PENAJA

Saturday, 4 August 2012

KIAMAT : Fantasi Planet X dan 21.12.2012


Oleh Helmi Effendy

Geleng kepala! Geleng kepala saya melihat sikap orang Melayu di internet ini. Acap kali bila datang info yang bagi mereka agak memeranjatkan dan di luar bidang pengetahuan mereka, mulalah mereka dikuasai oleh nafsu dan adrenalin, tak sabar-sabar untuk berkongsikan info yang mereka dapat itu kepada rakan mereka. 

Bila rakan mereka yang seminda dengan mereka memperoleh info itu, terus dikongsikan kepada yang lain. Setiap daripada kalian langsung tidak mengambil satu tindakan yang sangat ilmiah dalam bidang ilmu. Oh saya kongsikan nama benda itu, "MENGKAJI."Mengkaji menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud menyelidik dan meneliti dgn mendalam atau terperinci (supaya benar-benar mengetahui sesuatu, supaya dapat membuat keputusan). Maaf kalau saya terpaksa memperkenalkan istilah itu kepada kalian kerana saya rasa orang Malaysia "KEKOK" untuk bersahabat dengan istilah MENGKAJI. :)

Kita teruskan perbincangan kita, saya tersentuh dan ingin bercakap mengenai dakwaan yang mengatakan bahawa kononnya bumi akan dilanda atau bertembung dengan Planet X atau Planet Nibiru pada 21 Disember 2012. Kemudian, ada pula hamba ALLAH yang cuba mengaitkan hal tersebut dengan hadis-hadis nabi dengan akhir zaman. Nauzubillah... 

Ini ialah satu tindakan atau perbuatan yang buat saya geleng kepala. Mengucap panjang saya... kalau ia pun mahu membenarkan sesuatu yang tidak benar, janganlah sampai mengheret hadis nabi. Kalau ia pun niat anda untuk mengubah umat Islam agar lebih rajin beribadat kepada ALLAH, bukan ini caranya iaitu dengan menjual NAMA ALLAH, menjual NAMA NABI. Nauzubillahiminzalik... Matlamat tidak pernah menghalalkan cara saudara... 

Tamadun Mayan

Khabar angin yang mengatakan bahawa bumi akan musnah pada tahun 2012 bertiup kencang sehingga dibikin filem lagi. Hujah yang mereka pegang ialah Kalendar Kaum Mayan. Sebelum kita berbual lanjut mengenai kalenda Kaum Mayan ini, kita belajar dahulu mengenai Tamadun Mayan. Tak slaah bukan mengutip sedikit ilmu? I love sejarah. :)

Tamadun Mayan merupakan sebuah peradaban yang terletak di Amerika Tengah. Saya sertakan di bawah peta Tamadun Mayan dan lokasinya. 

Tamadun Mayan ialah sebuah peradaban yang bersifat terpencil, jauh sekali dengan Tamadun Melayu yang dikatakan merupakan peradaban paling terbuka yang pernah dikenali oleh dunia. Dikatakan bahawa Tamadun ini telah wujud dalam jangka mas ayang agak lama, iaitu pada tahun 2600 S.M iaitu kira-kira 4000 tahun yang lalu, lebih lama daripada Tamadun Indus di Utara India. Peninggalan Bangsa Mayan di Cuello, Belize menguatkan lagi ujah yang mengatakan bahawa usia Tamadun Mayan ialah lebih kurang 4000 tahun. 

Tamadun ini mula dikenali dunia ketika penjajah Sepanyol mendarat di Mexico Tengah. Ketika itu, bangsa Sepanyol tersangat-sangat kagum dengan penemuan yang mereka lakukan. Sebuah tamadun yang dibina jauh dari peradaban dunia di tengah-tengah Hutan Khatulistiwa oleh satu bangsa asing yang ala-ala orang Asli. 

Penjajah Sepanyol menjumpai piramid yang bersalut emas, menjumpai penemuan sains yang sangat mengagumkan dan yang paling penting, MILO! Ya, penjajah Sepanyol menjumpai minuman coklat yang dicipta oleh Bangsa Mayan dan minuman itu tersangat-sangat sedap sehingga di bawa oleh bangsa Sepanyol ke eropah. Terima kasih kepada Bangsa Mayan kerana hari ini kita boleh merasai minuman sedap itu. 

Bangsa Mayan pula menganggap bangsa Sepanyol yang datang ke tempat mereka sebagai tuhan lalu bangsa Sepanyol dilayan seperti dewa. Dalam diam, bangsa Sepanyol mempunyai agenda mereka tersendiri. Bangsa Mayan yang terkenal dengan penemuan sains, astronomi, matematik yang sangat-sangat hebat ini mahu dijajah oleh Bangsa Sepanyol. Tanpa sempat melawan, akhirnya Bangsa Mayan telah dibunuh sehingga tiada seorang pun yang masih hidup sehingga hari ini.

Namun, KEBODOHAN bangsa Sepanyol telah membuatkan 3/4 khazanah Mayan hilang dari tatapan dunia akibat dibakar oleh mereka kerana cemburu yang melampau batas. Segala buku-buku dan catatan mengenai penemuan sains, matematik, perubatan dan astronomi oleh Bangsa Mayan hilang dari pengetahuan dunia. Namun, ada satu yang terlepas daripada kerakusan bangsa Sepanyol yang tolol ini. 

Kalendar Kaum Mayan

Inilah yang menjadi persoalan utama. Apakah benar bahawa Kaum Mayan meramalkan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 21 Disember 2012? Benarkah? Kalau sesiapa yang mempelajari sejarah Tamadun Mayan akan tersenyum sinis kepada mereka-mereka yang cuba memandai membuat kesimpulan sendiri. 

Dakwaan itu salah dan tidak benar sama sekali. Kalendar Kaum Mayan tidak pernah meramalkan bahawa kiamat itu terjadi. Ini hanya berlaku apabila mereka yang suka menyebarkan propaganda mempelari sedikit tentang Tamadun Mayan lalu membuat kesimpulan mereka dan menyebarkan kepada orang ramai. Ramai juga yang terpenggaruh. 


Bangsa Mayan mempunyai banyak sistem kalendar. Antaranya ialah Tzolk'in dan Haab. Namun itu tidak penting kerana ada sejenis sistem kalendar yang lebih penting iaitu Mesoamerican Long Count calendar. Kalendar yang ditemui inilah yang menyumbang kepada ramalan-ramalan orang yang tidak bertanggungjawab kononnya kiamat akan terjadi. 

Ada satu rahsia yang cuba diselindungkan oleh mereka. Pertama, tentang bagaimana sistem kalendar ini berfungsi. Kalendar ini sebenarnya sangat panjang untuk dikira. Dikatakan kalendar ini bermula ketika permulaan era bumi ini dicipta mengikut kepercayaan Kaum Mayan. Namun, kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012. Ini yang digunakan oleh puak-puak yang cuba menyebar berita palsu mengenai kiamat konon bahawa kalendar Mayan berakhir dan bumi akan berakhir pada masa itu. 

Padahal, kalendar Mayan ini sebenarnya fungsinya sama macam kita. Apabila 31 Disember itu habis, maka kalendar Mayan akan berputar kembali kepada permulaan hari seperti mana Kalendar Masihi selepas 31 Disember akan bertukar kepada 1 January. 

Nasihat saya, jangan biarkan diri anda diperbodohkan. 

Planet X aka Nibiru

Orang pertama yang meramalkan mengenai bumi akan bertembung dengan sebuah planet pada 21 Disember 2012 ialah Nostradamus. Nostradamus atau nama sebenarnya Michel de Nostredame (1503 – 1566) merupakan seorang ahli ramal Perancis yang tersohor dengan ramalan-ramalan beliau melalui bukunya   Les Propheties (The Prophecies) (1555). Ramalan beliau menyatakan bahawa planet Bumi akan binasa disebabkan perlanggaran dengan planet Nibiru pada 21 Disember 2012.

Benarkah sedemkian? Tambah memeningkan kepala otak saya ialah ada pula yang mendakwa bahawa NASA mengeluarkan kenyataan bahawa Planet X itu wujud dan sedang menunggu masa sahaja untuk melanggar bumi. Maka, berduyun-duyunlah orang Melayu yang TIDAK MAHU BERSAHABAT dengan MENGKAJI menyebarkan artikel yang menyokong kewujudan Planet X. 

Mari saya beri pencerahan kepada semua. Sebenarnya Planet X tak wujud pun. Itu hanya dakwaan mereka yang berniat jahat memesongkan akidah umat Islam. Pihak NASA juga telah menyatakan bahawa tiada bukti yang sahih mengenai kewujudan planet Nibiru atau planet X tersebut oleh mana-mana data pencerapan.

Rujuk:  (http://www.nasa.gov/topics/earth/features/2012.html)

Ada pulak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Planet X aka planet Nibiru ini tidak dapat dilihat dan dipantau kerana berada dekat dengan Matahari. Ini sekali tidak benar. Ini adalah kerana setiap objek di angkasa mempunyai orbitnya sendiri. Sekiranya orbit planet X ini berdekatan dengan sistem suria kita, sudah tentu ahli astronomi dan penyelidik sudah dapat menemui planet ini dan ianya dapat dilihat dengan mata kasar kerana ianya semakin menghampiri Bumi.

Pemantauan secara berterusan mengenai objek-objek seperti komet dan asteroid yang mengorbit berdekatan dengan Bumi yang berpotensi untuk berlanggar dengan Bumi (Near Earth Objects, NEO) telah dijalankan oleh beberapa inisiatif global seperti  Safeguard Survey dan NASA NEO Programme Office. Pemantauan juga dijalankan dengan menggunakan teleskop di angkasa lepas seperti  Infrared Astronomy Satellite (IRAS)  untuk memantau sebarang ancaman dari angkasa.  Jadi, adalah mustahil kalau Planet X tidak ditemui oleh para saintis kita. 

Kiamat 

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:

“Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”.

Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat“.

Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya tanda-tandanya“. Kemudian baginda menyebutkannya:

  • Asap hitam
  • Dajjal Al-Masih keluar
  • Binatang aneh dari perut bumi
  • Terbitnya matahari dari barat
  • Turunnya Nabi Isa Al-Masih
  • Yakjuj dan Makjuj keluar dari tembok yang dibina oleh Zulkarnain (Alexander The Great)
  • Tiga kali gempa bumi dan sekali di timur, sekali di barat danyang ketiga di Semenanjung Arab
  • Api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka.
Berpegang pada hadis nabi mengenai kiamat. Selagi belum tiba tanda-tanda yang digariskan, janganlah sesenang itu mempercayai bahawa kiamat akan terjadi. 

Kesimpulan

Amalkan sikap mengkaji atau meneliti sesuatu berita yang datang kepada kamu. Saya rasa banyak tokoh-tokoh dan bijak pandai mengingatkan kepada kita agar jadikan amalan ini sebagai anutan kita. Apabila kita mengkaji, ilmu kita akan bertambah bukannya berkurang. Kita yang untung. Ilmu bertambah, fitnah berkurangan. Wallahualam. 

No comments:

Post a Comment