PENAJA

Thursday, 9 August 2012

mona fandey episod 4 - 6 : kecantikan mona jadi perhatian


Hari pertama (12.9.1994) Mona Fandey dibawa ke mahkamah

PASANGAN bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin tenang ketika tuduhan terhadap mereka dibacakan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada hari pertama perbicaraan - 12 September 1994.

Aku dapat melihat riak wajah mereka dengan jelas dari tempat duduk media. Pada waktu tuduhan dibacakan aku mesti tengok reaksi mereka untuk dilaporkan dalam akhbar. Mereka memang 'cool' ketika itu. Lagipun, itu baru tuduhan sehingga mahkamah memutuskan mereka bersalah atau tidak.

Mereka yang menghadapi tuduhan pindaan membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Datuk Idros @ Mazlan Idris, Julai tahun lalu, faham dengan tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, M Muthualagu dan mahu dibicarakan.

(Pindaan dibuat ke atas tarikh pembunuhan iaitu dari di antara jam 11malam 2 Julai 1993 hingga 13 Julai 1993 kepada di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993).



Juraimi adalah tertuduh pertama perbicaraan itu, Affendy (tertuduh kedua) dan Mona (tertuduh ketiga).

Mona dan Affendy yang berdiri bersebelahan ketika tuduhan itu dibaca bercakap sesama sendiri selepas tuduhan dibaca. Juraimi pula hanya berdiam dan memandang ke arah peguambelanya.

Dalam perbicaraan itu, Mona dan Affendy diwakili oleh Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan, sementara Juraimi pula oleh Karam Singh Bahl dengan dibantu Ikmal Hisam Idris.

Affendi masuk ke mahkamah

Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam dengan dibantu Timbalan Pendakwaraya AC Fernandis dan Saiful Edris Zainuddin pula bertindak sebagai pendakwaraya dalam perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin.

Mokhtar juga menetapkan perbicaraan dijalankan terus menerus dari jam 9 pagi hingga 2 petang serta memperuntukkan waktu rehat tidak lebih 15 minit.



Peraturan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan perbicaraan. Memang mencabar membuat liputan kes ini. Aku dan seorang lagi wartawan kena buat transkrip percakapan dalam mahkamah. Kadang-kadang ada juga perkataan yang 'miss' kerana percakapan mereka kurang jelas. Dalam hal ini, kalau tak minta bantuan rakan media lain, aku merujuk pada hakim, pendakwa raya atau peguam bela. Tapi ada kalanya kena 'marah' juga dengan hakim. Ada kalanya pendakwa raya dan peguam bela pinjam nota aku. Jurami keluar dari trak polis Tapi, apapun aku cukup seronok membuat liputan kes ini. Aku tumpang bangga menjadi - part of the history.

Macam aku kata tadi perbicaraan ini cukup mencabar pada semua pihak. Semua orang mahukan perbicaraan berjalan lancar. Hakim Datuk Mokhtar Sidin beberapa kali menegur pihak pendakwaraya dan peguambela supaya tidak membazir masa dan memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Berbalik pasal Mona Fandey ada 'member' (Multiply) bertanya cantik ke si Mona tu. Entahlah...

Episode V "Peribadi Mona"


CANTIK ke si Mona Fandey? Persoalan itu sukar untuk dijawab. Pada aku cantik atau tidak terpulang kepada mata orang yang memandangnya. Tapi apapun, Maznah Ismail atau Mona Fandey yang muncul kali pertama di khalayak ramai selepas lebih lapan bulan - pada 12 September 1994 - memang berbeza dengan penampilannya sebelum itu. Pada mata aku, dia pada masa itu kelihatan semakin cantik dan seksi.

Mona tidak kelihatan seperti umurnya yang menjangkau hampir 40 tahun pada waktu itu. Ada yang kata Mona bukan 38 tahun, tetapi sebenarnya lebih 50 tahun. Tertuduh ketiga kes itu memang mendapat perhatian ramai ketika tiba di mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang - tempat perbicaraan kesnya.

Malah, ketika dia keluar mahkamah untuk menaiki trak, orang ramai yang berdiri di luar pagar mahkamah berteriak: "Mona makin lawa! Mona makin lawa!"

Mona hanya membalas dengan senyuman berikutan pujian orang ramai itu. Beberapa anggota polis, saksi dan wakil media massa juga berpendapat Mona semakin anggun dan berseri-seri. Mona pada hari itu mengikat rambutnya dengan riben biru muda, menampakkan lehernya yang jinjang.

Dia yang memakai blaus merah berbintik hitam tanpa lengan serta seluar ketat berwarna hitam tersenyum lebar melihat reaksi orang ramai menjerit-jeritkan namanya.

Dia yang memakai rantai manik berwarna ungu gelap dan gelang tangan merah berjalur hitam kelihatan sihat dan riang berbanding tertuduh kedua, Mohd Affendy Abdul Rahman, dan Juraimi Husin (tertuduh pertama).

Aku juga masih ingat pada hari kedua perbicaraan Affendy turut memuji-muji kecantikan isterinya. Aku tengok Mona cukup gembira dengan pujian suaminya. Pada aku Mona ada aura tersendiri. Kata orang dia pakai 'pemanis'. Almaklumalah seorang bomoh. Tapi itu aku tak pasti. Itukan cakap-cakap orang. Mana boleh pakai. Tapi yang pasti dalam keterangan di mahkamah dia mengaku membuat pembedahan plastik. Yang ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi fakta dalam mahkamah.

Cerita pasal Mona bergaya pun menjadi perhatian ramai. Ada yang suka dan tidak kurang menyampah. Adatlah di dunia ini - tak semua orang suka pada apa yang kita buat walaupun tak ada kena mengena dengan mereka.

Dalam hal ini Mona berhak memakai pakaian yang disukainya pada perbicaraan. Bagaimanapun, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin, yang mendengarperbicaraan itu boleh meminta Mona berpakaian lebih sopan, jika berpendapat pakaian tertuduh itu tidak sesuai dengan suasana mahkamah. Alasannya Mona hanyalah tertuduh kes itu dan dan belum dibuktikan bersalah. Mona mempunyai kebebasan untuk memakai pakaian yang disukainya di samping berhias.

Mona hanya tahanan polis yang dipercayai terbabit dengan kes bunuh dan bukannya banduan yang perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penjara. Selagi tiada teguran daripada Mokhtar, selagi itu Mona boleh memakai pakaian yang diminatinya.

Apapun pada aku si Mona ni pandai menjaga imejnya. Pakaiannya walaupun tidak begitu banyak dia pandai memadankannya. Tetapi kadang kala'over' pula aku tengok. Ada ketikanya tidak kena tempat. Ada beberapa kali pakaiannya nampak seksi dan terpaksa ditutup dengan selendang dan jaket. Memang si Mona ni suka glamour kot.

Aku masih ingat apabila persoalan itu dikemukakan kepadanya sewaktu dia dibawa keluar dari lokap Balai Polis Temerloh ke Penjara Kajang selepas sehari didapati bersalah. Aku dapat bercakap dengannya - tak sampai seminit minit pun. Itu pun dah kira bagus kerana mengikut peraturan tidak boleh cakap pun dengan dia. Tapi berlaku secara spotan ketika aku mengikutinya dari belakang ketika dibawa ke trak.

Tak silap aku menegurnya wah glamourlah Mona. Tak sangka pula dia membalas dengan berkata : "Saya tak mahu glamour (melaram). Dari dulu pun saya tak glamour."

Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian antik, Mona berkata: "Yalah, takkan hendak telanjang pulak." Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. "Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya.

Tapi yang aku tahu ketika dibawa ke Penjara Kajang dia membawa lima beg plastik yang berisi pakaian dan aksesorinya. Ada lagi cerita pasal Mona cantik ni. Tunggu cerita Mona buat pembedahan plastik.

Episode VI "Kecantikan Mona"


CERITA Mona Fandey cantik, lawa, menawan, anggun dan seksi rupa-rupanya menjadi perhatian bukan saja dalam mahkamah, malah di luar sana. Aku sebenarnya pernah tengok gambar Mona ketika dia menjadi penyanyi. Aku tak mahulah komen buruk pasal orang lain. Lagipun siapalah aku nak komen orang tu cantik atau tidak. Aku bukannya pakar kecantikan, tapi sekadar wartawan cabuk. Nanti bebudak sekarang cakap cantik ke dia nak mengata orang. Tapi, hakikatnya Mona tidaklah semenawan ketika perbicaraan kesnya. Lain benar Mona yang aku tengok dalam akhbar, majalah dan tv dengan Mona ketika 1994. Tak tahulah aku - dia tu kan bomoh 'handal'. Tak mahu aku buruk sangka. Dapat dosa aje.

Tapi, sewaktu perbicaraan mahkamah diberitahu bahawa Mona pernah menjalani pembedahan plastik di bahagian muka, dahi dan hidung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Motifnya tentulah supaya kelihatan lebih muda dan cantik.

Pembedahan oleh pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Shen di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu itu dijalankan pada 15 Julai 1993.

Dr Wong memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa kos rawatan untuk pembedahan itu lebih RM13,000. Menurutnya, pelanggannya itu, Maznah Ismail, menemuinya di pejabatnya di Plaza KL pada 5 Julai 1993 untuk mendapatkan penerangan mengenai pembedahan berkenaan. "Dalam pertemuan itu, dia (Mona) meminta saya menjadikannya lebih muda dan cantik," katanya. Dr Wong berkata, pembedahan untuk menegangkan kulit muka dan dahi serta hidung itu berjalan hampir lima jam.

Pembedahan itu adalah dari belakang teling kanan, merentasi atas kepala dan ke bawah bahagian belakang teling kirinya. Dr Chua menyifatkan pembedahan itu sebagai biasa, walaupun agak intensif. Doktor pakar itu juga memberitahu mahkamah, Mona keluar dari hospital itu dua hari kemudian.

2 comments: