ini. Bukan apa, aku membuat liputan kes paling sensasi pada abad ke-20. Pada hari itu di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang, pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey, ketika itu berusia 38 tahun dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman, 37, serta pembantu mereka Juraimi Husin, 24, mula dibicarakan.

Mereka bertiga menghadapi tuduhan membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Allahyarham Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Perusa, Ulu Dong, Raub, diantara jam 11 malam 2 Julai hingga 9.30 malam 13 Julai 1993. Ketiga-tiganya dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahannya.

Kes ini juga mempunyai sejarah tersendiri apabila menjadi perbicaraan terakhir menggunakan khidmat juri di Malaysia. Selepas itu sistem juri dalam membuat keputusan perbicaraan dihapuskan.

Kes yang pada awalnya boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan berlarutan hingga sembilan bulan. Kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin. Mohd Affendy dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu, manakala Mona di Penjara Kajang, sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh selepas lapan bulan Hakim Mahkamah Tengah Temerloh, Jalaludin Saleh yang bertindak sebagai majistret dalam siasatan awal kes berkenaan, memerintahkan supaya kes itu dibicara di Mahkamah Tinggi pada 18 Disember 1993. Kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas mendapati keterangan pendakwa mencukupi untuk mendakwa mereka bertiga terhadap tuduhan dengan niat bersama membunuh Mazlan.

Siasatan awal kes itu dijalankan selama 17 hari di Mahkamah Majistret Raub, mulai 26 Oktober 1993. Pendakwaraya hanya memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan dalam itu dan menawarkan 86 saksi lain kepada penguambela tertuduh.

Dalam siasatan awal juga 295 barang kes, termasuk pelbagai jenis senjata serta barang kemas, dikemukakan kepada mahkamah. Dalam siasatan awal, Mona dan Nor Affendy dibela oleh Gulam Mustapha Nadar Ali Khan sementara Juraimi pula diwakili R V Lingam. Mayat Allahyarham Mazlan dijumpai dalam keadaan terpotong kepada 18 bahagian, tertanam di bawah sebuah stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, pada 22 Julai 1993.

Kali terakhir Allahyarham Mazlan dilihat ialah pada jam 9.30 malam 2 Julai 1993. Laporan mengenai kehilangan Mazlan dibuat di Balai Polis Raub pada 18 Julai 1993 oleh bekas Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Zuki Kamaluddin, selepas Allahyarham tidak muncul dalam beberapa majlis rasmi di Pahang, sejak 3 Julai 1993.

Pasangan suami isteri itu ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, dekat Kuala Lumpur pada 20 Julai 1993 manakala Juraimi ditangkap tiga hari selepas itu.

- bersambung


1 comment:

  1. Great story. Contact me for happy ending...
    siakbin@yahoo.co.uk
    shleow911@hotmail.com
    kennyleow@theblacksheepgroup.com.my
    calvinleow@theblacksheepgroup.com.my
    +60125155122
    +60125248936

    ReplyDelete